11 October 2014

Di saat kita tertanya, mengapa rosaknya manusia?

بسم الله الرحمان الرحيم


Dia anak kecil soleh

Aku merenung anak kecil itu.

Wajah mulusnya memerhatikanku sambil tersenyum nipis. Dia merengak-rengek kepada ibunya. Aku mula menerka, mungkin dia merengek mahukan gula-gula atau aiskrim. Mungkin juga dia mahukan robot ‘transfomers’ yang digemari mana-mana budak lelaki.

“Mak, mak..”, dia merengak lagi. 

Dengan tidak semena-mena, dia berbaring sambi menghentak-hentak kakinya di laluan orang lalu lalang di hadapan surau AEON Big, Wangsa Maju itu. Aku terus senyum kepadanya. Terubat rasa hati ini melihat keletah anak kecil bila merajuk. Keletihan hari pertama praktikal sedikit terubat.

“Mak, bila kita nak solat ni..?”, katanya dengan tidak mengendahkan orang rmai yang lalu lalang.

Aku terdiam.

Biar betul? Rajuk anak kecil di hadapan aku ini bukan kerana mana-mana sebab yang aku sangkakan. Dia merajuk kerana tidak sabar mahu solat?

Si ibu tidak menjawab sambil menarik tangan si anak agar bangun dan duduk di sebelahnya. Sambil menunjukkan wajah marah, dia merenung tajam si anak kecil sampai anak itu terdiam ketakutan.

"Duduk diam-diam! Tunggu abah dulu..", gertakan itu nyata menakutkannya.

Dia duduk diam-diam di sebelah ibunya. Tiba-tiba dia bersin sambil menutup mulut dengan tangan mungilnya. Serentak, dia mengucapkan 'Alhamdulillah' seusai bersin. Aku yang berada dekat dengannya mengucap 'yarhamkumullah'. Perlahan.

Sekilas aku memandang ibunya. Sepatah kata pun tidak berbutir di bibirnya sedangkan ucapan anak kecil yang comel tadi perlukan jawapan seperti yang diajar Rasulullah shallallahu alaihi wasallam.

Aku hanya terdiam sambil minda ligat memikirkan apa yang terjadi di hadapan mataku.

Bagiamana, seorang anak kecil boleh menuruti lunas-lunas akhlak sunnah sedangkan si ibu seolah-olah tidak tahu langsung apa yang sepatutnya dia jawab. Bagaimana pula, anak kecil tadi tahu akhlak sedangkan si ibu tidak mengajarkannya?. Bahkan, ketika si ibu bersin tiada kata 'Alhamdulillah' yang keluar dari bibirnya?


Kita, pencorak diri seorang manusia

Fatin keluar dari surau dan mendapatkan aku. Sepanjang perjalanan pulang, aku bercerita kepada Fatin kisah anak kecil tadi.

"Ana rasa, budak tu mesti belajar semua tu kat sekolah. Bagus gurunya, telah membina seorang manusia! Semoga Allah rahmati guru itu", ucapku sambil memandang Fatin yang sedang memandu.

Sepanjang perjalanan pulang hari itu, aku yeringatkan satu-persatu insan yang oernah hadir dalam hidupku mencorak cebis-cebis warna dan aksara pada dinding putih jiwa ini. Sehingga saat ini, mereka itu terlalu indah untul digambarkan.

Jari ini, aku benar-benar terkesan dengan solehnya anak kecil tadi. Cuma, aku sedikit terancam bagi pihaknya melihat kasarnya si ibu menconteng warna pada lembut kain putih.

Aku kurang senang menyalahkan sesiapa. kerana aku sentiasa percaya setiap kita ada peranan dalam mencorakkan manusia, Khususnya anak kecil. 

Bak kata pepatah melayu, melentur buluh biar dari rebungnya. Rebung itulah yang sering diabai sehingga ia tumbuh menjadi buluh buluh yang keras dan hanya akan berubah ketika dicantas keluar dari rumpunnya.

Ini kisahku empat bulan lalu.

Kisah perjalanan hari pertama aku dan Fatin menjadi pelajar praktikal di Institut Terjemahan dan Buku Malaysia(ITBM). Bukan kisah dari institut terjemahan dan kisah menterjemah dokumen, tetapi kisah mencetak serta menduplikasi sikap kemanusiaan. Kisah sebuah institusi keluarga yang sering dipandang remah oleh masyarakat.

Baitul muslim. 

Itulah institusi yang mampu memperbaiki manusia.

