26 January 2016

Ingin ku usir keliru..

Kerja terbengkalai. Sukar menetapkan keputusan. Itu keliru namanya.

Untuk seorang manusia, sang keliru pasti pernah singgah di pinggiran kehidupannya. Ada yang kadang-kadang. Ada yang selalu dan seringkali.

Seorang ulama besar pun, pernah melalui fasa-fasa begini.

Pernah ketika berada di dalam tahanan, Hamka bercerita kecelaruan jiwanya. Dengan sebuah alatan tajam, ditambah pula kondisi sebagai tahanan, yang kebanyakan manusia menganggapnya hina, boleh kiranya kita memahami mengapa beliau terasa ingin menusuk sahaja dirinya!

Kisah jujur dalam pengantar Tasauf Moden itu membuat saya terfikir berkali-kali. Bagaimana manusia itu tetap manusia yang terkadang jiwanya teramat lemah. Lalu dia dikuatkan oleh Yang Maha Kuat, al-Qawiy.

Lalu kita, yang tahapannya masih belum dekat dengan tahapan ulama, apatah lagilah.

Namun, itu sesekali tidak boleh menjadi alasan. Kerana ujian kita juga, pada tahapan ini, masih belum terlalu mencabar.

Saat keliru menjelma, tidak perlu disalahkan sang keliru. Ia tidak bisa mengubah apa pun. Tiada salahnya jika kita memilih untuk berdamai dengan sang keliru.

Duduk diam-diam sambil berfikir panjang tentang hubungan kita dengan Pencipta kita. Kerana kau yang ingin mendekat dan ingin takutkan Tuhannya, akan menemui suatu hal.

Bahawa dirinya sedang semakin lalai.

Bahawa dirinya sedang leka dengan penobatan manusia.

Bahawa dirinya sedang membesarkan marahnya manusia.

Bahawa dirinya sedang mengecilkan pandangan Allah pada dirinya.

Bahawa dirinya tersalah sangka tentang kekalnya dunia, padahal ia persinggahan sahaja.

Bahawa dirinya, akan ditingkatkan kepada tahapan yang lebih baik, itu pun jika dia berjaya.

Keliru akan sentiasa ada.

Kerana tanpa kekeliruan, manusia tidak menghargai kepastian.

Tanpa kekeliruan, manusia akan bongkak dan semakin bongkak saat mereka merasakan mereka telah pasti pada semua hal!

Sedangkan baginda nabi yang mendapat wahyu dari Allah yang maha Menetapkan pun, sering memohon dengan hati rendah:

يا حَيُّ يا قَيُّومْ بِرَحْمَتِكَ أسْتَغيثُ أصْلِحْ لي شَأْني كُلَّهُ ولا تَكلني إلى نفسي طَرْفَةَ عَيْنٍ

"wahai yang Maha Hidup, dan yang Maha Kuat tidak memerlukan yang lain, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan segera.

Perbaikilah untukku, semua urusanku, dan usah sekali-kali Kau biarkan aku menguruskannya sendiri, walau falam sekelip mata pun!"

......
Yang berusaha memahami, akan diberi kefahaman, tentang lemahnya kita untuk menguruskan sendiri urusan kita yang sukar mahupun mudah...

20 January 2016

Bermula dengan terpaksa.

Banyak hal bermula dengan terpaksa. Kerana kita ini manusia. Kita bukan malaikat yang sentiasa rela dalam kebaikan. Bukankah kita berada dalam dua tarikan. Dua pilihan. Untuk menjadi baik ataupun sebaliknya.

Banyak hal bermula dengan terpaksa. Setelah bertahun-tahun kita berjuang dalam keterpaksaan, barulah kita faham mengapa kita memerlukan keikhlasan.

Walau setelah bertahun-tahun. Kita masih bersyukur kerana tetap mengenal keikhlasan.

Rawak dengan cerita dari hati.