بسم الله الرحمن الرحيم
Saya merenung lama tumpukan bahan
rujukan yang tersusun rapi di atas meja. Satu persatu saya selak helai demi
helai. Semakin saya selak dan telusuri, hati saya semakin panas. Entah saya
sendiri tidak mengerti bagaimana silibus seberat ini hendak dimasukkan ke dalam
kepala anak-anak pelajar yang masih dalam proses pembelajaran.
“Untuk menjadi guru yang disayangi
pelajar, kamu jangan berlagak. Ajarkan mereka apa yang mereka perlu belajar dan
bukan apa yang kamu rasa kamu mahu ajar. Memang di universiti kamu belajar Syarah
Ibnu Aqil sampai dua jilid, khilaf Nahu dan
Sorof, Ilmu Balaghah Al-quran dan sebagainya, tetapi bukan semua itu yang
pelajar kamu perlukan.”
Waktu itu saya hanya mendengar
sambil lalu sahaja apa yang dinasihatkan oleh pensyarah kami ketika tu. Sehinggalah
hari pembentangan tiba dan seorang rakan saya diminta mengajar. Dia kemudian mengajar
satu tajuk nahu di hadapan kelas. Kemudian, pelajar seterusnya mengajar tajuk
lain sehinggalah pembentangan hampir tamat.
Tiba-tiba pensyarah tersebut
meminta kami menghentikan kelas dan dia berkata:
“Kamu semua mengajar dengan
berlagak sekali.. ”, kemudian dia keluar dari kelas.
Kami semua terpinga-pinga
sehinggalah tiba kelas pada hari berikutnya. Beliau masuk sambil mengajarkan
kami satu topik mudah berkenaan ‘mufradat’ atau ‘vocabulary’
Bahasa Arab di dalam kelas.
“هذا كتابٌ”
Dia
menyebut sambil meminta kami semua mengikut perkataannya.
Kemudian, beliau
mengulang lagi perkataan yang sama sebanyak 3 kali. Kami sekelas mengikut
seperti kanak-kanak kecil.
“Kamu semua
yang duduk di hadapan ustaz, ikut! هذا كتابٌ ”,
“Kamu semua
yang duduk di sebelah kanan ustaz, ikut! هذا كتابٌ ”
“Kamu semua
yang duduk di sebelah kiri ustaz, ikut! هذا كتابٌ ”
Setiap
pelajar mengulang perkataan beliau mengikut giliran seperti yang diarahkan.
Saya yang duduk agak belakang hari ini hanya memerhati, seperti seorang nazir
memerhati guru sedang mengajar pelajar-pelajar sekolah rendah.
“Enti! ما هذا؟”, beliau menunjuk tepat di hadapan saya. Jari
telunjuknya tepat diacungkan ke wajah saya. Dengan wajah sedikit terkejut spontan
saya menjawab:
“هذا كتابٌ”
“Ha,
beginilah cara mengajar. Bukan berlagak bijak dengan menyumbat semua maklumat
kepada pelajar. Kamu ini guru, pendidik dan pembimbing. Kamu bukan ustaz di
masjid atau pensyarah di universiti. ”
Satu kelas
senyap sepi. Kami mulai mengingat apa yang kami ajarkan pada kelas sebelum ini.
Ia seperti pembentangan pelajar universiti dan bukannya mengajar. Melihat kami
semacam tersentak, pensyarah kami menyambung;
“Memang,
menjadi guru tidak mudah. Sebab, sebelum menjadi guru kamu perlu menjadi
manusia yang tidak berlagak dengan banyaknya maklumat yang kamu ada. Seperti
helang yang terbang tinggi tidak akan mampu mengajar pipit terbang jika dia
masih dengan lagak helangnya, begitu juga bukan semua orang yang ada Phd boleh mengajarkan
ilmu Phd yang dimilikinya.
Sedangkan seorang
guru, dia mampu mengajar seseorang sehingga memperoleh Phd sekalipun guru itu
tidak punyai Phd.”
Entah
kenapa, kata-kata beliau kali ini begitu menusuk. Saya segera mencatatkan apa
yang disebutkan oleh beliau di dalam buku catatan kecil saya. Sebelum keluar,
beliau menyebut sesuatu dan menitipkan sebuah pesan yang beliau tulis di atas
papan putih.
“ Pesan
terakhir ustaz, kamu perlu jelas dan faham bahawa prinsip mengajar yang paling
asas adalah membimbing dengan sabar. Bukan menyumbat dengan sesuka hati, bukan menurut
apa kata orang-orang berlagak besar yang belum pernah menjadi guru. Kerja
mendidik ini, bukan kerja suka-suka. Kita bekerja dengan Allah. Ingat… ”
Gambar: Saya menuliskan semula ayat Al-Quran dari Surah
At-taubah yang dituliskan oleh pensyarah saya pada kelas terakhir kami dengannya
di atas sehelai tisu.
وَقُلِ ٱعۡمَلُواْ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمۡ وَرَسُولُهُۥ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَۖ
Dan katakanlah (wahai
Muhammad): Lakukanlah (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya
serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan..” -Sura
At-Tawbah, Ayah 105