Anak kecil itu, terlalu suci untuk disakiti.. |
Tangan ini akan hancur, harapku agar tulisan ini takkan lebur, lalu menjadilah kita jiwa-jiwa yang menyerahkan hati pada ALLAH" (31:22)
23 December 2015
Yang aku belajar dari khalifah kecilku...
02 October 2015
Kesedihan tiada tara...
Ketika sampai pada ayat keenam surah al-kahfi, saya terhenti lama. Ada kata dan bicara yang terasa sangat mengena.
Beberapa waktu Allah menguji kita dengan kesedihan dan keperitan amat mendalam. Hampir saja ingin menjerit menangis terlolong memohon bantuan. Namun akal rasional mengajar untuk kembali kepada kisah kesedihan agar kita tak pernah merasa sendiri.
Memujuk hati di Jumaat ini dengan sebuah kalam Allah, mencari pujukan paling halus membelai memujuk. Saya perhatikan dalam-dalam perkataan kedua dari ayat keenam ini:
فَلَعَلَّكَ بَاخِعٌ نَفْسَكَ عَلَىٰ آثَارِهِمْ إِنْ لَمْ يُؤْمِنُوا بِهَٰذَا الْحَدِيثِ أَسَفًا
Maka jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini.
[Al-kahfi:6]
Demikian firman Allah yang maha Agung.
Setahu saya, perkataan sedih yang sering digunakan dalam pelajaran Bahasa Arab adalah perkataan حزن.
Namun, saat Allah menggunakan perkataan بخع, saya mulai mencari rahsia di sebaliknya.
Melihat terjemahan, ia hanya disebutkan sebagai 'bersedih'. Namun jika diteliti, perkataan tersebut bukanlah membawa maksud kesedihan biasa.
بخع.
Ia sebuah kesedihan yang terjadi disebabkan rasa terhina dan hampir tunduk kepada sesuatu disebabkan malu. Kesedihan yang boleh membawa rasa ingin membunuh diri dan tekanan yang amat mendalam pada jiwa manusiawi seorang insan.
Demikian penafsiran maksud sebuah perkataan dalam al-Quran. Maksud yang saya rangkumkan dari kamus al-maany ini membuat saya semakin termenung panjang.
Tatkala Allah menggunakan spesifik perkataan ini bagi menjelaskan keadaan nabi-Nya ketika itu, kita akan faham bahawa ia kesakitan sebuah perasaan.
Tidaklah mungkin Rasulullah shallallahu alaihi wasallam ingin membunuh diri baginda. Namun, keadaan ketika wahyu tidak turun itulah yang menyebabkan jiwa baginda bersedih dengan kesedihan yang tiada tara. Kesedihan berhadapan dengan tuduhan kafir Quraisy, adalah kesedihan jiwa yang menekan. Kesedihan yang telah merobek-robek perasaan seorang manusia akibat diserang secara psikologi.
Tidak hairanlah, dalam keadaan bersedih sedemikian rupa baginda teramat menanti-nantikan turunnya wahyu bagi menceritakan tiga persoalan yang masih belum berjawapan.
Tidak hairanlah dalam kesedihan sedemikian baginda amat gembira menerima surah hebat ini. Lalu Allah ingatkan agar bersyukur di awal surah dengan permulaan kata 'alhamdu', segala pujian hanya untuk Allah.
Menyantuni kesedihan peribadi
Untuk apa?
Untuk apa kita bercerita tentang keadaan kesedihan baginda Rasulullah ini?
Mungkin ada yang melihat pada sudut pandang pendakwah. Ia juga benar.
Namun, ada satu sudut lagi terkait soal ujian kehidupan secara umum. Ada waktu kita hampir berputus asa mendepani ujian tidak henti-henti.
Saat kewangan merosot dan kita bertanggungjawab kepada sesuatu keadaan yang memerlukan kewangan, kita panik.
Saat emosi terganggu oleh cemuhan dan lontaran tohmahan serta persepsi menjengkelkan, jiwa dicarik-carik rasa hina sekaligus buntu.
Saat sesuatu yang kita harapkan sebagai solusi permasalahan, namun ia datang sebagai timbunan baru bagi kesedihan berpanjangan, apakah mampu lagi diri tegar menahan tangis?
