Skip to main content

Walau susah, dengan IMAN kau mampu berubah!


بسم الله الرحمان الرحيم


Fasa kritikal membina diri

Subuh hari itu damai.

Burung-burung berterbangan bebas di luar jendela kamar. Hati terdetik, betapa bebasnya seorang hamba yang berjaya mengekang nafsu dan menerobos dirinya keluar dari kepompong dosa.

Petangnya saya bakal menduduki satu kertas peperiksaan akhir semester. Sambil menikmati kicau burung di pagi hari itu, saya bergerak membuka nota Introduction to History and Civilization.




Tiba-tiba, satu mesej masuk.

Saya segera membaca. 

Mesejnya panjang, namun ayat-ayat terakhir dari mesej itu membuat saya tercenung seketika.


"...semakin dia buat baik, semakin juga dia dekat dengan benda jahat. Dia memang ada perasaan mahu berubah. Tetapi katanya, setiap kali mahu taubat hatinya tak terasa apa-apa. Kak Zaharoh beri sedikit pencerahan ya.. Kasihan dia.."

Saya menutup semula nota yang masih tersusun rapi.

Membaca keseluruhan mesej itu membuat saya teringatkan zaman remaja saya ketika berumur 14-18 tahun lalu. Memang, ia adalah sebuah fasa seorang anak remaja meningkat ke alam dewasa. Fasa-fasa mentah yang masih terlalu dini mendepani dilema diri.

Fasa itu, jika tidak dilentur dengan baik ia akan terus menular dan mendarah daging kemudian membentuk peribadi seorang dewasa. Sehinggalah awal umur dewasa seseorang dapat ditentukan samaada matang atau keanak-anakan. Inilah fasa kritikal dalam proses pembinaan diri seorang manusia.

Nabi Muhammad Sallallahu alayhi wasallam juga dipersiapkan Allah untuk menjadi nabi seawal umur ini. Baginda sudah terdedah dengan dunia pengembalaan kambing dan perniagaan ketika umur berada di fasa ini. Allah sebenarnya mahu kita (baca:pendidik) melihat bahawa fasa ini sangat kritikal dan jangan sesekali mengabaikannya.

Kerana saya menyedari kritikalnya fasa ini, saya sesekali tidak akan mengabaikan apa jua jenis soalan dari adik-adik yang berada di fasa ini. Saya mengerti perasaan mereka. Cukuplah kita merana kerana banyaknya 'orang dewasa' yang tidak memberi perhatian kepada anak remaja mereka yang berada di fasa ini.

Untuk remaja di fasa ini, jangan selalu menghukum. Banyakkan beri harapan dan jelaskan tanggungjawab kepada mereka. Lantas, sebersit harapan saya curahkan agar adik yang bertanya itu tidak ternanti-nanti. 


"Dik, petang ni akak ada exam. Lepas exam habis nanti, akak terus jawab via FB ya. Boleh tulis panjang sikit. Doakan akak nak exam ni!"
....

Syaitan bekerja ketika kita berdiam diri 

Selesai menjawab kertas ketiga peperiksaan akhir semester petang itu, saya segera merangka jawapan terbaik untuk soalan yang ditanya. Saya rehatkan dulu ulangkaji untuk baki tiga kertas peperiksaan lagi selepas ini.

Semoga Allah redha. 
Saya harus berusaha untuk tidak menzalimi mana-mana hak diri mahupun orang lain. 

Doakan.

Ketika meneliti persoalan yang dilontarkan, saya bertemu sebuah titik permasalahan iaitu; semakin buat baik, semakin dekat dengan kejahatan.


Benar, seringkali kita melalui situasi ini. Tatkala diri berusaha untuk semakin taat dan semakin baik, bukannya nikmat kebaikan yang kita dapat. Malah, kita dirundung rasa mendekat kepada kejahatan yang semakin kuat!

Itu normal. Mengapa?

Kerana syaitan akan bekerja lebih keras. Lebih keras kita berkerja menuju kebaikan, lebih keras juga usaha syaitan untuk menysatkan. Syaitan si musuh utama manusia ni, dia takkan duduk diam bila dia lihat manusia buat baik. Sebab, Syaitan mahu manusia ramai-ramai mengikut dia masuk NERAKA.

Huh, bukankah syaitan sudah berjanji dan menegaskan pendiriannya ini?


Lantas Iblis berkata: " Demi kekuasaanmu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya.. [Shaad:82]

Dalam Bahasa Arab, perkataan  لأغوينّهم yang disebutkan Iblis ini memeberitahu kita tentang penegasan yang bersungguh-sungguh dari Iblis. Kerana, terdapat dua kali tanda penegasan pada perkataan ini iaitu 'lam taukid' pada awal perkataan. Kedua, 'nun taukid' yang padanya ada syaddah pada akhir perkataan 'ughwiya'.


Bersungguh!

Itulah sifat Iblis dalam menghasut kita.

Kita perlu tahu itu. Agar kita tidak terus-terusan berdiam diri dari membuat perkara-perkara baik dan berpahala. Hakikatnya kalau kita berdiam dan penat berbuat baik, iblis dan syaitan akan terus bekerja!

