13 July 2017

HIJAB SIMBOL KEAGUNGAN WANITA MUSLIM

بسم الله الرحمان الرحيم

HIJAB SIMBOL KEAGUNGAN WANITA MUSLIM
Oleh: Zaharoh Fajar Nina

            Dunia mengagumi Turki sebagai sebuah negara yang gemilang islamnya, bahkan ketika Krisis Saudi-Qatar baru-baru ini menampilkan Turki sebagai ‘hero’ yang turut muncul meredakan krisis tersebut. Namun, hakikat perjalanan wanita muslim di Turki tidak semudah yang kita sangkakan. Turki di bawah pemerintahan Ataturk (1881-1938) telah mengharamkan hijab kepada semua wanita muslim.[i] Pengharaman tersebut bertahan 127 tahun lamanya sehingga terlantiknya pada Tayyip Erdogan tahun 2003. Erdogan memperkenalkan gagasan yang membawa Turki ke arah kegemilangan Islam seperti Zaman Uthmaniyyah. Antara tindakan yang dianggap penting ialah untuk merealisasikan gagasan terebut adalah, menguatkuasakan peraturan wajib berhijab bagi  wanita muslim di Turki. Tahun 2008 merupakan titik mula perjalanan hijab bagi wanita muslim di Turki ketika Erdogan nekad melakukan pemansuhan larangan pemakaian hijab pelajar perempuan di Universiti Turki. Pada tahun 2012, Erdogan meneruskan lagi usahanya dengan menguatkuasakan pemansuhan yang sama di sekolah menengah agama dan kelas agama di sekolah sekular. Hal ini jelas menunjukkan bahawa hijab wanita bukan suatu hal yang remeh.

            Hijab merupakan simbol utama keagungan wanita muslim secara khusus dan simbol keberhasilan perlaksanaan syariat islam secara umum. Disebabkan hal inilah Erdogan menjadikannya salah satu daripada perjuangan utama kerana ia merupakan simbol utama syariat islam secara jelas. Kerana itu juga sekalipun mendapat tentangan yang hebat dari golongan sekular Turki, Erdogan teguh memperjuangkan pelaksanaan syariat islam ini. Ibnu Kathir di dalam tafsirnya dalam menjelaskan sebab diturunkan ayat ke 33 Surah al-ahzab. Nukilah beliau ini menjelaskan dengan terlalu kukuh bahawa hijab merupakan simbol kejayaan, kemerdekaan, dan kebebasan dari perhambaan. Dinukil dari Sufyan Ath-Thauri:

[ii]إِذَا فَعَلْنَ ذَلِكَ عَرَفَهُنَّ أَنَّهُنَّ حَرَائِر لَسْنَ بِإِمَاءٍ
Jika wanita muslim melabuhkan jilbab, dan memakai hijab menutupi aurat mereka daripandangan lelaki, maka mereka pasti dikenal sebagai wanita merdeka, bebas dari kongkongan perhambaan.

Seterusnya, Ibnu Kathir menambah nukilannya dengan kisah ahli fasiq yang keluar ketika malam gelap di jalan-jalan Madinah, lalu mereka mengganggu wanita-wanita yang tidak memakai hijab. Adapun ketika terlihat wanita yang berhijab, mereka akan mengatakan ‘Ini wanita yang merdeka, mereka tidak boleh diganggu’.

Wanita, kalian mulia kerana ditutup dan terpelihara indah.

            Kewajipan berhijab bagi wanita muslim dipersetujui oleh semua ulama islam secara sepakat atau ijma’. Bahkan dalam agama Kristian pun mereka diperintahkan berhijab melalui kitab suci ‘New Tastement’ atau perjanjian baru (Korintian 1:1)[iii]. Kita maklum bahawa Kitab suci Kristian bukanlah diturunkan oleh Allah, tetapi ada campurtangan dari pengasas Kristian, Paulus. Namun, keberadaan perintah berhijab di dalam Bible merupakan sebuah pengiktirafan besar dari agama lain bahawa hijab adalah pakaian wanita merdeka sekalipun Islam tidak memerlukannya. Kerana Islam adalah agama yang paling agung dan tiada agama yang lebih tinggi darinya. Sungguhpun demikian, masih ada polemik hijab yang berlaku mutakhir ini sedikit menyumbang kepada kekeliruan generasi muda muslim di seluruh dunia. Hatoon[iv], seorang profesor sejarah wanita yang merupakan pejuang hak asasi wanita pernah menyatakan :

..menekankan nilai-nilai Islam jauh lebih baik daripada cara berpakaian..’[v]

Ideologi liberal sebegini merupakan racun yang telah meracuni pemikiran anak muda muslim kita sehingga mereka boleh berbangga tanpa hijab. Lebih parah lagi ketika ia turut diucapkan oleh selebriti wanita yang beragama islam ketika ditanyakan mengapa dia melepas hijab yang pernah dipakai. Polemik sebegini menyedarkan kita betapa pentingnya penerapan manhaj atau cara beragama yang benar dalam proses pendidikan generasi muda. Jika kita berjaya mendidik generasi muda mencintai al-Quran dan bersungguh-sungguh memahami sunnah dengan cara yang benar, polemik sebegini tidak akan menggugah jati diri anak muda muslim kita.
          