Bermula dari memilih ahli-ahli yang praktikal muslim untuk berada di dalamnya. 

Bermula dari kefahaman menyeluruh dan bukannya kefahaman yang dibaluti nafsu untuk membinanya. 

Bermula dari NIAT kita untuk terjun ke gerbangnya. 

Gerbang Pernikahan.


03 October 2014

“Kita semakin dewasa, sedang mereka kian tua..”


بسم الله الرحمان الرحيم

Ummi,terima kasih untuk segalanya... -Gambar ummi ketika konvokesyen kak Wardah

“Orang tahulah, orang baliklah nanti!”, suara gertakan dari kamar sebelah kedengaran.

Saya kaget. 

Selama enam bulan saya berjirankan seorang gadis manis, ini baru kali pertama saya mendengar suara gertakan segarang itu. Saya terus menyambung kerja sambil didendangkan suara perbualan dari kamar sebelah. Sehingga akhirnya saya terdengar perkataan ‘ayah’ di hujung perbualan.
“Ayah ni, orang nak enjoy dengan kawan-kawan pun tak boleh.. Suka menyibuk hal orang lah..”, kedengaran perbualan dihentikan.
Kasar.

Sejenak diri cuba bersangka baik pada perbualan yang didengar degan telinga sendiri. Namun, perbualan seperti ini sebenarnya bukan menari-nari di telinga saya sahaja. Sesekali, jika kita turun bergaul dengan anak-anak muda generasi Y perbualan dan perkataan yang sama akan kita dengar.
“Malaslah duduk rumah, mak ayah suka menyibuk..”

“Peliklah mak ayah ni, mereka suka menyibuk hal kita anak-anak..”

“Asyik-asyik kena kongkong di rumah, menyibuk betullah mak ayah ni..”

Antara sedar atau tidak, perkataan ‘menyibuk’ itulah yang sering kita dengar dari bibir kawan-kawan sebaya kita. Bahkan mungkin, hati kita juga pernah berkata demikian, (moga kita dijauhkan).

Ketika kita dilanda kesibukan melampau ditambah pula tugasan-tugasan sebagai seorang pelajar kian menimbun, tiba-tiba kita mendapat panggilan untuk pulang ke kampung. Mungkin kita tidak merasakannya kepada ibu bapa.

Tetapi, kita terasa sedikit rimas apabila ditanya itu dan ini oleh kakak dan abang atau adik-beradik. Itu belum lagi hal-hal yang memang menjadi rahsia antara kita dan kawan-kawan...
“Keluarga aku tu, selalu menyibuk hal aku...”, begitulah yang sering kita dengar..

Kerana kita semakin dewasa

Sampai pada tahap ini, saya terpaksa untuk mengakui sebuah fakta bahawa kita sedang melalui sebuah fasa yang disebut remaja. Sebuah golongan yang sering dikaitkan dengan masalah depresi yang tinggi. 

Bahkan, hasil kajian Terras (1999) berkenaan tingkah laku sosial segolongan remaja menunjukkan, penglibatan mereka dengan penyalahgunaan dadah disebabkan masalah komunikasi dengan ibu bapa. Golongan remaja sering mempersalahkan fungsi ibu bapa terhadap mereka. 

Tetapi, kita sebagai generasi kampus bukan lagi golongan remaja ini. Kita adalah generasi yang dibentuk oleh kampus. Kerana itu, kita sebenarnya sudah semakin dewasa dari gigitan keremajaan dan ‘matang’ adalah pakaian kita sebagai siswa.

Mengapa saya tekankan hal ini?

Kerana kita semakin dewasa!

Dewasa, inilah saatnya kita merenung semula perjalanan hidup yang pernah kita lalui.

Siapakah yang pernah menyuapkan sesuap nasi ke bibir mungil kita? 

Siapakan yang mengerahkan tulang empat keratnya sehingga saat kaki kita berpijak di tangga kampus universiti ini? 

Siapakah yang sanggup mendoakan kita di saat kita tertidur nyeyak dan lupa untuk mendoakannya?

Ibu, ibu, ibu dan ayah serta ahli keluarga. 

Mereka pernah berada di setiap simpang kehidupan kita. Walau terkadang kita lupa dan tidak endah, namun di dalam lubuk hati mereka masih ada ruang khusus untuk menyimpan nama kita. Pada setiap hujung bibit pergaduhan, pasti terbersit sinar kemaafan dalam hati mereka. Seburuk apapun mereka, doa mereka untuk kita tidak pernah putus.