Tugas kita adalah untuk mebuat kerja-kerja Iblis tidak berjaya. Sambungan dari surah Shaad ayat ke 83 Allah berfirman lagi:

" Kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu yang diberi keikhlasan (dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan)." [Shaad: 83]


Dalam kerja keras Iblis itu, mereka tidak akan berjaya menghasut dan mempengaruhi orang-orang yang IKHLAS dalam beramal. Kalau dari 'budak baik' menjadi 'nakal' dan suka menipu, itu ertinya Iblis sedang menikmati kemenangan! Syaitan dah MENANG!

Syaitan sedang berpesta kerana kita sudah mulai mengikut telunjuknya. Jadi, bila sudah mula ikut, syaitan akan tarik kita perlahan-lahan sampai kita terus lupakan Allah. Dan, matlamat terbesar Syaitan ialah, mensyirikkan manusia. 


Nauzubillah min zaalik!
Jangan sampai kita jatuh ke tahap itu!


Formula Pemuda-pemuda gua (Ashabul kahfi)

Sebab itu kalau kita betul-betul mahu berubah, kena betul-betul mahu. Tanam sebuah formula yang menjadi kekuatan buat diri. Tanam dan amal betul-betul formula Ashabul kahfi ini dalam hati. Atau, boleh juga disebut sebagai Formula[18:13].

Sebuah formula yang Allah beri khusus buat kita remaja, anak muda. ketika Allah menyebut:


"Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka(Ashabulkahfi) dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.[Alkahfi 18:13]

آمَنُوْا
Mereka semua telah BERIMAN.


Ya, IMAN. 

Inilah formula kekuatan dan petunjuk dari Allah buat pemuda-pemuda gua ini. Dengan keimanan yang benar berlandaskan pemahaman salafussoleh melalui penghabaran dari Rasulullah shallallahualaihiwasallam. Inilah kekuatan kita untuk berubah dan tetap di jalan perubahan yang lebih baik itu. 

Istiqomah.

Inilah natijah dari Formula[18:13] ini. Namun, kita tidak akan mampu mencapai natijah ini tanpa langkah pertama yang sangat kecil. Bermula langkah pertama, kedua, ketiga dan berterusan.. barulah hasil ahir yang paling mencabar iaitu istiqomah mampu diperoleh.

Bila kita sudah mula buat keburukan, syaitan akan mula dekat dengan manusia. Bila dah lekat itulah hati sudah tak rasa apa-apa dengan kebaikan. Jadi, cara nak buang syaitan dari diri kita dan jauhkan syaitan. Berubah!


Untuk langkah pertama perubahan diri:

1) Istighfar.

Minta ampun dari Allah akibat dosa-dosa yang pernah kita buat. Minta ampun sungguh-sungguh dan nekad untuk tidak ulangi lagi. Ingat, Allah tu Maha pengampun lagi maha Penyayang.Allah sangat sayangkan kita, sebab tu Allah bagi juga perasaan nak berubah tu dalam hati kita.

Sebenarnya, bila perasaan mahu berubah itu masih ada, itulah tanda Allah masih peduli pada kita. Walaupun hati tidak rasa apa-apa bila nak taubat, tidak mengapa taubat juga. Taubat dan taubat. Kalua masih tak rasa, taubat dan istighfar lagi. Masih belum rasa? Taubat dan istighfar terus.. sampai bila?

Sampai hati rasa tenang dengan taubat tu. Sampai hati mula ada 'rasa' indah dengan Allah. Ingat, Allah nilai semua usaha kita nak berubah. Allah mahu beri peluang kepada kita sejauh mana usaha untuk berubah.

Sama seperti kita mengetuk paku pada besi. Mula-mula memang besi itu tidak terkesan langsung dengan ketukan paku kita. Cuba buat lama-lama dan berterusan seminggu, dua minggu...? Sama juga seperti titisan air pada batu. Kalau titisan air itu tak berhenti sehingga sebulan, bukankah batu keras berubah lekuk?

Betullah, Kalau kita sungguh-sungguh dan IKHLAS Allah pasti beri jalan untuk kita kembali. Pasti!


2) Buat banyak kebaikan, kerana kebaikan mampu menghapuskan keburukan.

3) Minta Allah bantu. Banyakkan baca doa ini:

اللَّهُمَّ أعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِك
(البخاري في الأدب المفرد، برقم 690)

"Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu, dan bersyukur kepada-Mu serta memperbaiki amalanku kepada-Mu." [HR Bukhari dalam Adabulmufrad No.690]



Dari ketiga-tiga usaha ini, akan terbentuk Iman yang tulus bergantung kepada Allah. Keikhlasan adalah buah keimanan dan istiqomah pula buah dari keimanan. Untuk kalian yang mahu berubah, katakan: "Aku nak berubah!" Buang perkataan 'TAPI' dan terus berubah. Kerana 'TAPI' itu adalah usaha Iblis agar kita tidak kembali kepada Allah.