Sekali lagi buntu.
Sesekali bisikan menyusup masuk agar kita berbuat sesuatu yang tidak benar. Sehari-hari perasaan amarah dan keliru berkecamuk.
Lalu kita pinta kepada Allah dengan sesungguhnya. Yang kita sangka datang adalah jawapan kepada persoalan dan kekeliruan. Rupanya ia dugaan untuk lembar baru kehidupan esok.
Saat itulah dada mulai sesak.
Kepala mulai sakit.
Badan mulai panas.
Perut mulai memulas.
Kelopak mata tidak mampu tertahankan dari genangan airmata.
Lalu kita rebah dalam lena rasional yang agak panjang.
Ketika bangkit, kita sangka penyelesaian sudah ada. Namun kita tersalah lagi. Selagi kita masih berputar-putar pada persoalan sahaja, kita akan terus dihantui duga dan duka.
Saat beginilah, cuba kita tatap, berlama-lamaan pada ayat keenam ini. Bagaimana perasaan kita persis perasaan baginda nabi ketika itu. Bagaimana Allah sebenarnya menggambarkan perasaan baginda agar kita turut merasa terpujuk. Terpujuk dengan naluri insani yang dikongsi bersama baginda seorang nabi, seorang hamba dan manusia.
Tinggal kita memilih, mengikut jejak baginda yang bergembira dengan turunya wahyu, atau yerus bersedih dalam rendaman kekecewaan kerana ego untuk kembali kepada tuhan.
Yang tidak kita pinta di kehidupan ini,
Ia sering terjadi mengiringi,
Menyesakkan dada,
Hampir memecahkan kepala,
Kusut,
Risau,
Tertekan,
Akhirnya kita punya pilihan,
Untuk hanyut dalam kekhawatiran,
Atau memilih Allah sebagai teman...
ما شاء الله لا قوة إلا بالله
Semuanya berlaku atas kehendak Allah, maka tiada kekuatan melainkan dari Allah...
[Al-Kahfi:39]
----
Petang Jumaat,
Dalam rendaman jerebu Bangi,
Aku tuliskan sebuah refleksi,
Untuk aku terus kukuh berdiri,
Saat aku hampir terjatuh lagi,
Entah untuk keberapa kali...
27 June 2015
Inilah cara nama-nama al-Quran ditetapkan.
Soalan:
Bilakah nama-nama surah dalam al-Quran ini ditetapkan? Adakah rasulullah yang menetapkan nama-nama surah ini selama hidup baginda, atau para sahabat yang meletakkan nama tersebut ketika proses penyusunan al-Quran kepada satu mushaf di zaman Umar dan Uthman r.anhuma?
Jawapan:
Alhamdulillah, para ulama ulum quran telah bersepakat bahawa sebahagian surah seperti al-Fatihah, al-Baqarah, aali Imran dan alKahfi diberikan namanya oleh Nabi s.a.w.
Namun, mereka berbeza pandangan adakah semua surah ini diberikan namanya oleh baginda rasulullah, ataupun ada juga sebahagiannya diberikan namanya berdasarkan ijtihad para sahabat.
Maka, kebanyakan ulama bersepakat bahawa keseluruhan nama-nama surah dalam al-Quran diberikan.oleh rasulullah s.a.w.
# Imam Jarir at-tabari rahimahullah berkata: "untuk setiap surah dalam al-Quran itu, nama-namanya diberikan oleh rasulullah s.a.w"
(Jami' al-Bayan: 1/100)
Imam zarkasyi berkata: Perlu kita bahaskan berkenaan dengan kepelbagaian nama-nama surah dalam al-Quran.
Ada dua kemungkinan;
Pertama, adakah ia tauqifi (tidak boleh ijtihad-keputusan hanya dari Allah dan rasul).
Kedua, adakah ia secara ambilan dari ayat (ijtihad-berdasarkan munasabah ayat).
Dalam perbahasannya, Imam Zarkasyi memperincikan. Kalaulah penamaan ini pada kemungkinan kedua, maka tidak akan habis penamaan nama-nama surah dalam alquran. Hal ini kerana orang yang cerdik ramai, dan mereka tidak akan habis mengeluarkan nama-nama alquran dengan ijtihad mereka sendiri. Jadi pandangan yg kedua ini tertolak.