Itulah pertimbangan kita ketika kita semakin dewasa. Sebab itu, tidak hairanlah jika Rasulullah memberi sebuah pesan indah kepada kita, 

“Sebaik-baik kalian adalah yang berbuat baik kepada isterinya (keluarganya)” (HR At-Thahawi). 

Benarlah, berapa ramai orang mampu berbaik-baik dengan kawan-kawannya lantas dipuja dan dipuji oleh mereka sedangkan apakah dia mampu membuat perkara yang sama kepada ayah, ibu dan ahli keluarganya?

Kerana kita semakin dewasa, selayaknya kita untuk berfikir ‘apakah kebaikan yang mampu aku hadiahkan kepada keluargaku?’.


Sedang mereka kian tua

Saya teringat seorang penyair arab berkata:
“Ketika umurmu panjang, kau akan menderita akibat kehilangan orang-orang pergi dahulu sebelummu..”

Begitulah kehidupan, ada masa kita mata ini melihat dunia. 

Sampai detiknya, kematian pula menjengah. Begitu juga kita dan keluarga terutamanya ibu dan ayah. Sisa-sisa umur mereka jika dipenuhi dengan kebajikan dar seorng anak, pastilah sebuah kebahagiaan paling indah sebelum dan setelah kematian.

Ibu dan ayah, ketika mereka semakin tua itu bermakna mereka semakin mahu mendakap kita dengan kasih dan sayang. 

Namun sesekali, kerana jurang yang lahir dari perbezaan budaya berkasih-sayang serta generasi menjarakkan kita dengan mereka. Padahal, mereka sangat ingin kita sering berkomunikasi dengan mereka melalui bicara juga doa.

Ibu ayah, mereka sudah terlalu ‘tua’ untuk sebuah kehidupan. 

Tanpa kita sedar, sudah banyak hal yang mereka lakukan demi kebahagiaan kita. Sedangkan kita, berapalah sangat ketuaan kita dalam mencuba hal-hal yang mampu menghadiahkan bahagia buat mereka. Atau mungkin, kita sekadar merasa dewasa sedangkan merekalah yang membentuk kedewasaan itu tanpa kita sedar.


Ibu, ayah dan keluarga. 

Itulah syurga kita ketika di dunia. 

Kalau kita menganggap ia neraka, sebenarnya kitalah yang memilih untuk terjun ke lembah itu. Syurga dan neraka dunia, kitalah yang menciptanya. 

Selamat berusaha wahai generasi kampus!
Ingat satu perkara sahaja;

Kita semakin dewasa, sedang mereka kian tua. Apakah kita pernah berbakti sehabis usaha kita, seperti mereka membanting tulang sehabis tenaga mereka?
 Renung semula...


[Artikel pernah diterbitkan dalam Majalah USRATI ruangan GENERASI KAMPUS, Isu 5]

Siapakah sebenarnya srikandi misteri kita?

بسم الله الرحمان الرحيم

Majalah USRATI Isu 5


Hormat kita kepadanya sepanjang hayat

Seteruk manapun kehidupan seorang insan. Sepayah manapun ranjau laluan kehidupan seorang manusia. Bagaimanalah akan hadir seorang insan ke dunia melainkan dari rahim seorang wanita bernama ibu. 

Berapakah nilai melahirkan itu jika mahu dibandingkan dengan kepayahan sebuah kehidupan?

Ramai anak yang tidak mampu melihat pengorbanan seorang ibu walaupun mereka ini manusia berakal. Hakikatnya, pengorbanan ibu tidak perlukan akal bahkan. Ia hanya perlukan perasaan dan kewarasan.

Saya tersentap membaca kata-kata Syaikh Muhammad bin Shalih Al-‘Utsaimin rahimahullah dalam Majmu’ Fatawa wa Rasa’il :

“Seorang ibu lebih berhak untuk senantiasa dihormati sepanjang tahun, daripada hanya satu hari saja, bahkan seorang ibu mempunyai hak terhadap anak-anaknya untuk dijaga dan dihormati serta ditaati selama bukan dalam kemaksiatan terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala, di setiap waktu dan tempat”.
Fatwa Syaikh Utahimin ini sebenarnya berkenaan sambutan hari ibu. Namun, saya berkenan melihatnya pada sisi seorang anak. 

