16 February 2014

Diari Konvensyen Sunnah ke-9 : Wasiat Sheikh Abdurrahman Al-Belaihi

بسم الله الرحمان الرحيم

Sebenarnya, aku tidak tahu mahu bermula dari mana. 

Segalanya kurasakan penting. Segenap isi konvensyen ini umpama mutiara di antara kaca-kaca. Walaupun ia terlihat sama, namun keilmuan dan fitrah manusia mampu membezakan harganya.

Mungkin aku boleh bermula dengan ucapan dari Sheikh Abdurrahman Al-Belaihi, wakil kedutaan Arab Saudi. Sebuah nasihat paling lunak yang meggetarkan jiwaku. Tambahan pula, ia disampaikan dengan bahasa arab yang sangat tersusun dan jelas. 

Sampaikan aku terasa ingin ajar semua manusia belajar bahasa arab. kemudian memahami ucapan beliau. Namun itu bukanlah usaha yang realistik buat masa ini.

VIP belum memenuhi kerusi..


Ucapan Sheikh membuat aku terpukul.. Antaranya :

"Wahai saudaraku, pertemuan kita yang diberkati ini.. membuat aku merasa bertuah kepada diri sendiri dan kita seharusnya merasa bertuah.. kerana, kita datang berkumpul semata-mata kerana محبة للسنة kita mencintai sunnah!"

"Kepada pemuda dan bangsa pencinta sunnah juga agama ini, aku wasiatkan kalian tentang 3 perkara:

PERTAMA-> Para penuntut ilmu, asatizah dan ilmuan.. hendaklah kita memfokuskan diri kepada kedua-dua aspek dunia dan akhirat tanpa memberatkan salah satu darinya. 

Usah kita menyibukkan diri kepada urusan dunia sehingga agama terabai. Begitu juga kita harus melihat urusan di dunia dengan cara terbaik. Kita harus sentiasa memudahkan urusan kebaikan agar manusia mahu megikutinya.

Bukankah Allah pernah mengingatkan kita [ومن أحسن قولا ممن دعا إلى الله] "Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah?". 

Ya, perkataannya adalah yang terbaik! 

Aku mulai merenung, ketika ramai manusia mengaku mereka membawa dakwah, mengajak manusia kepada Allah. Mereka menggunakan perkataan keras serta kasar juga bukan perkataan terbaik.. Apakah mereka masuk kategori ini? Apakah layak diperakui mengajak kepada Allah?

Saudaraku, dakwah itu dengan penuh kebaikan dengan cara terbaik dan bertahap-tahap. Inilah syiar salafussoleh dalam dakwah. Untuk menekuni cara terbaik, perlu juga dengan ilmu terbaik. Hanya satu, kita menekuni ILMU para salafussoleh dan menyebarkan ILMU itu.

Benarlah, siapa yang berfikir akan melihat bahawa cara terbaik hanya akan 'kena' dengan ILMU terbaik yang kedua-duanya dapat kita perolehi dari para salafussoleh. Bukan dari mimpi-mimpi yang bukan wahyu, juga pengalaman-pengalaman yang datang dari bukan manusia terbaik seperti dalam hadis rasulullah shallallahu alaihi wasallam.

KEDUA-> إيّاكم و التصنيف . Jauhilah label-melabel.

Saudaraku, kamu pasti menyedari tatkala budaya melabel kumpulan-kumpulan tertentu, kamu sebenarnya sedang sibuk dengan suatu urusan iaitu melabel. Ketika itu, kamu telah menjauh dari objektif asalmu meneruskan budaya ILMU.

Perkara ini, mampu membina jarak antara kumpulan. Sedangkan, kamu harus menjadikan dakwah ilni bersifat a'lamiyyah[universal]. Biar ia mampu menyentuh hati semua pihak dari kawan mahupun lawan.

KETIGA-> Hubungan baik dengan pemerintah dan semua peringkat umur di sekeliling kamu. Menjadi kesalahan, apabila kita merasa cukup dengan apa yang ada. Sedangkan, dakwah bukan untuk golongan tinggi sahaja atau rendah sahaja. Ia untuk semua.

Rasulullah shallallahu'alaihiwasallam menunjukkan kepada kita bahwa dakwah mampu mencapai pemerintah Habsyah dan itu sebenarnya kekuatan islam. Dakwah juga mampu masuk ke dalam hati seorang hamba seperti Bilal bin Rabah, itu sebenarnya kesyumulan islam.

Saudaraku, jauhkan diri dari melampau! [ghuluw]. Kerana melampau itulah yang membuat berhala disembah, padahal berhala itu asalnya adalah patung orang-orang soleh. Kerana ghuluw ini, mampu menyesatkan!

Kata-kata terakhir syeikh membuat aku merenung panjang. Kata syeikh, ماليزيا في أعناقكم [Malaysia, berada di leher-leher kamu!]

Kerana pelajar bahasa arab harus mengerti, maka aku mengerti. Tanggungjawab mempertahankan agama masyarakat, budaya islam dan ekonomi Malaysia, berada di leher kita di bahu kita! 

Bahkan, sheikh tidak mengatakan ماليزيا من مسئوليتكم [Malaysia adalah tanggungjawab kamu]. Tetapi perkataan 'leher' yang digunakan menunjukkan zaman ini islam terancam jika bukan kita yang membawanya. Ia akan diambil alih oleh perosak agama.



Nota:
- Ucapan Sheikh ini diterjemah secara bebas dan 'suka hati' mengikut bahasa penulis.

- Tulisan berwarna hijau adalah tambahan dari penulis.

- Kepada yang hadir, dan mendapati ada penambahan juga pembetulan mohon dituliskan pada ruang komen.


Sekian diari kedua dari Diari Konvensyen Sunnah ke-9(DKS9 Kedua)

No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)