03 June 2017

Aku dan Ramadhan..

بسم الله الرحمن الرحيم


AKU DAN KESIBUKAN

Kerana kesibukan barangkali, aku terlalai dengan kehadiran Ramadhan. Tidak seperti ketika zaman belajar dahulu. Baru sahaja tiba bulan Rejab, semua orang sudah bercakap-cakap tentang Ramadhan. Iklan volunteer masjid, ifthar jamaie, perbincangan program ihya' Ramadhan, semua itu dua bulan awal telah berlegar-legar di kehidupanku seorang siswa.

Itu dahulu. Telah berlalu.

Fasa bekerja, sibuk dan fokus menguruskan hal-hal pelajar telah merenggut sedikit persediaanku menyambut Ramadhan. Sedikit kecewa, namun Allah terlalu pengasih kepada diriku. Begitu aku kira. Cuti sekolah pertengahan tahun selama 2 Minggu yang bertepatan dengan 1 Ramadhan, inilah ruang yang Allah berikan untuk aku kembali memuhasabah diri. Menuliskan catatan ini dengan begitu payah dan merangkak.

Aku berakal. 
Sedangkan kesibukan tiada berakal. 
Layakkah kesibukan menang dan aku kalah?

Segera aku mecari-cari booster Ramadhan setelah dua hari ia berlalu. 3 Ramadhan, ketika bersembang dengan adikku Abdullah, dia bercerita tentang seorang pemuda 'viral'. Katanya, pemuda ini viral melalui youtube. Video yang dimuatnaik olehnya mendapat tontonan sebanyak 9 juta tontonan. Aku menyangka dia adalah artis youtube yang kini bagai cendawan kian tumbuh. Fenomena hedonisma buruk yang aku takutkan untuk generasi mendatang.

Alangkah terubatnya jiwaku saat aku melayari sendiri 'channel' beliau. Anak muda bernama Muzammil Hasballah ini aku kira booster terbaik anak muda Asia untuk mencari ruang bersahabat karib dengan Al-Quran. Apatahlagi sekarang ini kita berada di dalam bulan Al-Quran diturunkan.

Seharian aku memuat turun bacaan-bacaan al-Quran beliau sambil mengulang sedikit hafazanku. 

Belum cukup rupanya. 

Al-quran bukan hanya untuk didengarkan dan dibacakan dengan mendayu-dayu sahaja. Al-Quran perlukan kefahaman dan amalan. Sekalipun telah seharian aku tinggalkan segala media sosial, meninggalkan gajet, meninggalkan lagu-lagu bahkan nasyid sekalipun. Aku merasa ada ruang yang masih kosong dan perlu aku isi.


Ramadhan datang di sela kesibukan..

MANUSIA DAN SEGALA KELEMAHAN

Sambil meneruskan mendengar murottal, tilawah dan tadarus, aku meminta pula nasihat dari rakan terdekat dan melalui pembacaan dan tazkirah. Dalam aku tercari-cari, Allah temukan aku dengan sebuah tazkirah yang menyuntik ruh kesedaran.Tazkirah dari ayah temanku. 

Sekalipun ada beberapa bahagian tidak dapat aku fahami, kuusahakan juga menuliskan beberapa pengajaran penting agar Ramadhan kita kali ini menjadi Ramadhan terbaik.  (link Video Asal)


Ada beberapa hal yang aku pelajari  dalam menyambut Ramadhan ini. Antaranya dengan menyedari kita ini manusia dengan segala kelemahan. Sungguh kita ini teramat lemah sehingga Allah menyediakan Ramadhan sebagai rahmat-Nya memperbaiki kelemahan kita itu.


1) Manusia ini terlalu lemah dan hidup sebagai insan dengan segala kelemahan
Di dalam surah al-Asr Allah telah menyebutkan:

إنَّ الإِنسان لفي خسر
Sungguh, manusia itu semuanya dalam kerugian.

Ya, kata ma'rifah pada perkataan 'insan' itu menunjukkan manusia semuanya rugi. Ya, SEMUAnya! Aku, kamu, mereka.. semuanya. Lihat, betapa manusia berada dalam kerugian pada asalnya. Itu pemberitahuan Allah kepada kita.


2) Manusia ini lemah kerana adanya sumpah Iblis.
Sumpah iblis juga, adalah dalam pemberitahuan Allah dalam Al-Quran: 
"قال فَبِعِزَّتِكَ لَأغْوِيَنَّهُمْ أجْمَعِيْنْ.."
Iblis berkata: "Demi kekuasaanmu (Wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka(manusia) semuanya..." 
Seperti juga peperangan, sesuatu kelompok yang hakikatnya kuat akan dilemahkan oleh tantangan dari musuhnya. Dia akan lemah di saat musuhnya bersumpah menghancurkannya, kecuali dia menyediakan persiapan yang lengkap. Demikian bukti kasihnya Allah kepada kita dengan menyediakan Ramadhan. Dan kita ini, manusia lemah yang memang memerlukan Ramadhan sebagai suatu waktu yang mendorong dan menjadikan kita terbiasa dengan ibadah kebaikan.


