27 August 2021

WANITA DAN MERDEKA: "DARI LEMBAH CITA-CITA" | SEBUAH RESENSI BUKU

بسم الله الرحمن الرحيم

Kata orang, merdeka itu bebas dan lepas. Tepatnya, menurut kamus dewan merdeka adalah bebas, lepas daripada cengkaman penjajah lalu mampu berdiri sendiri tanpa bergantung kepada yang lain. 

Buku ini justeru memberikan saya persepsi sama dan berbeza.

Saya mula membaca buku ini ketika di bangku universiti. Terasa berat pada mulanya. Namun, kerana ia cuma memiliki 74 mukasurat, saya tetap menamatkannya perlahan-lahan penuh pengamatan. Kali pertama membacanya, saya membaca sebagai seorang anak muda yang masih di awal 20-an. Jujur, setelah membaca dua tajuk terawalnya 1- 'Dua orang pemuda bertanya' dan 2- 'Zaman Jahiliyah', saat itu saya merasa benar-benar lepas dan bebas daripada sebuah beban besar.

Apa itu?

Reda manusia.

Beberapa waktu berlalu, Buku ini antara yang paling sering saya peram di dalam beg tangan sehingga ia menjadi buku paling kerap saya ulang-ulang baca. Tidak bosankah?

Antara ya dan tidak cukup saya katakan ia sebuah buku yang membawa saya menjadi naib juara dalam pertandingan penulisan inspirasi 7 tahun lalu. Menjadi seorang pemuda dengan sudut pandang akhirat, ia sebuah perjuangan yang tidak cuma memerlukan rasa 'bebas' juga rasa 'hamba'. Baca artikel tersebut di (sini).

5 SUDUT BICARA RESENSI BUKU DARI LEMBAH CITA-CITA


Hari ini, ketika diminta menulis sebuah resensi buku tentang wanita dan merdeka segera saya capai beberapa buku. Ada Tahrirul Mar'ah, Buya Hamka berbicara tentang Wanita, Prinsip Wanita menurut Al-quran dan Hadis, Menjadi wanita paling bahagia, Ensiklopedia wanita muslimah, Wanita-wanita baik di dalam Al-quran.

Namun, beberapa hal terjadi akhir-akhir ini di dunia kita membuat saya kembali mencapai buku 'Dari Lembah cita-cita'. Saya bahagikan resensi ini kepada lima bahagian. Terpulang kepada pembaca mahu menangkap mesej dari mana-mana bahagian yang kalian suka.

1. Judul: 'Dari Lembah cita-cita'

Lembah ertinya tanah rendah, tempat terpencil dan tidak terkenal. Hamka tidak bercerita mengapa beliau memberikan judulnya sedemikian. Namun, di pendahuluan buku cukup menggambarkan bahawa menjadi merdeka itu bukan tentang puncak yang digapai. Sesederhana 'lembah' namun harus dipenuhi cita-cita dan kerja-kerja besar.

Seorang wanita, bercita-citalah dengan kemuliaan dan prinsip nan teguh. Kerana kita adalah pahlawan di sebuah lembah tidak terkenal, yang di sana cuma ada kerabat teristimewa kita orang terpercaya dan keluarga. Tempat kita, bukan di puncak yang terpampang segala aib dan maruah. Tempat kita wanita adalah di lembah dengan segala kerja buat dan kejujuran serta ilmu yang benar dipimpin cita-cita yang tidak mati.

Ketika Hamka berkata:
"..Sebab di atas pundak golongan yang masih muda terletak tanggungjawab yang amat besar meneruskan pembinaan bangsa dan NEGARA baru..".

Kita mengerti bahawa seorang wanita jangan mati kerana lelaki jangan pula hidup kerananya. Kita hidup adalah untuk saling dan bersama membina kehidupan. Berperan dengan halusnya cita-cita yang kita tuliskan di dinding peradaban sebagai pemacu jalan-jalan perjuangan para pahlawan dunia.

2. Pendahuluan: Wanita dan perjuangan.

1946, awal mula buku ini ditulis. Ada beberapa golongan yang dipimpin Hamka dalam usaha perjuangan memasakkan jiwa merdeka. Di antara pemuda-pemuda dari Barisan Hizbullah, ada Sabil Muslimat yang terdiri daripada anak-anak didik Malik Ahmad. Beliau merupakan penggerak kepada batu asas pendidikan melalui Kulliyah Muballighin. Mudahnya, ia sebuah gerakan pendidikan bangsa ini.

Demikian kita fahami. Bahawa wanita yang memahami perjuangan tidak bergerak untuk menonjolkan diri namun sentiasa ada bersama. Semangat juang mereka hidup dalam balutan kesantunan yang tetap terpelihara. Perempuan dan perjuangan melalui pendahuluan buku ini memberi tahu kita, bahawa di setiap nama besar di dunia mustahil tiada wanita di sebaliknya. Hanya saja bukan keperluan mempertontonkan wanita dengan selok belok dirinya yang harus tersimpan indah di bekas kaca.