  Islam datang sebagai agama rahmat yang sangat santun. Ketika perintah berhijab sampai kepada umat islam, ia tidak datang sebagai arahan semata-mata. Perintah hijab datang beserta tatacara yang jelas agar para wanita muslim boleh melaksanakannya dengan tenang. Allah menyebutkan:

)) يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ قُل لِّأَزْوَٰجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَآءِ ٱلْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَٰبِيبِهِنَّ ۚ...))
“Wahai nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya(ketika keluar dari rumah)...” (Al-ahzab 33:59)

Berdasarkan ayat dari surah al-Ahzab ini jelas menunjukkan syarat utama dalam pemakaian hijab adalah melabuhkan pakaian. Ibnu Kathir sekali lagi ketika menjelaskan sebab turunnya ayat ini membawakan kisah wanita muslim yang keluar dari rumah dengan menutup seluruh kepala tanpa menampakkan sehelai rambut mahupun mana-mana bahagian tubuh mereka kecuali yang perlu. Berdasarkan penjelasan ini, dapat difahami bahawa ‘melabuhkan pakaian’ membawa beberapa maksud iaitu:

1)      Tidak menampakkan bentuk tubuh.
2)      Tidak menampakkan warna kulit.
3)      Tidak menyerupai pakaian wanita kafir.

Selain syarat-syarat di atas, terdapat beberapa syarat penting lain hasil dari perbahasan ulama mengenai hijab seorang wanita muslim. Antaranya diharamkan memakai wangi-wangian. Berkenaan syarat ini, Muslim meriwayatkan Dari Zainab Ats-Tsaqafiyah, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

إذا خرجت إحداكن إلى المسجد فلا تقربن طيبا
“Jika salah seorang di antara kalian (para wanita) keluar menuju masjid, maka janganlah kalian mendekatinya dengan memakai wewangian.”

Memakai hijab bukan bertujuan menghias-hias diri agar kelihatan cantik menjadi tenar. Hal ini merupakan syarat terakhir ini antara syarat yang sering dilalaikan oleh wanita muslim. Dr Yusuf Al-Qaradhawi menjelaskan keharusan berfesyen di dalam kitab fatwa mu’asirah beliau. Namun, pengehadan berfesyen mesti terhad dan tidak melampau dari syarat terakhir ini. Jika seorang wanita muslim berfesyen sehingga ‘tabarruj’ dan mencari populariti, maka ketahuilah dia dihina oleh Allah di akhirat!

من لبس ثوب شهرة في الدنيا ألبسه الله ثوب مذلة يوم القيامة ثم ألهب فيه نارا
”Barang siapa mengenakan pakaian syuhroh (untuk mencari populariti) di dunia, nescaya Allah mengenakan pakaian kehinaan kepadanya pada hari kiamat, kemudian membakarnya dengan api neraka.” [vi]

            Antara kewajipan memakai purdah atau tidak, serta kemestian memakai pakaian serba hitam atau boleh berwarna-warni. Hal ini menjadi persoalan besar buat wanita muslim yang selalu ingin menjadi terbaik di hadapan Allah. Apatahlagi ketika tuntutan dan cabaran hidup era globalisasi membawa mereka kepada sebuah dilema yang berlarutan. Ulama empat Mazhab telah mengulas terlebih dahulu berkenaan hal ini. Kesimpulan dari ulasan panjang ulama dari keempat-empat Mazhab[vii] ialah, wajah wanita bagi pandangan mazhab Hanafi dan Maliki bukanlah aurat dan ia tidak wajib ditutup. Tidak berdosa bagi wanita muslim yang tidak memakai niqab, namun ia berubah menjadi wajib ketika timbulnya fitnah. Sedangkan, mengikut pandangan mazhab Syafie dan Hambali, menutup wajah atau memakai niqab adalah wajib secara mutlak. Hal ini dijelaskan di dalam kitab Fathul Qorib yang mensyarahkan sumber penting Mazhab Syafie[viii] iaitu matan Abi Syuja’:

(( وجميع بدن المرأة الحرة عورة إلا وجهها وكفيها ، وهذه عورتها في الصلاة،
أما خارج الصلاة فعورتها جميع بدنها..))

