16 February 2014

Diari Konvensyen Sunnah ke-9 : Catatan penting SESI 1 dan 2

بسم الله الرحمان الرحيم

SESI 1: Pengalaman Zaman Membentuk Jati Diri
 
Aku selalu percaya, jati diri itu harus dibina. Ia bermula dari kosong kepada sedikit dan kemudian banyak. Tatkala aku melihat tajuk pertama 'Pengalaman zaman membina jati diri' , aku mulai mengenang pengalaman zaman yang aku ada.

Benar, pengalaman zamanku terlalu pendek untuk mebina sebuah jatidiri sehebat panelis di hadapanku. Kerana itu, aku meminta agar Allah memasakkan ilmu yang diperolehi ini agar ia membawa manfaat kepada sebuah kehidupan.


Ustaz Zainal Abidin menyedarkan aku tentang suatu asas yang nampak ringkas, tetapi tajam menghunjam.

Kata ustaz, seorang pendakwah harus selalu ingat Allah!
Dari pengalaman saya, mengingat Allah itu mesti cepat dan tepat.
Asas AQIDAH adalah yang paling penting dalam pembentukan Jati Diri.

Ingat Allah, ini kan masalah tauhid?
Dalam berdakwah, kalau kita ingat ini, jati diri terbina. Cara manusia ingat Allah itu pelbagai. Dari pengalaman saya berdakwah, saya melihat ramai manusia salah dalam mengingat Allah.

Ada yang mengingat Allah dengan cara:
  1. Membayangkan kalimah Alif Lam Lam Haa [الله]
  2. Melihat tulisan laa ilaaha illallah.
  3. Membayangkan wajah rasulullah.
  4. Mengingat wajah guru.
Tidak! Ini bukan cara mengingat Allah. 

Ingat Allah itu mudah, boleh dengan cara duduk, atau berjalan atau berbaring. Caranya, memerhatikan alam yang Allah cipta ini:
الذين يذكرون الله قياما وقعودا وعلى جنوبهم ويتفكرون في خلق السماوات والأرض ربنا ما خلقت هذا باطلا سبحانك فقنا عذاب النار
(yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.

Masa terlalu singkat. Zaman fitnah semakin berleluasa. Sebelum berguru dengan sheikh google, hendaklah berguru dengan sheikh yang kita kenal:
  1. Akhlaknya.
  2. kita kenal betul orangnya.
  3. Kita tahu siapa gurunya dan manhajnya.

Bergurulah dengan orang yang membawa kita kepada tauhid yang benar. kalau masih keliru, pinta pada Allah. Siapakah yang lebih tahu tentang kebenaran selain Allah?


Saya suka ulasan Ustaz Abdullah Bukhari berkenaan Jati Diri.
Beliau tidak menyebutnya, namun saya sukan menyimpulkan ia sebagai cara membentuk jati diri bagi orang muda.

Kegentaran.

Itu perkara biasa yang kita hadapi ketika memberikan buah fikiran kepada hadirin yang jauh lebih berusia dan berilmu. Namun, ia dapat diatasi dengan pembentukan jati diri yang benar.

Dalam dakwah, jati diri wajar dilihat dari beberapa aspek antaranya:

  1. Ilmu tidak mengenal usia dan seniority. Kadangkala yg muda perlu belajar dari yang tua & yang tua juga perlu belajar dr yang tua.
  2. Nabi Musa AS yg jauh lebih tinggi darjatnya merendah diri belajar dgn Khidir AS.
  3. Nabi Sulayman secara terbuka dan rasional menerima dakwaan Hud-hud yg mendakwa ia mempunyai maklumat yg nabi Sulayman tidak ketahui..Lihat kisahnya:


فَمَكَثَ غَيْرَ بَعِيدٍ فَقَالَ أَحَطتُ بِمَا لَمْ تُحِطْ بِهِ وَجِئْتُكَ مِنْ سَبَإٍ بِنَبَإٍ يَقِينٍ

"Burung belatuk itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): " AKU DAPAT MENGETAHUI SECARA MELIPUTI AKAN PERKARA YANG ENGKAU TIDAK CUKUP MENGETAHUINYA, dan aku datang kepadamu dari negeri Saba' dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya (al-Naml[27:22]).

