07 December 2016

Bersabarlah wahai guru!


بسم الله الرحمن الرحيم

Anak-anak lelaki, didikan untuk mereka itu berbeza. Ibu ayah dan guru tidak wajar menyamakan antara dia dan kakaknya.

Kelas hari ini agak muram. Di pintu rumah, si ibu menyambut saya dengan wajah agak sugul. Keletihan bekerja barangkali. Saya maklum, tugas sebagai seorang eksekutif bank di ibu kota agak mencabar. Apatahlagi jika terpaksa meredah 'jem' jam 5 petang, dan mesti sampai di Bangi sebelum jam 8 malam.

2 orang anak kecil berlari-lari anak menerpa saya. Segera saya mempersilakan mereka duduk. Si kakak segera duduk bersila dan bersedia. Si adik yang berumur 4 tahun nampak masih belum siap.
Saya biarkan sahaja.
20 minit berlalu, si kakak keletihan.
" Susahlah ustazah!" Rungutnya.

Saya mengusap kepalanya.
"Kakak, nak pandai mengaji kan?"

Dia mengangguk perlahan.
" kalau nak pandai, kena baca betul-betul depan ustazah. Nanti kalau ustazah tiada, siapa nak dengar kakak baca?"

"Ok lah ustazah.", dia meneruskan bacaan huruf 'tsa' dan 'gho' yang agak sukar itu.

5 minit kemudian, saya membenarkannya berehat. Saya panggil si adik pula.
"Wah, hebatnya lukisan zakwan. Ustazah nak tengok."

Saya memulakan dengan menarik perhatiannya. Dia memberikan lukisan bersama crayon glitter kepada saya. Menggunakan kedua-dua alat lukisan itu, saya melukiskan huruf 'alif' 'ba' dan 'ta'.
Saya tunjuk pada huruf 'alif'.
"Adam, tengok ni ustazah lukis 'a' "

"Aaaaaaaaaa", adam mengikut.

"A pendek je adam"

"Aaaaaaaaaaaa", dia menyebut lagi.

" 'ba' ", saya ubah kepada huruf lain.

" Aaaa baaaaaaaaaaaaaa baaaaa baaaaaaaaa baaaaaaaa taaaaa taaaa taaaaa taaaaaa baaaa taaaaaaa", Zakwan menyebut ketiga-tiga huruf itu sekali gus tanpa mendengar ajaran saya.

"Adam kena baca pendek sahaja. Begini, 'ba'", telunjuk saya terletak pada huruf ba.

" 'baaaaaaaa baaaa baaaaa,", dia tidak mahu mendengar kata.

" Zakwan, anak soleh kan. Kena ikut ustazah baca. 'Ba' "

" Baaaaa baaaaa baaaaa taaaaa taaaa taaaaa aaaaaaa aaaa aaaaa aaaaaa" dia tetap berkeras. Tidak mahu mengikut ajaran saya.
Saya buntu.
Segera saya mengumpannya dengan permainan lego di dalam bilik.
"Adam nak main lego dengan ustazah?"

"Nak."
Segera dia menjawab.

"Kalau nak main lego, jom baca iqra dulu betul-betul macam ustazah ajar. boleh ya Zakwan..."

Dia tidak mengendahkan. Segera dituangnya lego tanpa menghiraukan saya. 15 minit telah berlalu. Saya serba salah. Tempoh 1 jam diperuntukkan untuk anak kecil 4 tahun itu belajar mengaji. Masa berlalu tanpa seminit pun dia mengaji.

Saya dilema. Antara membiarkan si adik bermain, dengan amanah saya untuk mengajar mereka.

"Tatak, tadi mustajah tak bagi adik main ledo," tiba-tiba si adik bangu merapati kakaknya. Dia mengadu dengan pelat yang pekat.

Saya terkejut. Saya langsung tidak menghalangnya bermain. Nampaknya dia sedang 'membenci' saya. Jika tidak mengenangkan umurnya yang baru 4 tahun, saya pasti hilang sabar. Akhirnya saya hanya mengajar si kakak. Saya tidak lagi mendesak si adik mengaji iqra.

Sambil bermonolog di dalam hati: "bersabarlah duhai guru...", saya memanggil Zakwan, lalu memeluknya erat. Sambil perlahan saya membacakan doa di ubun-ubun kepalanya..
Bersabarlah wahai guru!

04 December 2016

Siginfikan surah an-Naas dan manusia



Setiap hari kita bertemu manusia. Jika sihat, di tempat kerja bertemu rakan sekerja dan manusia-manusia sepanjang perjalanan menuju tempat kerja.

Manusia dengan pelbagai sikap mereka. Pekerja di pejabat akan bertemu dengan pelanggan yang pelbagai watak dan latarbelakang. Kita mahu cepat, dia datang lambat. Kita siap lambat, dia mendesak-desak ingin cepat. Salah sedikit, diherdiknya kita. Terlalu tegas, dijaja sebagai tidak memahami.

Itu biasa.

Pengalaman saya menjadi pelajar praktikal di sebuah institusi mengajar saya watak-watak manusia di arena perkhidmatan. 

Seorang guru, dia berdepan dengan karenah guru lainnya. Dia punya cara mudanya sendiri dalam membentuk anak didik, namun tidak dipersetujui oleh guru tua. Ada pula karenah anak-anak pelajar dengan ego masing-masing. Masih kecil seolah besar. Sudah besar, masih tidak matang. Ah, ya. Guru seperti kita inilah yang harus memutar dan mengetuk pintu kedewasaan mereka.

Demikian manusia dengan pekerjaan apa pun ketika dia kuat bekerja.

Sakit.

Jika sakit disangka pemisah manusia dengan manusia lainnya, tenyata kita salah. Ujian kesakitan malah menemukan kita dengan manusia di dimensi berbeza. Seorang pesakit, temannya adalah doktor dan nurse. Bukankah mereka ini juga manusia?

Sehebat-hebat ilmu pengajian seorang doktor, mereka masih manusia beremosi. Dalam tenang mereka merawat pesakit, mereka tetap manusia yang bisa juga sakit. Walau dididik dengan kesantuan belas dan kelembutan tutur kata, seorang jururawat  masih seorang manusia. Yang dalam 5 itu boleh ada seorang mengkasari pesakitnya.

Sakitkah, sihatkah, kita semua harus berdepan dengan manusia. Hatta, kau yang membaca, dan aku yang menulis ini juga manusia. Lalu, tidak hairanlah mengapa kita diajar untuk berlindung dengan Tuhan manusia dari manusia-manusia dengan emosinya.

Surah an-nas itu, itulah intipatinya! Memohon perlindungan diri dengan tuhan manusia, dari kejahatan perasaan manusia. Juga dari kejahatan jin yang menghasut manusia.

TIGA KALI SETIAP PAGI.
TIGA KALI SETIAP PETANG.

Surah an-Naas ada siginfikan tersendiri. Saat nabi shallallahu alayhi wasallam mengajarkannya kepada kita, ia untuk kita. Kerana manusia-manusia yang terlihat baik, bukan semuanya berperasaan baik-baik sahaja.

Kita yang berperasaan baik ini pun, mungkin hanya perasan.
___
PPUKM
CHERAS
'16

18 September 2016

Tuhan, aku letih! (18:8)


بسم الله الرحمن الرحيم

Tidakkah kau sedar, letihmu itu kerana berat tanggungan dosa?!
Ada detik kita merasa kecewa dengan kehidupan. Lalu kita mempersoal, apakah aku tidak layak bahagia?

Kita terdera oleh kekhilafan...
Kita amat takut berhadapan ancaman...
Kita bungkam meniti persoalan tanpa jawapan...
Kita keliru saat harus membuat pilihan di persimpangan...
Kita sakit menerima cubaan dan dugaan...
Kita perit menanggung beban sendirian...
Kita lelah berdepan kekhawatiran...

Perasaan yang sama-samar. Jiwa yang kian serabut.

Setelah satu ujian, ujian lain mendatang. Bukankah aku dijanjikan dengan kebahagiaan setelah kesabaran? 

Mana bahagia itu?

Pada celah-celah torehan luka disindir.
Pada silau sekali-sekala dari balik kegelapan malam.
Pada sudut-sudut sepi yang pernah aku telusuri.

Aku masih mencari bahagia yang dijanjikan. Namun di manakah ia? Aku masih tidak dibenar bertemu dengannya.

"Tuhan, aku letih!"

Akhirnya ungkapan itu terluah juga. Ungkapan yang selama ini hanya bergema di relung jiwa. Ungkapan yang selama ini hanya mengetuk perlahan untuk dihamburkan.

Hambar.
Jeritan yang tetap tidak mengubah apa-apa.
Jeritan yang tetap tidak mendatangkan bahagia.

Lihatlah juga dia yang pernah letih

Segera aku memejamkan mata. Mencari solusi pada apa jua yang bisa aku capai. Pada bentuk terpampang di hadapan mata. Juga pada bentuk imaginasi di bayangan minda. Aku bertemu sebuah kenangan. Pada suatu sudut taman di dalam bulatan kecil. Kenangan itu menyerakkan warnanya membentuk cerita dahulu.

Dahulu yang menitiskan airmataku.
Dahulu yang pernah merobekkan jiwa dan rasaku.
Dahulu yang menyesakkan relung dadaku.
Dahulu yang hanya aku yang tahu, dan tentu TUHAN.

Namun dahulu itu tidak pernah menyesatkan aku. Sehingga dahulu itu menjadikan aku yang hari ini. Lalu mengapa harus aku menyesali diri?  Mengapa aku hampir putus dari asaku.

Jiwa ini pernah letih. Semua manusia pun pernah letih. Nabi juga letih. Namun tidak pula baginda berutus asa. Lalu akankah kau putus asa?

Tida

Demikianlah kita manusia...
Titik lemah itu pasti ada agar kita sedar diri. Bahawa kita ini manusia hamba yang penuh dengan ciri manusiawi...

Demikian juga rasulullah dan para nabi. Para sahabat dan tabiin. Mereka juga manusia yang melalui segala ciri manusiawi ini.

Lalu kita melihat mereka kuat. Mengapa? Bagaimana?

Kerana mereka tidak meletakkan kenabian sebagai bonus limitasi seorang hamba. Dengan cara mereka menghambakan dirii mereka di hadapan Allah, robbul jalil.

Lihatlah, betapa banyak para nabi berdoa lalu doa2 mereka terakam indah di dalam al-Quran.

Untuk kita, jadilah diri kita hamba untuk kita menjadi kuat. Saat Rasulullah mengajarkan kita sebuah doa:

 يَا حيُّ يا قيُّوم بِرَحْمَتِك أسْتغيث أَصْلِحْ لي شأني كلَّه ولا تكلني إلى نفسي طَرْفَةَ عَيْنٍ

Kita diajar menyeru nama Allah yang Maha Hidup!

Wahai tuhan yang Maha hidup!
Wahai tuhan yang maha kuat!

Dengan bantuan-Mu aku memohon bantuan dengan segera, perbaikilah seluruh urusan hamba-Mu ini, dan jangan sekali-kali KAU biarkan aku menguruskan urusanku ini walau pada kadar sekelip kerdipan mata pun!

Itulah doa, untuk kekecewaan, kesedihan, ketakutan, kesakitan, kerisauan, juga kelemahan manusiawi kita...

Kerana Allah Maha Hidup, DIA tidak pernah leka sehalus mana pun jiwa hamba-Nya merintih..


Bersihkan jiwa, minta bantuan dari Solat dan Sabar

Perlahan aku bangkit dari duduk yang menyesakkan. Aku teringat Surah ke 18 ayat ke 8. Segera aku bangkit berbekalkan ayat itu sebagai motivasi. Lalu kupohon bantuan dari yang Maha Memiliki kekuatan, Allah.

Solat.

Lalu sabar,

Dua hal yang boleh kupohon bantuan saat begini. Terasa diubati, terasa dibelai lagi. Keletihan itu akhirnya beransur hilang. Dan mataku terlelap dengan bibir masih mengungkap potongan ayat 18:8.

-------------
17 Sept 2016
(Artikel siap setahun setelah bermula)



26 January 2016

Ingin ku usir keliru..

Kerja terbengkalai. Sukar menetapkan keputusan. Itu keliru namanya.

Untuk seorang manusia, sang keliru pasti pernah singgah di pinggiran kehidupannya. Ada yang kadang-kadang. Ada yang selalu dan seringkali.

Seorang ulama besar pun, pernah melalui fasa-fasa begini.

Pernah ketika berada di dalam tahanan, Hamka bercerita kecelaruan jiwanya. Dengan sebuah alatan tajam, ditambah pula kondisi sebagai tahanan, yang kebanyakan manusia menganggapnya hina, boleh kiranya kita memahami mengapa beliau terasa ingin menusuk sahaja dirinya!

Kisah jujur dalam pengantar Tasauf Moden itu membuat saya terfikir berkali-kali. Bagaimana manusia itu tetap manusia yang terkadang jiwanya teramat lemah. Lalu dia dikuatkan oleh Yang Maha Kuat, al-Qawiy.

Lalu kita, yang tahapannya masih belum dekat dengan tahapan ulama, apatah lagilah.

Namun, itu sesekali tidak boleh menjadi alasan. Kerana ujian kita juga, pada tahapan ini, masih belum terlalu mencabar.

Saat keliru menjelma, tidak perlu disalahkan sang keliru. Ia tidak bisa mengubah apa pun. Tiada salahnya jika kita memilih untuk berdamai dengan sang keliru.

Duduk diam-diam sambil berfikir panjang tentang hubungan kita dengan Pencipta kita. Kerana kau yang ingin mendekat dan ingin takutkan Tuhannya, akan menemui suatu hal.

Bahawa dirinya sedang semakin lalai.

Bahawa dirinya sedang leka dengan penobatan manusia.

Bahawa dirinya sedang membesarkan marahnya manusia.

Bahawa dirinya sedang mengecilkan pandangan Allah pada dirinya.

Bahawa dirinya tersalah sangka tentang kekalnya dunia, padahal ia persinggahan sahaja.

Bahawa dirinya, akan ditingkatkan kepada tahapan yang lebih baik, itu pun jika dia berjaya.

Keliru akan sentiasa ada.

Kerana tanpa kekeliruan, manusia tidak menghargai kepastian.

Tanpa kekeliruan, manusia akan bongkak dan semakin bongkak saat mereka merasakan mereka telah pasti pada semua hal!

Sedangkan baginda nabi yang mendapat wahyu dari Allah yang maha Menetapkan pun, sering memohon dengan hati rendah:

يا حَيُّ يا قَيُّومْ بِرَحْمَتِكَ أسْتَغيثُ أصْلِحْ لي شَأْني كُلَّهُ ولا تَكلني إلى نفسي طَرْفَةَ عَيْنٍ

"wahai yang Maha Hidup, dan yang Maha Kuat tidak memerlukan yang lain, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan segera.

Perbaikilah untukku, semua urusanku, dan usah sekali-kali Kau biarkan aku menguruskannya sendiri, walau falam sekelip mata pun!"

......
Yang berusaha memahami, akan diberi kefahaman, tentang lemahnya kita untuk menguruskan sendiri urusan kita yang sukar mahupun mudah...

20 January 2016

Bermula dengan terpaksa.

Banyak hal bermula dengan terpaksa. Kerana kita ini manusia. Kita bukan malaikat yang sentiasa rela dalam kebaikan. Bukankah kita berada dalam dua tarikan. Dua pilihan. Untuk menjadi baik ataupun sebaliknya.

Banyak hal bermula dengan terpaksa. Setelah bertahun-tahun kita berjuang dalam keterpaksaan, barulah kita faham mengapa kita memerlukan keikhlasan.

Walau setelah bertahun-tahun. Kita masih bersyukur kerana tetap mengenal keikhlasan.

Rawak dengan cerita dari hati.