Anak-anak seringkali mengharapkan diri mereka disayang dan diberi perhatian sepenuhnya oleh seorang ibu. Bahkan ada anak muda yang sering mengadu kepada saya katanya:

“Ibu sering pilih kasih pada saya dan adik-beradik lain.”


Awalnya, saya cenderung meraikan aduan mereka kononya untuk memahami naluri mereka. Namun, rupa-rupanya saya terlupa bahawa naluri ibu lebih layak difahami. 

Kalaulah seorang anak sudah hidup 20 tahun, maka sepanjang 20 tahun itulah ibu tidak pernah melupakan doanya pada seorang anak.


Dia wanita, dia serikandi.

Ibu, saya umpamakan insan mulian ini sebagai serikandi misteri.

Ramai anak-anak hanya melihat ibu sebagai pembebel yang mengongkong mereka. Kadangkala mereka merasa ibu tidak memahami jiwa remaja mereka. 

Namun, satu fakta naluri yang tidak dapat kita nafikan ibu adalah insan yang paling memahami anaknya.

Ibu, berapa banyak pengorbanan insan mulia ini. 

Ibu berkorban masa, perasaan, kasih sayang, bahkan ada sesetengah ibu yang terpaksa berkorban harta demi anak-anaknya. 

Lalu, mengapa lagi seorang anak masih beku dan kaku untuk menyalurkan secebis kasih sayang dan penghormatan buat seorang ibu?

Ada sebuah perjuangan besar yang ibu pertaruhkan untuk kita.

Perjuangan ibu yang paling besar tatkala beliau mengorbankan nyawa untuk kita, anaknya. Hebatnya ibu, beliau adalah insan paling mengerti erti pengorbanan. Berkorban yang takkan terkorban, demikian prinsip ibu yang sangat teguh. Demikian prinsip seorang serikandi misteri yang jarang dilihat oleh seorang anak.

Ibu,
Beruntunglah seorang ibu yang mendidik anaknya walau dirinya derita dan susah. Kerana iman yang dipercayai, membuat derita itu bahagia kekal di dunia mahupun akhirat. 

Beruntungnya seorang ibu beriman yang mendidik kami, anak-anak yang pasti mendoakanmu saat kau harus pergi dulu.

Ibu, jasanya tetap di sanubari seorang insan bernama anak soleh. 

Jasa serikandi misteri yang tak pernah mengeluh ini tak mampu dibalas kerana misterinya ibu tak mampu diungkap rasa zahir. 

Ketawanya melindungi rasa duka. Senyumnya melindung rasa derita. Kasih-sayangnya melindung sakit sengsara. Dia biarkan airmata gembira menjadikan airmata duka terus menjadi misteri. 

Terima kasih ibu untuk sebuah misteri yang telah mengalirkan rasa bahagia untukku anakmu. 

Kaulah serikandi misteri yang paling layak dihormati!

Terima kasih ummi!

[Artikel pernah diterbitkan dalam Majalah USRATI ruangan UMUM, Isu 5]

22 August 2014

"Kerana aku pemuda akhirat.."



Pandang akhirat seorang pemuda, luar biasa!



Ukhrawi bukan hanya itu..

“Ah, kau hanya melihat akhirat. Kau gadis ukhrawi. Maaflah, kami ini duniawi”, begitu saban hari mereka bergurau denganku.

Aku cuma tersenyum getir mendengar kenyataan itu. Bukan terasa hati. Namun kerana kecewa dengan kecilnya pandangan anak muda generasi Y pada erti keduniaan. Aku kesal dengan salah erti tentang kedunian ini.

Mereka menganggap tudung labuh, membaca al-quran, pergi ke masjid, membaca dan menulis hal-hal agama itu ‘ukhrawi’. 

Mereka menganggap orang ukhrawi hanya tahu bercakap tentang ayat al-Quran dan tafsirnya. 

Mereka menganggap orang ukhrawi itu semata-mata puasa dan solat sahaja. Itu salahnya kita anak muda. Kita tidak mampu menjadi seperti anak muda di zaman Nabi kerana mentaliti dan persepsi satu sisi yang kita cermati.

Pada aku dan sepatutnya pada kita pemuda, keduniaan bukan pada banyaknya harta semata. Keduniaan bukan juga pada tingginya pangkat. Keduniaan sama sekali tidak diukur pada cantiknya paras rupa dan mewahnya rumah serta kereta. Hakikat keduniaan tatkala hati mulai melupakan akhirat. Keduniaan itu, ada pada hati kita wahai pemuda!

Kita kekok mentakrif dunia. Cuma itu.

Dahulu, aku juga seperti mereka yang mencemuhku. Namun setelah menelaah kata-kata pak HAMKA ini, sudut pandangku berubah.

Kata pak HAMKA: 

"Kepada orang tua saya ajarkan bahawa kita mesti mati. Tetapi pemuda berkata; Sebelum mati bukankah hidup? Mengapa kita perlu mengingati mati sahaja padahal kita yakin bahawa sekarang kita hidup? Bukankah sebelum melalui pintu mati, kita mesti menjalani hidup?".

Butir bicara pak HAMKA tentang membina kehidupan untuk kematian membuat aku sedar dunia adalah untuk akhirat. Tidak akan ada akhirat untuk orang yang tak terlahir di dunia. 

Cuma, pandangan dunia dari mata pemuda akhirat jauh berbeza dari pandangan pemuda biasa yang tidak pernah puas menikmati racun hedonisma yang kian berkarat.

Mereka bersungguh-sungguh untuk dunia, namun sentiasa meletakkan Allah dalam setiap usaha mereka. Mereka melihat dunia sebagai alat dan akhirat sebagi matlamat. Itulah pandangan seorang pemuda akhirat!

Aku tak berniat menetapkan kau pemuda akhirat atau bukan. 

Aku hanya mahu kau tahu bahawa gelar ‘pemuda’ yang kau sandang ini pasti akan pergi. Dengan berlalunya waktu dan detik, umurmu kian meningkat dan gelar ‘pemuda’ akan terlucut dengan sendiri dari bahumu. 

Namun, pemuda akhirat akan menjadi agen yang merubah pemuda lain saat gelar pemuda itu terlucut dari dirinya.


Pandang akhirat seorang pemuda

Pernah kau baca sebuah karya sastera moden bertajuk ‘Cakerawati Teluki’?

Mata seorang pemuda akhirat akan melekat pada sebuah coretan terindah tentang sekolah dari buku ini. Kata Tuah Saujana seorang anak muda sang penulis buku:
“Sekolah bukan sekadar tiang-tiang binaan berceracakan, tetapi roh insan yang menyatukan. Bukan sekadar guru-guru pintar yang mengajar tetapi acuan pengajaran dan iktibar. Bukan sekadar buku, tetapi jiwa dan kalbu.”

Demikian anak muda melihat sekolah sebagai sebuah tempat membentuk jiwa dan ideologi. 

Anak muda akhirat tidak melihat sekolah atau universiti sebagai tempat berfoya-foya mengahbiskan wang pinjaman. Mereka tidak rela wang masyarakat yang digunakan untuk menampung 80% wang pembelajaran mereka disia-sia. 

Mereka sedar, ada wang masyarakat yang digunakan untuk merubah masyarakat pula!

Pemuda akhirat, tiada sangsi lagi.

Hanya mereka ini yang mampu meneraju perubahan masyarakat. Kerana mereka mengerti berapa nilai masa bagi seorang pengembara dunia. Hanya sesaat bahkan lebih sebentar dari itu. 

Mereka meyakini sebuah janji tentang kampung yang kekal abadi dan mereka terus berlari mencapai makam tertingggi di kampung itu. 


Pemuda akhirat yang terasing

Kerana mereka juga meyakini, keterasingan dari hedonisma adalah kekuatan untuk merubah ummah.

Bukti, s
udah tertoreh jelas di hujung ukiran pena sejarah. 

Terasingnya ashabul kahfi dari rakyat kufur di bawah pemerintahan Dikyanus, menjadikan mereka sekumpulan pemuda dambaan tamadun zaman-berzaman. Mereka, telah mengubah persepsi masyarakat. Daripada sangkaan bahawa beriman ertinya terpinggir , kepada hakikat keimanan adalah membawa manusia kepada kemenangan.

Demikian pula kisah ashabul ukhdud. 

Watak anak muda yang mempertahankan aqidah, sehingga akhirnya dia membawa seluruh masyarakat lain kepada keimanan kepada pemilik bumi, bukan kepada sang pemilik kawah berapi.

Anak muda itu, mempunyai pandangan akhirat yang meliputi pandangan dunia. Kalau di zaman ini K-pop adalah hedonisma yang hebat, maka di zaman ashabul ukhdud, sihir adalah hedonisma yang merenggut keimanan.

Demikianlah seorang pemuda akhirat menyedari bahayanya hedonisma yang pernah dikecapnya dahulu. Lalu dia berkorban di dunia demi menyelamatkan akhiratnya.

