07 December 2016

Bersabarlah wahai guru!


بسم الله الرحمن الرحيم

Anak-anak lelaki, didikan untuk mereka itu berbeza. Ibu ayah dan guru tidak wajar menyamakan antara dia dan kakaknya.

Kelas hari ini agak muram. Di pintu rumah, si ibu menyambut saya dengan wajah agak sugul. Keletihan bekerja barangkali. Saya maklum, tugas sebagai seorang eksekutif bank di ibu kota agak mencabar. Apatahlagi jika terpaksa meredah 'jem' jam 5 petang, dan mesti sampai di Bangi sebelum jam 8 malam.

2 orang anak kecil berlari-lari anak menerpa saya. Segera saya mempersilakan mereka duduk. Si kakak segera duduk bersila dan bersedia. Si adik yang berumur 4 tahun nampak masih belum siap.
Saya biarkan sahaja.
20 minit berlalu, si kakak keletihan.
" Susahlah ustazah!" Rungutnya.

Saya mengusap kepalanya.
"Kakak, nak pandai mengaji kan?"

Dia mengangguk perlahan.
" kalau nak pandai, kena baca betul-betul depan ustazah. Nanti kalau ustazah tiada, siapa nak dengar kakak baca?"

"Ok lah ustazah.", dia meneruskan bacaan huruf 'tsa' dan 'gho' yang agak sukar itu.

5 minit kemudian, saya membenarkannya berehat. Saya panggil si adik pula.
"Wah, hebatnya lukisan zakwan. Ustazah nak tengok."

Saya memulakan dengan menarik perhatiannya. Dia memberikan lukisan bersama crayon glitter kepada saya. Menggunakan kedua-dua alat lukisan itu, saya melukiskan huruf 'alif' 'ba' dan 'ta'.
Saya tunjuk pada huruf 'alif'.
"Adam, tengok ni ustazah lukis 'a' "

"Aaaaaaaaaa", adam mengikut.

"A pendek je adam"

"Aaaaaaaaaaaa", dia menyebut lagi.

" 'ba' ", saya ubah kepada huruf lain.

" Aaaa baaaaaaaaaaaaaa baaaaa baaaaaaaaa baaaaaaaa taaaaa taaaa taaaaa taaaaaa baaaa taaaaaaa", Zakwan menyebut ketiga-tiga huruf itu sekali gus tanpa mendengar ajaran saya.

"Adam kena baca pendek sahaja. Begini, 'ba'", telunjuk saya terletak pada huruf ba.

" 'baaaaaaaa baaaa baaaaa,", dia tidak mahu mendengar kata.

" Zakwan, anak soleh kan. Kena ikut ustazah baca. 'Ba' "

" Baaaaa baaaaa baaaaa taaaaa taaaa taaaaa aaaaaaa aaaa aaaaa aaaaaa" dia tetap berkeras. Tidak mahu mengikut ajaran saya.
Saya buntu.
Segera saya mengumpannya dengan permainan lego di dalam bilik.
"Adam nak main lego dengan ustazah?"

"Nak."
Segera dia menjawab.

"Kalau nak main lego, jom baca iqra dulu betul-betul macam ustazah ajar. boleh ya Zakwan..."

Dia tidak mengendahkan. Segera dituangnya lego tanpa menghiraukan saya. 15 minit telah berlalu. Saya serba salah. Tempoh 1 jam diperuntukkan untuk anak kecil 4 tahun itu belajar mengaji. Masa berlalu tanpa seminit pun dia mengaji.

Saya dilema. Antara membiarkan si adik bermain, dengan amanah saya untuk mengajar mereka.

"Tatak, tadi mustajah tak bagi adik main ledo," tiba-tiba si adik bangu merapati kakaknya. Dia mengadu dengan pelat yang pekat.

Saya terkejut. Saya langsung tidak menghalangnya bermain. Nampaknya dia sedang 'membenci' saya. Jika tidak mengenangkan umurnya yang baru 4 tahun, saya pasti hilang sabar. Akhirnya saya hanya mengajar si kakak. Saya tidak lagi mendesak si adik mengaji iqra.

Sambil bermonolog di dalam hati: "bersabarlah duhai guru...", saya memanggil Zakwan, lalu memeluknya erat. Sambil perlahan saya membacakan doa di ubun-ubun kepalanya..
Bersabarlah wahai guru!

04 December 2016

Siginfikan surah an-Naas dan manusia



Setiap hari kita bertemu manusia. Jika sihat, di tempat kerja bertemu rakan sekerja dan manusia-manusia sepanjang perjalanan menuju tempat kerja.

Manusia dengan pelbagai sikap mereka. Pekerja di pejabat akan bertemu dengan pelanggan yang pelbagai watak dan latarbelakang. Kita mahu cepat, dia datang lambat. Kita siap lambat, dia mendesak-desak ingin cepat. Salah sedikit, diherdiknya kita. Terlalu tegas, dijaja sebagai tidak memahami.

Itu biasa.

Pengalaman saya menjadi pelajar praktikal di sebuah institusi mengajar saya watak-watak manusia di arena perkhidmatan. 

Seorang guru, dia berdepan dengan karenah guru lainnya. Dia punya cara mudanya sendiri dalam membentuk anak didik, namun tidak dipersetujui oleh guru tua. Ada pula karenah anak-anak pelajar dengan ego masing-masing. Masih kecil seolah besar. Sudah besar, masih tidak matang. Ah, ya. Guru seperti kita inilah yang harus memutar dan mengetuk pintu kedewasaan mereka.

Demikian manusia dengan pekerjaan apa pun ketika dia kuat bekerja.

Sakit.

Jika sakit disangka pemisah manusia dengan manusia lainnya, tenyata kita salah. Ujian kesakitan malah menemukan kita dengan manusia di dimensi berbeza. Seorang pesakit, temannya adalah doktor dan nurse. Bukankah mereka ini juga manusia?

Sehebat-hebat ilmu pengajian seorang doktor, mereka masih manusia beremosi. Dalam tenang mereka merawat pesakit, mereka tetap manusia yang bisa juga sakit. Walau dididik dengan kesantuan belas dan kelembutan tutur kata, seorang jururawat  masih seorang manusia. Yang dalam 5 itu boleh ada seorang mengkasari pesakitnya.

Sakitkah, sihatkah, kita semua harus berdepan dengan manusia. Hatta, kau yang membaca, dan aku yang menulis ini juga manusia. Lalu, tidak hairanlah mengapa kita diajar untuk berlindung dengan Tuhan manusia dari manusia-manusia dengan emosinya.

Surah an-nas itu, itulah intipatinya! Memohon perlindungan diri dengan tuhan manusia, dari kejahatan perasaan manusia. Juga dari kejahatan jin yang menghasut manusia.

TIGA KALI SETIAP PAGI.
TIGA KALI SETIAP PETANG.

Surah an-Naas ada siginfikan tersendiri. Saat nabi shallallahu alayhi wasallam mengajarkannya kepada kita, ia untuk kita. Kerana manusia-manusia yang terlihat baik, bukan semuanya berperasaan baik-baik sahaja.

Kita yang berperasaan baik ini pun, mungkin hanya perasan.
___
PPUKM
CHERAS
'16