09 January 2015

Kerana kita, tidak lebih dari seorang HAMBA.

بسم الله الرحمان الرحيم

Zahra'7|photogallery| SHAS Mosque Disember 2014





Kisah al-Quran, 'mencairkan' papan kekunci yang beku

Maaf andai entri selama ini ada bercerita tentang diri dan peribadi.

Setelah menyepikan diri selama dua bulan dari blog ini, saya berusaha menekan papan kekunci untuk terus mengalirkan manfaat.

2015, tahun ini mengajar saya untuk mejadi penulis dan pendidik sebenar. Penulis yang mendidik pembacanya mengenal Tuhan dan beralih jiwa kehambaan kepada memperhamba dri kepada Dia yang menciptanya.

Sebenarnya, setiap kali menulis tentang pengalaman diri saya sangat suka kalau 'view'nya sangat sedikit. Tetapi, lain pula jadinya. 

Cerita-cerita berbau pengalaman sering mendapat mendapat 'view' dan respon yang baik. Saya mula meneliti dan mengerti, mungkin kerana fitrah manusawi kita memang begitu. Demikian al-Quran mengajar manusia daripada pengajaran menerusi kisah demi kisah.

Untuk mereka yang didengki, ada kisah Yusuf bersama kelapagan jiwanya memaafkan sang saudara.

Untuk mereka yang ingin menjaga diri, ada kisah Maryam bunda nabi Isa yang dikurniakan anak dalam keadaan dirinya yang masih suci.

Untuk mereka yang keliru dan resah akan keadaan masa depannya, ada doa nabi Zakariya yang mengajar kita untuk mengadu keresahan dan kesedihan kepada Allah semata.

Dan terakhir untuk mereka yang merasakan tubuh beku dari gerak dakwah atau usaha memperbaiki manusia, kisah pemuda al-Khafi sepatutnya buat kita sedar bahawa jalan dakwah ini bukan hanya menyampaikan. Ada banyak sisi yang sering kita leka, kerana kata 'usaha' itu termasuk mepertahan agama dengan ilmu, bersabar saat keliru, bertahan saat terasa jemu, dan menikmati sengsara yang datang bagai peluru.

Ah, kisah-kisah di dalam kitab suci al-Quran terlalu melimpah untuk kita bincangkan di sini. Ada baiknya kita terjun sendiri ke lubuk hikmah dan ilmu yang terlampau indah dari pengajaran tafsir dan tadabbur al-Quran, termasuklah entri ini. 

Setelah dua bulan blog ini beku, hari ini kisah para 'mukhbitin'* telah mencairkan kekunci yang sedang beku...


Keliru di persimpangan kehidupan


Sampai saat ini, ketika umur kian beranjak matang sesekali kita terlandas dari laluan sebenar pengembaraan kehidupan. Kadangkala kita masih tertanya; 'apa sebenarnya tujuan hidup ini?', beribadah itu memang sebuah batu asas namun ada lorong-lorong yang mendesak diri melakukan pilihan lalu yang mana sebenarnya paling tepat?

Monolog kita berulang-ulang di saat malam dingin menjelma, bukan kerana kita tidak tahu. Bahkan kitalah insan paling pantas mengerti apa tujuan hidup dek menjadi pemimpin organisasi dan halaqah generasi-generasi baru. Bahkan mungkin kita menjadi tempat rujukan paling dipercaya pula!

Hari ini, kita melihat bulan berbentuk sabit. Semenjak bulan itu purnama sampai ia berubah menjadi sabir seperti hari ini, ada tugasan yang belum kita langsaikan. Ada keputusan yang masih terawang-awang tanpa jawapan walaupun kita pernah belajar dari kisah al-Quran. 

Hati kita menjadi sakit dan perit saat malam menjelang subuh itu soalan yang sama menjengah..

'Apa sebenarnya tujuan hidup ini?'

'Apakah laluan yang perlu dipilih?'

Seminggu, dua minggu kita mendepani beberapa kejadian dan soalan yang sama bertalu-talu membuat kita sedikit tersasar. Kita memaksa diri memilih mengikut kehendak kerana terdesak, lalu kita merasa telah tersalah dan ingin kembali ke persimpangan asal. Namun, kita tersesat ke laluan lain pula.
Semakin keliru.

Saat kita merasa sudah mengambil banyak ibrah dari al-Quran dan hadis, lalu kita menyerahkan keputusan di tangan kita sendiri. Hakikatnya, ada satu hal yang kita terlepas pandang saat diri keliru di persimpangan kehidupan. 
Bertenang ketika bertemu Tuhan.

Saat kita buangkan segala prasangka kepada Tuhan, kita cukupkan diri dengan sekeping jiwa yang telah dibersihkan dengan permohonan ampun. Lalu kita memahami erti nama-nama Allah yang sempurna tiada cela dan tanpa sedikit kekurangan seperti sifat dan nama makhluknya. Sehebat manapun kasih seorang ibu yang baru kehilangan anak di padang pasir lalu bertemu anaknya masih hidup, hebat lagi kasih Allah kepada hamba-Nya.

Kerana Dia ar-Rahiim.

Saat kasih sayang Allah menusuk jiwa halus kita, saat itulah ketenagan sebenar menyerap dan kita akan bertemu keluasan dan kelapangan jiwa untuk menutup pintu keliru. Al-Quran dan kisah-kisahnya, tidak akan menjadi petunjuk melainkan kepada muttaqin iaitu mereka yang punya sisi jujur untuk meraih kebenaran dan ketenangan pilihan.

Bukan manusia jika dia tidak pernah keliru. Kerana keliru itu jugalah nabi Ibrahim alayhissalam mempersoal sembahan-sembahan datuk neneknya dan akhirnya baginda bertemu Allah dalam ketenagan jiwa sekalipun harus mendepani nyalaan api.


Kerana kita, tidak lebih dari seorang HAMBA

 Ibnu 'Abdi Rabbih berkata dalam syair mumahhishatnya:
Aduhai, dunia ini laksana pohon rendang yang lebat dedaunannya,
ketika menghijau pucuk dedaun, layu pula sebahagian dedaun lain..

Inilah rumah yang penuh dengan segala sengsara sebelum kau kecapi impian-impian, kerana tidak akan manusia menikmati hidup melainkan setelah dia ditimpa kesusahan..

Berapa banyak mata yang hari ini menangis sedangkan semalam mata itu tersenyum bahagia, dan telah bahagia pula mata yang kemarin merembeskan airmata duka..

Manusia, usah kau celakkan matamu dengan kehitaman dek tangisan demi tangisan untuk mereka yang telah pergi, kerana kau juga akan pergi bersama mereka..

Berminggu-minggu lamanya menghayati syair ini, satu persatu kisah terjadi di hadapan mata seolah mensyarahkan syair Zaman Andalus yang ringkas namun padat makna. Silih berganti menjadi telinga kepada sahabat-sahabat sekeliling bukan kerana kita terbaik, namun kerana Allah memang ingin megajar kita dan mendidik kita melalui kisah-kisah mereka.

Semalam, kita berkongsi kisah gembira dan ke muara permasalahan dengan tafakur bersama. Lalu hari ini kita harus mendepani kesedihan pula. Manusia memang begitu kehidupannya, terdedah kepada bahagia dan duka. Tiada perkara yang perlu disesali melainkan menerima dan menjadi pelengkap sesama kita.

Itulah kisah lumrah seorang hamba. Saat Allah dampingkan kita dengan ujian dan dugaan, sebenarnya Allah tidak biarkan kita terkapai-kapai menempuh ujian dan kekeliruan itu semata-mata kepada diri kita. Allah bekalkan petunjuk berupa al-Quran dan hadis dari Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersama kita.

Berpegang teguh dengan keduanya, itu mesti. Kita tiada pilihan, kerana akhirnya kita adalah seorang HAMBA kepada-Nya.
لا حول ولا قوة إلا بالله
Tiada daya dan kekuatan melainkan dari Allah!


Zaharoh Fajar Nina,
Dar al-Hikmah UIAM,
9 Januari 2015.
 
-------------------------
* "وَبَشِّرِ الْمُخْبِتِينَ.الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَالصَّابِرِينَ عَلَى مَا أَصَابَهُمْ وَالْمُقِيمِي الصَّلَاةِ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ"
 [الحج : 34 ، 35]