Persis Khadijah Radhiyallahu 'anha yang saat terlihat kalungnya sahaja membuat Muhammad shallallahu alayhi wasallam menitiskan air mata. Sedang dunia tidak perlu menonton Khadijah sebagai pahlawan di barisan hadapan untuk tetap menjadi serikandi di sebalik perjuangan dakwah baginda nabi.

Indah bukan?


3. Perempuan tanpa jahiliyah.

" Mahu berjaya tak perlu malu, upload sahaja gambar di media sosial dengan pose paling menarik. Dengan client tu janganlah straight sangat.."

Aduh, prinsip semacam apa yang sedang merasuk wanita hari ini?
Untung sahaja masih ada wanita yang tidak semberono mengikut prinsip berunsur Jahiliyah begini. Kalau para wanita membaca bab 2 buku ini, betapa kita akan mengerti merdeka itu bukan bebas apatahlagi lepas. Merdeka adalah bergantung kepada peraturan Tuhan Robbul Jalil yang mencipta manusia dan dunia yang akan hancur nantinya.

Allah mencipta wanita dengan sifat istihya' (malu). Al-quran sudah dengan jelas memberikan prinsip kepada wanita melalui kisah puteri Madyan dengan Musa itu. Berjalan pun tak ingin di hadapan, bercakap pun lugas dan tegas. Hamka menyebut bagaimana jahiliyah Arab dulu amat kelam. Kehidupan mereka dalam kebejatan yang menakutkan. Jangan salah, bangsa Arab ketika itu terletak di sebuah rumah suci, Kaabah! Namun kerana Jahiliyah mereka tidak merdeka.

Wanita merdeka adalah perempuan tanpa Jahiliyah. Titik.


4. Refleksi: Menjadi perempuan Hero to Zero ?

Bab 3, 4, 5 dan 7 di dalam buku ini menekankan kita kembali kepada titik asal. Iaitu hamba.

Bagaimana mahu merdeka namun menjadi hamba? Ini titik buta yang sering tertutup oleh pancaindera kita. Berjuang untuk negara dan mencapai status sosial terbaik di mata dunia memang tanggungjawab kita. Terutama wanita, dengan sisi kurang yang ada tidak bermakna wanita boleh ditindas bukan juga bermaksud wanita harus bebas tanpa batas. Bersiap untuk menjadi perempuan Hero dalam usaha meningkatkan kualiti diri demi menjadi Zero di hadapan robbul jalil.

Kembali menjadi hamba. Seperti Musa gagah perkasa, Yusuf di tampuk pemerintahan Mesir, dan Daud yang mendirikan kerajaan Israel di Jerusalem. Di hadapan Allah mereka tetap hamba yang merendahkan diri dan menjadi seseorang yang tiada apa-apa, kosong. Lalu kita wanita yang berambisi dengan dunia dan kerjaya, siapkah kita? Bilakah kita akan memerdekakan diri dengan menjadi zero di hadapan Allah?

5. Wanita: Bebas dari kepompong bejat.

Jangan cuma berani kepada perempuan. Jahiliyah, begitulah. Mereka cuma berani kepada permpuan sedangkan di hadapan kebenaran mereka pengecut. Sehingga wahyu harus turun mempertahankan dua wanita hamba yang menolak keras dirinya daripada dilacurkan secara paksa. Ternyata, kebejatan itu berlaku di tangan seorang lelaki yang mengaku islam. Namun, kerana wahyu memberitahu dia adalah munafik agar kita para wanita belajar berani mempertahankan diri. Sebab malu yang telah kita peliharalah membawa kita kepada berani. Jangan sesekali berani sebelum malu, lain jadinya nanti.

Bab 10 tentang khutbah socrates menarik para wanita ke titik merdeka seterusnya.

Bahawa sejahat apa pun dunia dan manusia kepada kita, sesakit apa pun jiwa tersiksa, seberat manapun lidah ular yang melancarkan fitnah, kembali kepada perbahasan nombor 1, 2, 3 dan 4 resensi ini. Prinsip dan Iman akan menyelamatkan kita. Mungkin bukan harus menjadi pahlawan menghancurkan kebejatan, cukup menjadi seseorang yang terus bertahan dalam keyakinan bahawa ada balas kebaikan dan istana keindahan di syurga buat yang sabar dalam taat kepada Allah.

Buatmu wanita merdeka, pesan hamka ini untukmu;

Tuntutlah segala ilmu lihatlah segala yang wujud. Lihatlah awan bergerak, gunung meninggi, pasir terhampar, bumi dengan tumuh-tumbuhan, burung berkawan-kawan, unta jadi kenderaan...
Lihatlah ke kiri dan ke kanan buat mengetahui: " Dari mana, ke mana dan siapa?"
(Dari Lembah Cita-Cita, m/s 15)

Zaharoh Fajar Nina
Muharram 1433 H
Kedah, Malaysia.

------------------------------
FB: Zaharoh Fajar Nina
IG : @zaharohfajarnina
YT : Zaharoh Fajar Nina

 




No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)