بسم الله الرحمن الرحيم
![]() |
Hidup adalah sebuah perjuangan. Menjadi pendidik yang terbaik untuk ummah dan diri. |
Berita itu mengejutkan saya.
Bagaimana seorang guru boleh membawa
pelajarnya keluar merokok dan berpesta?
Kita tidak
bercerita tentang agama. Kita bercerita tentang etika. Kalau melihat dari sudut
agama pun, semua agama pasti menekankan etika bahkan itu adalah hal paling
utama.
Berita sebegini
membuat tekad saya semakin kuat untuk menjadi seorang guru yang mendidik.
Semuanya disebabkan kisah ketika hari pertama bertugas sebagai guru.
Kerana terlalu gemuruh memulakan
hari pertama sebagai seorang guru sekolah menengah, saya segera mencari-cari
pesan terbaik untuk dibuat sebagai bekalan. Tiba-tiba saya bertemu dengan
sebuah pesan jujur dari Syeikh Bin Baz Rahimahullah yang menjadi pegangan saya semenjak
hari pertama menjadi seorang guru:
لا ريب أن المعلم هو المربي الروحي للطالب،
فينبغي أن يكون ذو أخلاق فاضلة، وسمت حسن حتى
يتلأسى به تلامذه،
كما ينبغي أن يكون محافظ على المأثورات
الشرعية، بعيد عن المنهيات،
حافظ لوقته، قليل المزاح، واسع البال، طلق
الوجه، حسن البشر، رحب الصدر، جميل المظهر..
Tidak syak lagi, seorang guru mestilah seorang yang mendidik jiwa
pelajarnya.
Seorang guru mesti memiliki etika yang mulia, guru sepatutnya memiliki
sikap yang baik sehingga pelajarnya boleh terpengaruh dengan sikap baik itu. Begitu
juga, seorang guru hendaknya dia sentiasa menjaga sumber-sumber syariat serta
jauh dari segala larangan agama. Keperibadian seorang
guru adalah, menepati masa, kurang bergurau, luas pengetahuan, jernih wajahnya,
manusia yang baik, lapang dadanya, kemas penampilannya.
Demikian seorang guru.
Guru itu besar
peranannya. Dia seolah seorang duta di
mata pelajarnya. Salah sedikit, pasti pelajar akan melihatnya. Jika baik guru
itu, baiklah pelajarnya. Guru adalah pengganti ibu dan ayah di sekolah.
Tambahan pula jika sekolah berasrama bayangkan, berapa banyak masa yang pelajar
punya untuk melihat guru di hadapan mereka.
Lantaran itu, guru
harus punya waktu mendidik jiwa mereka sendiri.
Rasulullah, baginda adalah teladan seorang guru yang hebat. Ketika
baginda keletihan dan kelelahan, baginda diajar oleh Allah untuk bangun di tengah
malam dan memohon kekuatan dari Allah. Guru juga manusia. Ada masa kita berbuat
silap. Ada masa kita keletihan dan tersalah langkah. Kerana itulah kita amat
memerlukan tempoh untuk mendidik diri sendiri.
Didik diri dengan bacaan motivasi guru yang baik.
Didik diri dengan jiwa pendakwah.
Didik diri dengan sebuah mimpi dan matlamat besar untuk umat.
Didik diri dengan kekuatan rohani dan mental yang tinggi.
Aduhai pendidik, didiklah jiwamu. Pasti nanti kau akan pergi dengan
sebuah kehidupan yang kau tinggalkan di bumi dengan segala manfaat.