(Alburhan fi Uluumil Quran, 1/270)
As-Suyuthiy rhm berkata: "Telah tetap bahawa kesemua nama-nama surah dalam al-Quran itu didapati secara tauqif iaitu diambil dari hadis rasulullah dan athar, jika bukan kerana takut terlalu panjang perbahasan pasti dijelaskan secara terperinci berkenaannya".
(Al-Itqan 1/148)
Syeikh Sulaiman al-Bajirmi rhm berkata:
" Nama-nama bagi surah dalam al-Quran diambil secara tauqif dari nabi s.a.w. Hal ini kerana, nama-nama surah, susunan surah, serta susunan ayat-ayatnya adalah tauqifi iaitu diambil berdasarkan hadia rasulullah s.a.w. Semua ini diberitahu oleh Jibril alaihssalam kepada baginda nabi kerana demikianlah ia di Luh Mahfuz.
(Tuhfatul habib ala syarhil khatib 2/163)
Dari alallamah at-Tahir bin 'Asyur rhm:
"Nama-nama surah ini telah ditetapkan semenjak turunnya wahyu, dan tujuan nama-nama ini adalah untuk memudahkan rujukan dan hafalan.
(At-Tahrir wa Tanwir 1/88).
Pandangan yang disebut ini, juga merupakan pandangan yang dipilih oleh sebahagian ulama kontemporari yang menulis tentang ulum quran. Mereka seperti Dr Fahd ar-Rumi dalam buku beliau "Dirasat fi ulumil quran", dan Dr Ibrahim al-Huwaimil dalam tesis beliau "almukhtasar fi asmaaissuwar".
Walaubagaimanapun, ada juga sebahagian ahli ilmu yang cenderung dengan pandangan bahawa sebahagian nama-naka surah al-Quran ada juga diambil dari ijtihad para sahabat.
Dalam "Fatawa lajnah daaimah 4/16" disebutkan:
"Kita tidak mengetahui hal ini secara jelas dari hadis rasulullah. Tiada pula nas yang menunjukkan bahawa semua surah diberi nama oleh baginda kecuali beberapa surah seperti al-baqarah dan aali Imran. Oleh itu, secara nampaknya surah-surah lain diberikan namanya oleh para sahabat radhiyallahu anhum"
Pandangan ini juga dijelaskan oleh Dr Munirah ad-Dusairi dalam tesis beliau "asmaa suwarul quranul karim wa fadhaailuha".
Wallahu a'lam.والله أعلم
------------------------
Artikel ini diterjemahkan oleh:
Zaharoh Fajar Nina,
Mahasiswa Bahasa dan Kesusasteraan Arab UIAM,
Sebarang teguran dan pembetulan boleh diberikan di ruang komen pada kotak di bawah.
Artikel asal boleh rujuk link
08 May 2015
Usrah yang dibasahkan oleh keikhlasan.
22 April 2015
Teruslah bertahan! Jangan pernah bisu meminta.
Di wadah ini segala derita pernah tercatat. Segala redha juga pernah kulihat... |
"Kawan, aku sedang sakit. Aku diuji! Bagaimana bisa aku redha untuk menatap ujian kesakitan ini? Arghhh sakiittt!"
Dan aku mulai merasakan banyaknya manusia sedang derita..
وإنما أشكو بثي وحزني إلى الله...
"Wahai tuhan, aku mengadu hanya kepada-Mu dan tidak langsung kepada manusia tentang derita diriku, juga kesedihanku kepada-Mu. Hanya kepada-Mu.
لا إله إلا أنت، سبحنك إني كنت من الظالمين..
Tuhan! Subgguh tiada sembahan yang layak disembah melainkan hanya Engkau semata. Maha suci Engkau dari segala kekurangan. Aku ini, adalah hamba-Mu yang termasuk dalam kalangan orang-orang zalim. Menzalimi diriku dengan dosaku kepada-Mu!
09 January 2015
Kerana kita, tidak lebih dari seorang HAMBA.
Setelah menyepikan diri selama dua bulan dari blog ini, saya berusaha menekan papan kekunci untuk terus mengalirkan manfaat.