Contohilah keterbukaan para nabi yg disebut dalam al-Quran. Dengan sikap RENDAH DIRI sebegini ILMU AKAN MUDAH MASUK KE HATI KITA...

[fb Ustaz Abdullah Bukhari]


Barisan panel sesi 1 "Pengalaman zaman membina jati diri"

Kita katakan 'dia' muallaf..

Ustaz Hussein Yee.

Sebuah nama yang tidak asing bagi penggerak dakwah sunnah. Pengalaman dakwah beliau sudah merentasi benua dan negara. Namun, ada sahaja yang msih menggelarnya 'muallaf' atau 'saudara baru'. Kadang-kadang lucu.

Saya terpegun mendengar perkongsian ustaz. Kata ustaz:

"Di luar negara, Islam mudah diterima kerana mereka akan minta dalil dari kitab-kitab agama jika memperbahas tentang agama. Mereka tidak suka mencedok pandangan-pandangan. Kerana itu, Al-quran yang sudah pasti sempurna dan mulia itu 'menang' apabila digandingkan dengan kitab suci mereka.

Namun, kita di Malaysia masih belum terbuka. Kalau berbincang tentang agama, kita sering mendahulukan khilaf dan percanggahan pendapat. Sebab itu Islam susah difahami.

Sedangkan, jatidiri umat islam adalah jati diri hasil didikan Al-quran dan hadis. Bila dua perkara ini longgar pada ilmu masyarakat, maka longgarlah jati diri"

Bayangkan..
Bagaimana rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengubah negara musyrikin kepada negara tauhid, hanya dalam tempoh 23 tahun!

Kita?
Mengapa kita tak mampu mengubah qaryah sekalipun.. Jnagankan qaryah, rumahtangga pun? Kerana kita tiada jati diri Al-quran dan Hadis..

Persoalan ustaz membuat aku terpukul. Aduh!

Beberapa kali, ustaz menekankan soal ADAB, ADAB dan ADAB..
Kita mahu menjadi ummah muaddibiin. Masyarakat yang beradab. Terhadap bukan islam dan sesama islam. Itu yang nabi ajar.

 
Nota pengisian dari Ust Hussein Yee.

Huh, kadang tertanya. Beliau atau kita yang muallaf sebenarnya? :D

______________________________________________________
SESI 2 : Dakwah melangkaui sempadan


Sesi pembukaan minda melangkau sempadan dakwah sesama islam :-)

Sengaja saya skip perkongsian forum perdana pertama. Kerana, bagi saya ia perlu diasingkan dalam artikel lain. Ia agak istimewa :-)

Untuk sesi kedua, Bro Shah Kirit berkongsi tentang cabaran beliau berdakwah kepada bukan islam. Aku sendiri terkesima walaupun sudah mengagak, cabaran terbesar baginya datang dari orang islam sendiri!

Sampaikan, ada seorang muslim yang menuduh beliau sebagai munafik!

"Memang, saya masuk islam kerana mahu kahwin. Tetapi saya juga terbuka dengan apa yang dibawa oleh islam. Bila ada yang menuduh saya munafik, saya jadi ketakutan. Benarlah aku munafik? kan munafik itu lebih teruk dari kafir. Saya diselubung dilema.." kata beliau.

Astaghfirullah. Siapa kita yang mahu mengatak orang itu dan ini sebagai munafik, sedangkan para sahabat radhiyallahuanhum sendiri tidak tahu siapakah orang munafik, sehinggalah turunya wahyu dari Allah.

Insaflah. Banyakkan bertemu Allah dan bercakap-cakal dengan ayat Al-quran. Kerana tandusnya jiwa, syaitan mudah masuk dalam jiwa kita. Ketika itulah bicara sudah melalut tiada haluan. Semoga Allah pelihara kita.