“Seluruh badan wanita selain wajah dan telapak tangan adalah aurat. Ini aurat di dalam shalat. Adapun di luar shalat, aurat wanita adalah seluruh badan” (Fathul Qaarib, 19)

Jika masyarakat seluruh Malaysia yang mengaku mengikut Mazhab Syafie dan ta’sub kepada satu pandangan serta malas menuntut ilmu, sudah tentu hukum bagi mereka yang tidak memakai niqab adalah berdosa. Namun, ulama Feqah kontemporari memperjelaskan polemik ini dengan manhaj ahli sunnah wal Jamaah yang mengajar wasathiyyah atau  pertengahan dalam berfatwa tanpa ta’sub. Dr Yusuf Al-Qaradhawi dan Syeikh Abdul Halim Abu Syuqqah merupakan antara ulama yang banyak menulis dan mengeluarkan fatwa-fatwa kontemporari berkenaan niqab. Kata Dr Yusuf Al-Qaradhawi:

“Di dalam kitab Al-Ijtihad fi Asy-Syariah al-Islamiyyah, saya  menyebutkan, saya menganjurkan wanita yang bergerak dalam bidang dakwah hendaklah tidak mengenakan penutup wajah. Alasannya agar tidak menjadi penghalang komunikasi antara dirinya sebagai da’i dan masyarakat sebagai objek dakwah. Menjaga kemaslahatan dakwah lebih penting dari apa-apa yang dia berjaga-jaga kerananya.”[ix]

Sebagai wanita muslim yang bijak, kita boleh memilih keutamaan manakah yang lebih perlu dipelihara. Jika ada seorang wanita muslim yang berkemampuan terjuan ke dalam bidang dakwah dan menjaga maslahat dakwah dengan berniqab, maka itu adalah lebih baik dan lebih afdhal.

            Konklusinya, wanita muslim harus sentiasa sedar bahawa mereka adalah wanita merdeka yang dicemburui oleh ‘wanita hamba’. Jika zaman ini tiada lagi perhambaan secara zahir, boleh jadi dengan mengenakan pakaian mendedahkan aurat seperti wanita hamba zaman jahiliyah menjadikan mereka adalah klon wanita hamba. Dengan ini, hijab tidak lagi menjadi pilihan bahkan ia adalah kemestian yang tertanam jauh di lubuk sanubari kita sebagai wanita. Kegemilangan politik islam juga tidak akan membuahkan hasil tanpa pelaksanaan syariat yang menjadi simbol keagungan syariat itu sendiri. 

Oleh itu, penerapan berhijab perlu bermula di peringkat institusi pendidikan awam mahupun swasta begitu juga dalam sektor pekerjaan. Berhijab memang tidak menjadikan seorang wanita itu sempurna namun, ketahuilah bahawa ia akan membawa kita ke arah kesempurnaan. Jelaslah bahawa, kefahaman sangat penting dalam proses berhijab. Ia tidak mampu menjadikan wanita muslim itu agung jika hijab dipakai atas dasar budaya semata-mata. Kerana budaya hijab hanya menjadikan kita wanita arab. Sedangkan kefahaman berhijab mengubah budaya itu menjadikan kita wanita muslim. Sebagai penghias bicara akhir, ada secebis syair Arab buat renungan semua wanita muslim:


يا حرة عرفت بلأمس عالية 
 واليوم يبغونها للهو واللعب
لا يستوي من رسول الله قائدة  
 دوما وآخر يهديه أبو لهب

Wahai wanita merdeka yang semalam kau itu begitu mulia,
tetapi hari ini mereka jadikan dirimu objek hiburan dan kepuasan nafsu,
Sekali-kali tidak sama kalian yang menuruti rasulullah sebagai ikutan,
Dengan mereka yang menjadikan petunjuk hidupnya Abu Lahab.[x]


* Artikel ini telah mendapat Johan bagi Pertandingan Penulisan Ihya' Ramadhan Sekolah dan Maahad Tahfiz Kiblah, anjuran Jabatan Tarbiyah dan Penghayatan Islam.




[i] Mat Rofa Ismail, Kerdipan Bintang Melayu di Langit Turki (m/s 37)
[ii] Ibnu Kathir, Tafsir surah al-Ahzab (http://www.qatarshares.com/vb/archive/index.php/t-138753.html)
[iii] http://www.kompasiana.com/anandapujawandra/wanita-kristen-wajib-berjilbab-menurut-injil_55c021639297730812826a50
[iv] https://www.google.com/search?q=hatoon&oq=hatoon&aqs=chrome..69i57j69i59l2j69i60l3.1213j0j0&sourceid=chrome&ie=UTF-8
[v] http://www.isadanislam.com/ulasan-berita-agama/islam-kesetaraan-gender-poligami-hijab
[vi] Hadis Riwayat Abu daud dan Ibn Majah dengan riwayat hasan.
[vii] https://muslim.or.id/6207-hukum-memakai-cadar-dalam-pandangan-4-madzhab.html
[viii] https://rumaysho.com/3140-karya-karya-penting-dalam-madzhab-syafii.html
[ix] http://www.fatimahsyarha.com/2011/07/berniqab-atau-tidak-berniqab.html
[x] Ummufarras17.blogspot.my

1 comment:

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)