Andai, diri terjatuh lagi ke dalam lubang kesalahan lampau.. Tidak mengapa kerana bukan kita sengaja menjatuhkan diri dengan penuh kesombongan. Selagi kita merendah hati di hadapan Allah, kita tahu Allah Maha Pengampun dan Penyanyang, selagi itulah Allah akan ampunkan kita.

Ingat kan kisah orang Yahudi dan Nasrani yang penuh sombong dan angkuh mendurhakai Allah. Sehingga Allah menggelar mereka 'Orang-orang yang Allah murkai' dan 'orang-orang yang sesat' di dalam Surah Al-fatihah. Mereka ini Allah tidak ampunkan bukan kerana berulang-ulang berbuat dosa. Tetapi, kerana sikap sombong terhadap Allah dan tidak percaya bahawa Allah menyediakan pengampunan untuk mereka.


Katakan, 'AKU NAK BERUBAH!'. 

Semoga Allah bantu kita selalu.

Zaharoh Fajar Nina
Kuliah bahasa dan kesusateraan Arab
Tahun 3, UIAM  Gombak
1 Jun 2014 (12:36pm)
(Road to 4th June fo 4th exam paper) Doakan :-D

Comments

Popular posts from this blog

tadabbur surah kahfi : sebab turunnya surah al-kahfi..

بسم الله الرحمان الرحيم

bersambung dari artikel ini. Muhammad bin Ishak meriwayatkan daripada ibnu Abbas radhiyallahu 'anhu yang mengisahkan tentang peristiwa turunya surah al-kahfi:
"orang-orang Quraisy menghantar An-Nadhar bin Al-Haruth dan Uqbah Bin Abi mu'ith kepada beberapa orang rahib yahudi. Mereka diminta untuk bertanya tentang Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam dan apa yang para rahib itu tahu tentang diri nabi Muhammad menurut apa yang dinyatakan di dalam Taurat.
para utusan Qurais itu berkata kepada rahib-rahib yahudi yang mereka kunjungi :" kami datang kepada kamu sebagai ahli kitab yang memegang Taurat untuk mendapatkan keterangan daripadamu tentang sahabat kami Muhammad! "
orang-orang yahudi itu berkata kepada mereka(utusan Quraisy), berikanlah tiga pernyataan kepadanya,jika dia dapat memberi keterangan tentang tiga perkara itu, maka memang benar dia adalah rasul. tetapi, jika dia tidak dapat memberi keterangan itu, maka dia alah seorang yang me…

"Kerana aku pemuda akhirat.."

Ukhrawi bukan hanya itu..
“Ah, kau hanya melihat akhirat. Kau gadis ukhrawi. Maaflah, kami ini duniawi”, begitu saban hari mereka bergurau denganku.
Aku cuma tersenyum getir mendengar kenyataan itu. Bukan terasa hati. Namun kerana kecewa dengan kecilnya pandangan anak muda generasi Y pada erti keduniaan. Aku kesal dengan salah erti tentang kedunian ini.

Mereka menganggap tudung labuh, membaca al-quran, pergi ke masjid, membaca dan menulis hal-hal agama itu ‘ukhrawi’. 
Mereka menganggap orang ukhrawi hanya tahu bercakap tentang ayat al-Quran dan tafsirnya. 
Mereka menganggap orang ukhrawi itu semata-mata puasa dan solat sahaja. Itu salahnya kita anak muda. Kita tidak mampu menjadi seperti anak muda di zaman Nabi kerana mentaliti dan persepsi satu sisi yang kita cermati.

Pada aku dan sepatutnya pada kita pemuda, keduniaan bukan pada banyaknya harta semata. Keduniaan bukan juga pada tingginya pangkat. Keduniaan sama sekali tidak diukur pada cantiknya paras rupa dan mewahnya rumah serta kere…

Contengan ramadhan: Persahabatan dan TAQWA kita..

بسم الله الرحمان الرحيم



Ini benar-benar sebuah ukhuwwah..
Selesai membaca surah An-naba' ayat 31-37, saya pandang ke kiri. Jalidah tiada. Sebab selalunya, Jalidah akan berkata kepada saya;
"Zahra cepat. Nak dengar perkongsian dari Zahra.."Sebenarnya, saya bukan pandai sangat mahu bercakap dan mengulas sesuatu, tetapi sahabat sejati yang ikhlas itu kadangkala lebih meyakini kita berbanding diri kita sendiri.

Sebab itu, bila sering bersama dengan Jalidah, saya seolah diberi kekuatan untuk berkongsi.

Terutamanya untuk melontarkan idea-idea dan butiran mutiara yang menerpa ketika menelusuri patah kata dari Al-quran. Setiap kali melontarkan bait-bait al-quran yang mulia, kemudian mentadabbur maksudnya, satu demi satu kisah kehidupan terasa dirungkai.

Tetapi, kadang-kadang saya mengelak juga.
"Jalidah, ana bukan faham betul sangat pun. Takut tersalah pula..",  Dan, selalunya, Jalidah akan mendesak. Memberi harapan dan menghargai saya seadanya.
"Zahra, ana pun macam Zah…