Beberapa kali, saya ditakdirkan duduk di sebelah non-muslim untuk 8 jam perjalana  pulang ke Penang. Namun, saya kesal kerana tiada keberanian dan kekuatan untuk bercerita tentang islam.

Sesi ini, Bro Lim Joi Soon menjawab persoalan itu.

"Pada saya, dakwah ini harus dibuat ikut kemampuan. Jangan sampai kita berdakwah dalam keadaan terdesak, sehingga tanpa sedar kita salah membawa mesej.

kalau kamu seoranag yang menulis, tulislah sesuatu tentang islam dan sebarkan kepada bukan islam. Kalua kamu seorang manusia, tunjukkan peribadi islam dalam dirimu. Itu dakwah. Ia sangat luas.

How to be friends to them. Don't tell others taht we're Muslim, but SHOW them that we're muslim!"

Pesan akhir di sesi ini: "jangan pernah fikir untuk islamkan orang. Kerana tugas 'mengislamkan' itu adalah tugas Allah. Peranan kita, sebarkan dan tunjukkan apa itu islam.."

Ok. Setakat ini dulu perkongsian saya. Ada tugasan lain yang perlu diselesaikan. Cukup tiga artikel yang saya siapkan bertubi-tubi sepanjang hari ini, sebagai buah tangan kepada sahabat yang tidak dapat hadir. Sebar-sebarkan kepada yang lain. Semoga Allah menerima usaha ini.. ^_^


Zaharoh Fajar Nina
Dua artikel berkaitan konvensyen Sunnah ke 9:



Sekian :-)

Diari Konvensyen Sunnah ke-9 : Wasiat Sheikh Abdurrahman Al-Belaihi

بسم الله الرحمان الرحيم

Sebenarnya, aku tidak tahu mahu bermula dari mana. 

Segalanya kurasakan penting. Segenap isi konvensyen ini umpama mutiara di antara kaca-kaca. Walaupun ia terlihat sama, namun keilmuan dan fitrah manusia mampu membezakan harganya.

Mungkin aku boleh bermula dengan ucapan dari Sheikh Abdurrahman Al-Belaihi, wakil kedutaan Arab Saudi. Sebuah nasihat paling lunak yang meggetarkan jiwaku. Tambahan pula, ia disampaikan dengan bahasa arab yang sangat tersusun dan jelas. 

Sampaikan aku terasa ingin ajar semua manusia belajar bahasa arab. kemudian memahami ucapan beliau. Namun itu bukanlah usaha yang realistik buat masa ini.

VIP belum memenuhi kerusi..


Ucapan Sheikh membuat aku terpukul.. Antaranya :

"Wahai saudaraku, pertemuan kita yang diberkati ini.. membuat aku merasa bertuah kepada diri sendiri dan kita seharusnya merasa bertuah.. kerana, kita datang berkumpul semata-mata kerana محبة للسنة kita mencintai sunnah!"

"Kepada pemuda dan bangsa pencinta sunnah juga agama ini, aku wasiatkan kalian tentang 3 perkara:

PERTAMA-> Para penuntut ilmu, asatizah dan ilmuan.. hendaklah kita memfokuskan diri kepada kedua-dua aspek dunia dan akhirat tanpa memberatkan salah satu darinya. 

Usah kita menyibukkan diri kepada urusan dunia sehingga agama terabai. Begitu juga kita harus melihat urusan di dunia dengan cara terbaik. Kita harus sentiasa memudahkan urusan kebaikan agar manusia mahu megikutinya.

Bukankah Allah pernah mengingatkan kita [ومن أحسن قولا ممن دعا إلى الله] "Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah?". 

Ya, perkataannya adalah yang terbaik! 

Aku mulai merenung, ketika ramai manusia mengaku mereka membawa dakwah, mengajak manusia kepada Allah. Mereka menggunakan perkataan keras serta kasar juga bukan perkataan terbaik.. Apakah mereka masuk kategori ini? Apakah layak diperakui mengajak kepada Allah?