2015, tahun ini mengajar saya untuk mejadi penulis dan pendidik sebenar. Penulis yang mendidik pembacanya mengenal Tuhan dan beralih jiwa kehambaan kepada memperhamba dri kepada Dia yang menciptanya.
Sebenarnya, setiap kali menulis tentang pengalaman diri saya sangat suka kalau 'view'nya sangat sedikit. Tetapi, lain pula jadinya.
Cerita-cerita berbau pengalaman sering mendapat mendapat 'view' dan respon yang baik. Saya mula meneliti dan mengerti, mungkin kerana fitrah manusawi kita memang begitu. Demikian al-Quran mengajar manusia daripada pengajaran menerusi kisah demi kisah.
Untuk mereka yang didengki, ada kisah Yusuf bersama kelapagan jiwanya memaafkan sang saudara.
Untuk mereka yang ingin menjaga diri, ada kisah Maryam bunda nabi Isa yang dikurniakan anak dalam keadaan dirinya yang masih suci.
Untuk mereka yang keliru dan resah akan keadaan masa depannya, ada doa nabi Zakariya yang mengajar kita untuk mengadu keresahan dan kesedihan kepada Allah semata.
Dan terakhir untuk mereka yang merasakan tubuh beku dari gerak dakwah atau usaha memperbaiki manusia, kisah pemuda al-Khafi sepatutnya buat kita sedar bahawa jalan dakwah ini bukan hanya menyampaikan. Ada banyak sisi yang sering kita leka, kerana kata 'usaha' itu termasuk mepertahan agama dengan ilmu, bersabar saat keliru, bertahan saat terasa jemu, dan menikmati sengsara yang datang bagai peluru.
Ah, kisah-kisah di dalam kitab suci al-Quran terlalu melimpah untuk kita bincangkan di sini. Ada baiknya kita terjun sendiri ke lubuk hikmah dan ilmu yang terlampau indah dari pengajaran tafsir dan tadabbur al-Quran, termasuklah entri ini.
Setelah dua bulan blog ini beku, hari ini kisah para 'mukhbitin'* telah mencairkan kekunci yang sedang beku...
Keliru di persimpangan kehidupan
Hati kita menjadi sakit dan perit saat malam menjelang subuh itu soalan yang sama menjengah..
'Apa sebenarnya tujuan hidup ini?'
'Apakah laluan yang perlu dipilih?'
Seminggu, dua minggu kita mendepani beberapa kejadian dan soalan yang sama bertalu-talu membuat kita sedikit tersasar. Kita memaksa diri memilih mengikut kehendak kerana terdesak, lalu kita merasa telah tersalah dan ingin kembali ke persimpangan asal. Namun, kita tersesat ke laluan lain pula.
Aduhai, dunia ini laksana pohon rendang yang lebat dedaunannya,ketika menghijau pucuk dedaun, layu pula sebahagian dedaun lain..Inilah rumah yang penuh dengan segala sengsara sebelum kau kecapi impian-impian, kerana tidak akan manusia menikmati hidup melainkan setelah dia ditimpa kesusahan..
Berapa banyak mata yang hari ini menangis sedangkan semalam mata itu tersenyum bahagia, dan telah bahagia pula mata yang kemarin merembeskan airmata duka..
Manusia, usah kau celakkan matamu dengan kehitaman dek tangisan demi tangisan untuk mereka yang telah pergi, kerana kau juga akan pergi bersama mereka..
Semalam, kita berkongsi kisah gembira dan ke muara permasalahan dengan tafakur bersama. Lalu hari ini kita harus mendepani kesedihan pula. Manusia memang begitu kehidupannya, terdedah kepada bahagia dan duka. Tiada perkara yang perlu disesali melainkan menerima dan menjadi pelengkap sesama kita.
Itulah kisah lumrah seorang hamba. Saat Allah dampingkan kita dengan ujian dan dugaan, sebenarnya Allah tidak biarkan kita terkapai-kapai menempuh ujian dan kekeliruan itu semata-mata kepada diri kita. Allah bekalkan petunjuk berupa al-Quran dan hadis dari Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersama kita.
لا حول ولا قوة إلا بالله
* "وَبَشِّرِ الْمُخْبِتِينَ.الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَالصَّابِرِينَ عَلَى مَا أَصَابَهُمْ وَالْمُقِيمِي الصَّلَاةِ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ"