20 September 2019

MERAWAT KESEDIHAN DENGAN TADABBUR AL-KAHFI

بسم الله الرحمن الرحيم


Bacaan Al-kahfi kali ini terasa berbeza.

Entah mengapa ayat-ayat yang telah diulang-ulang saban minggu, kali ini terasa begitu dekat begitu menyayat. Kadang-kadang, di saat Allah terlalu sayangkan kita Dia 'paksa' kita untuk mengingat-Nya. Namun, manusia yang dicipta dengan sifat (هلوع)  penuh dengan keluh-kesah ini, beginilah lagaknya terlupa dan terleka sentiasa..

Mungkin, suatu ketika dahulu kita pernah meminta agar Allah berikan kita petunjuk dan kebaikan. Lalu, diberikan kepada kita kebaikan dan kita terlupa bersyukur. Lalu, diberikan lagi kebaikan demi kebaikan dan kita terus terlupa. Sehingga Allah Al-Qahhar, Yang Maha Memaksa menimpakan kita dengan ujian yang berat dan terlampau berat. Hampir saja kita merasa tidak mampu menanggungnya. Hampir sahaja kita berputus asa, dan hampir saja kita mengalah sehingga terasa ingin melukakan diri sendiri..

Di saat itu, tangisan tidak lagi mengalirkan air mata. Kerana kesedihan yang teramat dalam telah membungkam jiwa dan raga. Air mata yang mengalir seumpama kepura-puraan semata. Di saat manusia di seluruh pelusuk dunia tidak mampu mengerti betapa dalamnya kedukaan yang menimpa, saat itulah secebis iman yang masih berbekas mengkhabarkan. Bahawa ada Allah Al-Lathiif itu terlalu Santun dan Lembut sekalipun kepada hamba yang bergelumang dosa. Allah Al-Hayyu itu Maha Hidup dan tidak akan mati. Bahkan, Allah tidak pernah tidur! Mengantuk pun tidak! Bukankah itu yang sering kita ulang-ulang di dalam Ayatul kursiy?

Ketika titik terendah di dalam hidup kita di mata manusia, Allah sedang ingin meninggikan kita agar dekat dengan-Nya. Bukankah itulah satu-satunya kasih sayang yang tidak akan boleh ditukar ganti?

Di saat itulah kita kembali menyedari bahawa ayat-ayat Allah di dalam surah Al-kahf ini benar-benar 'cahaya yang menerangi' di saat maksudnya difahami dan ditelusuri.

4 TADABUR AL-KAHF UNTUK MERAWAT KESEDIHAN

1) Tidak mungkin kita mengerti sedihnya nabi saat kita tidak mengalami. Lalu, surah Al-kahfi menggambarkan kesedihan baginda dengan perkataan باخع نفسك kesedihan yang hampir-hampir merosakkan dirinya. Itulah bukti bahawa  nabi SAW juga manusia. Baginda turut merasakan kesedihan yang mendalam di saat wahyu tidak turun untuk menjelaskan kisah yang diceritakan oleh musyrikin Quraisy. Tidak mengapa bersedih, kerana kesedihan dan kedukaan itu, manusiawi. Demikian, Allah amat memahami jiwa hamba-Nya..(18:6)

2) Lalu, bagaimana harusnya kita menghadapi kesedihan itu? Selagi kesedihan itu ada di dalam relung jiwa kita, segala hal dan perkara yang dilakukan terasa tawar sahaja. Tidak nikmat dan terasa amat menyakitkan. Di dalam ayat 7 ini Allah memujuk kita dengan kalam-Nya yang mulia. Allah memujuk kita dengan sebuah ayat yang amat indah dan sepotong perkataan yang terlampau mendamaikan. أحسن عملا sebaik-baik perbuatan. Dalam kesilapan dan kekurangan sebagai hamba pun, Allah masih memujuk kita dengan meletakkan kebaikan bagi mereka yang bersabar. Allah tidak marah, dan melukakan perasaan sedih kita dengan kata-kata yang menambah luka. Tetapi, Allah menyebut 'ahsan' iaitu sebaik-baik atau terbaik! Itu tandanya Allah mengiktiraf usaha mereka yang tetap bersabar sekalipun usaha itu sedikit. Kerana, boleh jadi usaha yang sedikit itu, adalah terbaik! Kerana itu Allah tidak menggunakan perkataan 'aksaru' atau banyaknya bersabar. Hanya orang yang ditimpa kedukaan sahaja mengerti bagaimana dirinya berjuang untuk bertahan dan bersabar dengan sabar yang sedikit dan baik. Kerana kesedihan membuat manusia tidak mampu melakukan banyak perkara. Di saat kesedihan melanda, Allah membimbing kita supaya tetap bertahan dengan sedikit kesabaran yang indah.. (18:7)

 3) Kesedihan, seringkali hadir bersama 'ketidakpastian'. Saat inilah syaitan akan mudah mempengaruhi manusia dengan memasakkan sangka-sangka buruk di dalam hatinya. Janji syaitan untuk menyesatkan manusia menjadi mudah terlaksana. Bukan kerana syaitan itu kuat, tetapi kerana manusia sedang lemah. Kerana itulah, di saat hati dirundung kesedihan, tetap dan teruslah merengek kepada Allah. Sekalipun kita ini pendosa. Jangan sesekali menambah dosa sedia ada dengan mengikut hasutan syaitan si durjana. Merengeklah kepada Allah dengan istighfar dan permohonan ampun. Betapa Allah amat menyukai hamba yang bertaubat, sehingga Allah tersenyum di saat seorang hamba memohon ampun. Kerana itulah, Allah sentiasa menanti hamba-Nya di saat 'ketidakpastian' melanda kehidupan. Memintalah dengan kerendahan hati.. Agar kesedihan itu Allah selalu bimbing kearah kebaikan..(18:24)

4) Saat kita disakiti dan dilukai oleh mereka tidak baik, kita pasti akan bersedih. Namun, kita pasti lebih bersedih disaat kita disakiti dan dilukai oleh orang-orang baik. Duhai diri yang sentiasa inginkan kebaikan, saat kesedihan begini melanda, tetaplah bersabar dengan orang-orang baik itu. Jangan sesekali kita menjauhi mereka. Tetap doakan orang-orang baik itu. Tetap sayangi mereka kerana Allah. Bukankah orang baik juga manusia seperti kita? Ada silap dan ada kekurangannya? Tetaplah bersabar agar suatu saat kita dan dia memperoleh manfaat dan kebaikan dari Allah akibat kesabaran itu. Kerana itulah, jangan sesekali menyangka kita tidak akan bersedih saat berteman dengan orang baik. Kita harus bersabar dan tetap bertahan jika kita meyakini bahawa dia benar-benar orang baik yang sentiasa mengharapkan redha Allah dalam hidupnya sama seperti kita. Ujian yang melanda saat kita dipertemukan dengan seseorang yang baik, adalah ruang besar untuk Allah mengajarkan kita kesabaran! Kerana hanya itu kunci kita saling memperoleh kebaikan.. (18:28)

Semoga Allah mengangkat kesedihan dari hati-hati mereka yang sedang bersedih. Allah pasti menggantikan kesedihan itu dengan kebaikan yang banyak saat kita berusaha untuk terus sabar..

Jumaat,
20 Muharram 1440 H
#kalamzfn
#tadabburzfn

No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)