Saudaraku, dakwah itu dengan penuh kebaikan dengan cara terbaik dan bertahap-tahap. Inilah syiar salafussoleh dalam dakwah. Untuk menekuni cara terbaik, perlu juga dengan ilmu terbaik. Hanya satu, kita menekuni ILMU para salafussoleh dan menyebarkan ILMU itu.

Benarlah, siapa yang berfikir akan melihat bahawa cara terbaik hanya akan 'kena' dengan ILMU terbaik yang kedua-duanya dapat kita perolehi dari para salafussoleh. Bukan dari mimpi-mimpi yang bukan wahyu, juga pengalaman-pengalaman yang datang dari bukan manusia terbaik seperti dalam hadis rasulullah shallallahu alaihi wasallam.

KEDUA-> إيّاكم و التصنيف . Jauhilah label-melabel.

Saudaraku, kamu pasti menyedari tatkala budaya melabel kumpulan-kumpulan tertentu, kamu sebenarnya sedang sibuk dengan suatu urusan iaitu melabel. Ketika itu, kamu telah menjauh dari objektif asalmu meneruskan budaya ILMU.

Perkara ini, mampu membina jarak antara kumpulan. Sedangkan, kamu harus menjadikan dakwah ilni bersifat a'lamiyyah[universal]. Biar ia mampu menyentuh hati semua pihak dari kawan mahupun lawan.

KETIGA-> Hubungan baik dengan pemerintah dan semua peringkat umur di sekeliling kamu. Menjadi kesalahan, apabila kita merasa cukup dengan apa yang ada. Sedangkan, dakwah bukan untuk golongan tinggi sahaja atau rendah sahaja. Ia untuk semua.

Rasulullah shallallahu'alaihiwasallam menunjukkan kepada kita bahwa dakwah mampu mencapai pemerintah Habsyah dan itu sebenarnya kekuatan islam. Dakwah juga mampu masuk ke dalam hati seorang hamba seperti Bilal bin Rabah, itu sebenarnya kesyumulan islam.

Saudaraku, jauhkan diri dari melampau! [ghuluw]. Kerana melampau itulah yang membuat berhala disembah, padahal berhala itu asalnya adalah patung orang-orang soleh. Kerana ghuluw ini, mampu menyesatkan!

Kata-kata terakhir syeikh membuat aku merenung panjang. Kata syeikh, ماليزيا في أعناقكم [Malaysia, berada di leher-leher kamu!]

Kerana pelajar bahasa arab harus mengerti, maka aku mengerti. Tanggungjawab mempertahankan agama masyarakat, budaya islam dan ekonomi Malaysia, berada di leher kita di bahu kita! 

Bahkan, sheikh tidak mengatakan ماليزيا من مسئوليتكم [Malaysia adalah tanggungjawab kamu]. Tetapi perkataan 'leher' yang digunakan menunjukkan zaman ini islam terancam jika bukan kita yang membawanya. Ia akan diambil alih oleh perosak agama.



Nota:
- Ucapan Sheikh ini diterjemah secara bebas dan 'suka hati' mengikut bahasa penulis.

- Tulisan berwarna hijau adalah tambahan dari penulis.

- Kepada yang hadir, dan mendapati ada penambahan juga pembetulan mohon dituliskan pada ruang komen.


Sekian diari kedua dari Diari Konvensyen Sunnah ke-9(DKS9 Kedua)

Diari Konvensyen Sunnah ke-9: Pra-konvensyen.

بسم الله الرحمان الرحيم

Kronologi

Ia dirancang sejak tahu lepas 2013 -Banner lama-


Aku terlibat dengan program 'Solat camp' berwarna kuning. Segala persiapan sudah dilakukan..'



Dua forum perdana yang menjadi list MUST-WATCH dalam diariku.. -Dalam awangan-

Barisan para asatizah seolah memanggil anak muda untuk hadir...


Lidahku kelu. 

Mendapat berita Konvensyen Sunnah 2013 di'tangguhkan' sedikit menyentap hati sanubari ini. Aku mulai tertanya, apa sebenarnya yang terjadi? 

Semenjak September 2013 persiapan telah dilakukan, beribu-ribu orang telah mendaftarkan diri sampai ada yang sanggup meminta cuti bekerja. Berpuluh asatizah telah dihubungi dan menyatakan kesanggupan mereka mengambil bahagian. Poster, banner dan hebahan telah disebarkan sebanyak mungkin..

Namun, menjelang beberapa hari ia akan dijalankan, tiba-tiba pem'batalan' diumumkan. Pasti, bukan sebab 'kecil' ia ditangguhkan. Aku mulai mencari tahu mengapa dan mengapa. Sehingga akhirnya aku tahu sebabnya, dan biarlah ia hanya diketahui oleh mereka yang layak tahu. 

Aku, sebagai anak muda dengan jiwa muda ini, terasa agak kesal dengan apa yang terjadi. Namun, hasil nasihat dari  warga yang lebih 'tua' dalam dakwah dan manhaj ini, aku mulai terbuka.Kenyataan dari pihak penganjur sendiri, sedikit mengubat barah sakit hati yang aku rasakan sejenak.


Aku tahu, warga penganjur wakil IQ KL ini adalah mereka yang sudah makan garam dahulu tentang birokrasi di tempat kerja mahupun penganjuran program. Dan aku harus belajar...

Semangat untuk menghadiri konvensyen yang setiap tahun aku nantikan ini, mulai kuhapus sedikit demi sedikit. Walaupun pihak penganjur mengatakan ia ditangguhkan, aku teteap menganggap ia dibatalkan. Tidak mahu memberi apa-apa harapan kepada diri. Aku mulai memfokuskan diri kepada peperiksaan akhir ketika itu...


Berita gembira

Tarikhnya, minggu kedua semester ini.. Semangat!

Baru dua hari pengumuman dibuka, kuota sudah penuh! Subhanallah.. aku bersyukur kerana termasuk dalam list yang mendaftar. Semoga Allah memudahkan semuanya. jazakumullah khairan kepada kak Asma yang mendaftarkan namaku adik-beradik di bawah kuota IQ Pusat,Penang. Aha, ni kira kes 'orang dalam' lah juga :-)


Apa pun, aku sebenarnya sangat ingin menyertai konvensyen ini kerana tema yang diwartakan "Memperkukuh jati diri dalam manhaj dan dakwah". Sebuah tema yang dinanti-nantikan selama ini. Sebuah tema, yang entah mengapa terlalu dekat dengan kehidupan ini...

Hari kejadian

Aku tidak tahu bagaimana mahu ke Hotel Royal Chulan. Alhamdulillah, Allah permudahkan gerak langkahku dan kak Wardah. Kami diambil oleh Abang Ikmal dan kak Asma ke tempat konvensyen. Semoga Allah melipatgandakan pahala A.Ikmal dan ka Asma :-)

Aku kagum dengan prinsip dan sistem yang dilaksanakan oleh Konvensyen Sunnah kali ini. 

Perlu sampai sebelum jam 8.15pagi!
Akibatnya, kami bergegas ke tempat konvensyen dengan kelajuan luar dari biasa. 

Sebaik tiba di tempat konvensyen tepat jam 8.15pagi, seluruh dewan sudah dipenuhi manusia. Tiba-tiba terserempak pula dengan Dr Anwar Ahmad, pensyarah ilmu maaniy semester lepas. Aku hanya sempat tersenyum kepada ustaz tanpa mengeluarkan sebarang kata..

Kami dibekalkan satu beg goodies dengan buku nota, kurma dan kalendar. Ya Allah, semua ini kami dapatkan tanpa perlu membayar walau satu sen pun! Semuanya ditaja oleh pihak tertentu. Semoga kami terus menjadi manusia bersyukur dan Allah tambahkan rezeki mereka yang menaja 100 leboh peserta ini.

Beg goodies yang menenangkan :-D

Ibrah Pra-konvensyen

Untuk segala yang aku tuliskan ini, bukan hanya kerana mahu bercerita. Tetapi kerana ada ibrah di segenap cerita. Sesuatu yang jarang kita lihat dan tekuni. Kita mudah untuk melihat sebuah hasil, namun kita jarang menilai sebuah USAHA.

Untuk aku, Konvensyen ini adalah hasil dari usaha-usaha manusia ikhlas yang aku sendiri boleh jadi kenal atau tidak dengan mereka.

Aku mulai belajar, keikhlasan adalah buah dari keimanan. Allah sudah memberi janji, kebenaran akan menang. Tinggal kita memilih mahu berada di barisan itu atau menjauhkan hati..

Kami redha kepada Allah. Dan, mudah-mudahan Allah redha kepada kita..


bersambung...

06 February 2014

Pelajaran pertama di tahun tiga..

بسم الله الرحمان الرحيم

Jauh perjalanan untuk ditempuh. Bukan untuk ditenung kosong...


Musafirku bermula

Hati belum bersedia. Namun hakikat sudah di hadapan mata.



Terasa cepat benar masa berlalu. Cuti tiga minggu pertengahan semester membawa saya menuju semester baru dengan lambakan amanah terpikul di bahu.


Kereta api yang dinaiki sudah meluncur laju meninggalkan stesen Kereta api Tanah Melayu(KTM) Bukit Mertajam. Perjalanan tujuh jam yang bakal ditempuhi dimulakan dengan bismillah. Ya, hanya bismillah. Namun ia membawa ganjaran besar bagi mereka yang menghidupkan, sebuah sunnah yang kian dilupai.


Berbekal hafalan beberapa doa musafir, saya terus mencari tempat duduk bernombor 7A di sekitar gerabak L4. Semua tempat hampir penuh dengan penumpang. Wajah-wajah letih dang mengantuk terpampamg jelas. Maklumlah, jam sudah menunjukkan 11.35malam.

Saya masih bergerak mencari.. 5A..6A.. Aha, di sini 7A.


Tetapi.. 

Saya lihat ada seorang wanita berbangsa cina sedang duduk di kerusi 7A itu. Berulang kali saya melihat tiket di tangan. Takut-takut saya yang tersalah. Rupanya tidak. Memang betul itu kerusi itu bernombor 7A. Ini tempat saya.

Hampir sahaja saya membuka mulut memberitahu beliau, saya baru tersedar rupanya beliau sedang tidur. Pulas. Tidak sampai hati rasanya mahu mengejutkannya. Saya biarkan sahaja. Melihat kerusi di sebelahnya kosong, saya segera duduk di sebelahnya, 7B.


Perjalanan ILMU


Saya memperbetul kedudukan.

Selendang hijau tanpa corak di bahu, saya panjangkan ke pergelangan tangan. Menghangatkan rasa sejuk yang menyengat jemari. Sesekali saya membuang pandangan ke luar gerabak. Seiringan, saya memandang wajah wanita cina di sebelah saya. 


Entah mengapa tiba-tiba hati terdetik :


"Esok, aku sudah masuk tahun ketiga pembelajaran. Namun, sejauh mana Ilmuku menjadikan diri ini rahmat seluruh alam?,"
Terasa kerdilnya diri dengan secupak ilmu. Sudahlah baru secupak, berapa sangatlah yang sudah bermanfaat untuk diri dan ummah?

Sambil menyandar ke kerusi, saya mengalih pandangan ke atap gerabak.
Merenung perjalanan Ilmu yang seolah baru semalam dimulai. 

Benarlah, menjadi mahasiswa ijazah sarjana muda sangat indah. Nikmat ilmu yang mencurah-curah seolah siraman air dingin menyegarkan kehidupan. Sehingga masa bergulir tidak disedari lariannya melaju.

Memasuki tahun tiga, membuat saya sedar diri. 

Terlalu pantas kaki ini berlari, sehingga terlupa untuk 'berehat' dalam kerehatan yang menyegar naluri. Apakah diri sudah bergerak dengan larian berkualiti, atau sekadar memenuhi   Akhirnya, mata terlelap ditemani persoalan dan muhasabah. Walau hati belum bersedia, perjalanan ilmu ini  sudah jauh rupanya...


Pelajaran pertama


Kelas pertama.
'Introduction to applied linguistic'.
 
Saya bergegas menuju ke kelas. Masih ada 3 minit sebelum kelas bermula jam 8.30pagi.



Letih menempuh tujuh jam perjalanan semalam masih terasa. Namun, saya gagahkan diri ketika melihat Huda bersemangat menuju ke kelas. 


Patutlah rasulullah SAW sangat menitikberatkan hal memilih sahabat yang baik. Begitu juga ketika sekeliling kita kurang baik, kitalah yang harus menjadi sahabat berperibadi mulia. Kerana, tabiat itu dicuri.

Tiba di kelas.

Kerusi hadapan masih kosong. Cuma ada Rizky seorang mengisi kekosongan barisan hadapan. Saya dan Huda segera duduk di sebelah yang kosong.

Saya terfikir. 

Memang, saya bukanlah pemegang anugerah dekan seperti mereka yang mengisi tempat duduk belakang. Tetapi, saya selalu percaya barokah dalam menuntut ilmu adalah item terpenting berbanding markah yang tinggi. 

Ia bukan soal siapa bijak atau kurang, Ia soal ADAB. Adab, hasil daripada didikan peribadi diri. Soal percaya, aqidah. Mungkin ia terlihat semacam saya terlalu membesarkan. Namun, itulah hakikatnya. Syeikh Abdul Karim Zaidan Rahimahullah pernah menulis dalam bukunya:
"الأخلاق الفاضلة من لوازم العقيدة"
Peribadi mulia itu, adalah buah dari kebiasaan aqidah yang benar.

Petikan kitab 'المدخل إلى الشريعة الإسلامية'
Ustazah masuk. Sesi taaruf bermula. Sebuah soalan dari bibir ustazah menjentik sedar saya :

"ما خطر في بالكم عن هذه المادة علم اللغة التطبيقي"
Apa yang terlintas dalam fikiran kamu mengenai subjek ini?
Ah, ada satu hal sya terlupa. Bersedia dengan pengetahuan umum berkenaan sesuatu subjek. Satu hal yang sangat penting, tetapi sering dilupakan oleh kebanyakan mahasiswa. Untuk hari ini, saya juga terlupa.

Untuk kita yang terbiasa masuk kelas dengan 'tangan kosong', memang ia agak payah. Mengubah sesuatu yang telah mendarah daging, perlukan kesungguhan. Begitulah sewajarnya sikap seorang penuntut ilmu sejati. Ada rasa mahu berubah.

Fitrah, Hati manusia, sifatnya berbolak-balik. Selangkah kita menapak, teruskan. Langkahan itu, akan menguatkan hati yang hampir berbalik. Bismillah, dan teruskan. Allah sentiasa menilai kesungguhan kita. Tidak pernah ada istilah 'tersalah langkah', yang ada cuma 'bukan langkahan biasa'.

Benar, kadang-kadang kita merasa aneh dengan sesuatu hal yang tak terbiasa kita lakukan. Lantas kita katakan, 'aku sudah tersalah langkah'. Sebenarnya tidak. Hakikat 'salah' itu, kerana tidak terbiasa. Harusnya, sentiasa optimis bahawa kita sebenarnya sedang mengajar diri untuk terbiasa.

Baik, untuk kelas pertama hari ini saya menyimpulkan pelajaran pertama di tahun tiga.

1) Kekal dan sabar bersama sahabat yang baik.
2) Memelihara adab di hadapan atau di belakang guru.
3) Bersedia dengan hati yang mahu berubah. Lebih baik.

Akhir kata, saya sentiasa manusia yang punya hati dan fitrah. Sebuah tulisan, kadang ada kebenaran  tidak kurang juga kesalahan. 

Dengan rendah hati, saya menyusun kata untuk sebuah pelajaran di tahun tiga. Bukan untuk ditatap kosong, tetapi untuk dirasa. Biar ia melekat lama. Ambil yang jernih, manfaatkan yang keruh...



Zaharoh Fajar Nina
Tahun 3, Bahasa Arab UIAM,
Febuari 2014