3) Manusia lemah kerana adanya pengaruh sosial.

Bayangkan seharian kita, anak-anak kita, rakan-rakan kita. Adakah kita hanya bertemu orang baik-baik sahaja? Adakah kita dapat menyekat segala budaya songsang yang kian menular meracuni generasi ini? Kita mampu seadanya kita. Pada sisi lain, kita lemah. Kita juga buntu memikirkan kebejatan sosial yang sedang berlaku.

Maka, Ramadhan datang sekali setahun sebagai bulan membersihkan kita dari segala pengaruh sosial. Di bulan ini Allah sediakan waktu terbaik untuk kita berbuat baik. Bagaimana tidak, satu kebaikan dilipatgandakan sebanyak-banyaknya. Ibadah puasa sahaja pun sudah menjadikan ibadah kita istimewa. Allah sendiri yang akan memberi markah untuk puasa kita. Tilawah, sedekah, zakat, istighfar, solat sunnah, semua itu dilipatgandakan dengan segala bonus!

4) Kita dicipta dalam resah gelisah.

Allah memberitahu kita tentang sifat manusiawi kita di dalam surah al-Maarij:
إِنَّ الْإِنْسَانَ خُلِقَ هَلُوعاً * إِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ جَزُوعاً * وَإِذَا مَسَّهُ الْخَيْرُ مَنُوعاً
"Sesungguhnya manusia itu diciptakan dengan tabiat berkeluh kesah (lagi bakhil kedekut). Ketika ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan ketika dia mendapat kesenangan, dia terlalu kedekut."
Demikian manusia dicipta dengan sifat manusiawinya. Aku juga begitu, kamu, mereka juga begitu. Pemberitahuan Allah ini, bukan untuk kita menyalahkannya, tetapi untuk kita sedar diri dan berusaha terbaik dalam proses pembaikan diri.

Kerana itu Allah sebutkan pada ayat setelah itu:
إلا المُصَلِّين.. Kecuali mereka yang menunaikan solat, iaitu manusia yang sentiasa berterusan mendirikan solat, merendahkan hatinya dan dirinya di hadapan ALLAH. Maka Ramadhan adalah bulan yang mendidik kita memperbanyak solat sunnah di salamnya.


Kita lemah, itu pemberitahuan dari Allah.
Lalu Allah sediakan satu bulan ini agar kita menolak halus segala pengaruh sosial. Bina kekuatan.

Kita lemah, itu pemberitahuan dari Allah.
Lalu Allah sediakan pelatihan yang kuat sepanjang Ramadhan.


RAMADHAN INI UNTUK KITA

 ياأيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون "Wahai orang yang beriman, telah ditetapkan kepadamu puasa sepeti mana orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa."
(Surah al-Baqarah) 

Demikian banyak pemberitahuan dari Allah bahawa kita ini manusia lemah. Kita ini lemah dan lahir dengan segala kelemahan. Lalu, Allah hadiahkan kita Ramadhan kerana besarnya Rahmat Allah kepada kita.

Apa buktinya?

Ayat dari surah al-Baqarah ini jelas menunjukkannya. Pangkal awal ayat ini Allah menyebutkan:

يا أيها - Wahai

الذين - yang

آمنوا -  telah beriman (mereka)

Allah menggunakan feel madhi iaitu آمنوا yang membawa maksud 'telah' atau dalam bahasa Inggeris 'past tense'. Merujuk kepada perbuatan yang telah berlalu. 
Kenapa Allah tidak menggunakan feel mudhari' (يؤمنون)? 
Mengapa Allah tidak menggunakan perkataan isim fa'il (مؤمنون)?

Allah menggunakan feel madhi kerana Allah merujuk manusia yang di dalam hatinya TELAH ada IMAN. Kenapa puasa untuk golongan ini sahaja? Kerana mereka yang belum ada iman dalam hatinya, tidak akan sanggup berpuasa dengan sebenar-benarnya!

Siapakah mereka yang telah ada iman itu? 
Kita. Ya, kitalah yang sedang diseru didalam al-Quran. 

Ramadhan ini untuk kita. Sebagai wadi tempat kita mencari teduh dan menghirup ruh kekuatan. Berehat sebentar dari segala kekacauan dan kesibukan dunia. menggantikannya dengan kesibukan beribadah. agar nanti setelah Ramadhan beransur pergi, kita masih bisa membiasakan diri dalam kebaikan.

Pengajaran dan ilmu ini aku kongsikan agar kita semua meniti Ramadhan dengan ilmu, dengan rasa. Aku tak ingin Ramadhan ini berlalu tanpa aku menjadi lebih baik dari sebelum aku melaluinya. Aku resah jika tergolong dalam golongan yang dicela, kerana keluar dari Ramadhan namun tidak diampunkan dosa.

Aku dan Ramadhan, adalah aku dengan proses bersih aku dari dosa. Kalian juga aku kira..



Bangi,
Zaharoh Fajar Nina,
8 Ramadhan 1438H


No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)