Mus’ab bin Umayr, seorang anak muda kegilaan ramai wanita kerana wajahnya yang tampan. 

Dia bukan pemuda badwi yang sering berbaju koyak dan seluar murah. Mus’ab sebelum islamnya seorang yang kemas, bergaya dengan pakaian-pakaian mahal. Setelah memeluk islam dia masih seorang yang kemas dan berupa paras kacak. Dia adalah pemuda akhirat yang tidak meninggalkan hartanya dan kekacakannya, namun dia sentiasa mengingat akhirat.

Itulah Mus’ab, seorang pemuda akhirat yang ditangisi nabi kerana wafatnya dalam balutan kafan yang tidak mencukupi. Sehingga akhirnya jenazah Mus’ab hanya ditutupi dengan dedaunan kering. Namun, kemuliannya merubah masyarakat muslim zaman berzaman, kerana dia pemuda akhirat.

Perubahan masyarakat adalaha pada perubahan pemudanya.
Kau tahu itu, juga aku.
Berubahlah! 
Binalah diri!

Terbinanya perbadi, tanda rentak pembinaan masyarakat dalam pembikinan terancang. Aku, kau, kita sama-sama membina diri memiliki karakter pemuda akhirat. Bisikkan kepada diri, ‘Kerana aku pemuda akhirat, akulah perubah masyarakat!’.
“Yang utama dalam menegakkan ideologi bukanlah mesti bergelas alim, bukanlah ahli fiqh atau kesarjanaan melainkan karakter”
(HAMKA, Panji Masyarakat)




-----------------------------------------

Artikel ini telah memenangi tempat kedua untuk pertandingan penulisan karya inspirasi di bawah tema "Pemuda dan perubahan masyarakat".

Penulis telah mendapat kebenaran dari pihak Jejak Tarbiah untuk menyiarkan karya ini di laman peribadi penulis.

Semoga bermanfaat!


03 August 2014

Cinta tanpa jerat


بسم الله الرحمان الرحيم



Jerat cinta kampus

Bukan semua jerat membuat mangsa yang terperangkap itu sengsara. Bahkan ia sering manjadi mimpi indah di tepian pantai angan-angan. Bukan hanya itu, jerat cinta kampus mampu memberi sebuah suntikan semangat dan kekuatan luarbiasa.

Dari seorang pencundang, jerat ini mampu memberi segunung harapan untuk dia mengorak langkah menapak harapan demi harapan. Begitulah yang terjadi ketika kita terjerat dengan cinta kampus. Apa yang pasti, jerat ini lebih bahaya dari jerat dan perangkap samar di hutan manapun.

Mengapa?

Kerana jerat ini bukan hanya merosakkan manusia yang terjerat sahaja, tetapi ia mengakibatkan kekotoran demi kekotoran bertambah di atas muka bumi. Jerat ini telah merosak sejumlah besar populasi manusia di samping menyumbang kepada keruntuhan manusiaa lain. Ia membuat manusia yang pada awalnya layak menjadi lebih mulia dari malaikat, menjadi hamba paling hina bahkan lebih hina daripada binatang!

Saya tidak bercakap tentang jerat cinta kampus di negara barat. Ianya di Malaysia, sebuah negara yang dipenuhi dengan universiti dan generasi berpendidikan secara umum. Namun, kita dengan terpaksa merelakan sebuah fakta.

Setiap 17 minit 17 saat, telah berlaku satu kes pendaftaran anak luar nikah!. Benar, itu baru kes yang berdaftar tanpa mengira kes-kes dalaman yang tidak berdaftar termasuklah kes pengguguran.

Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008.

Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang ISLAM. Ini adalah fakta sehingga tahun 2003 seterusnya untuk tahun 2014 bagaimana?

Kita tidak akan mampu mengungkapkan hasil kajian. Namun, kita mampi mengugkap sebuah fakta dari pengalaman. Fakta 2014 bergantung kepada sejauh mana anak muda kita terjerat dalam sangkar hasil jerat cinta.


Tanpa sedar kita terjebak

Hati diruntun sayu saat terhidang fakta begini menimpa masyarakat. Suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan, ia berpunca daripada pergaulan bebas yang kian berleluasa. Apabila pergaulan sesama lain jantina seolah sudah tiada batasnya, jerat pandangan mata mulai menurun ke hati.

Saat hati sudah berpaut, makan mulai tidak kenyang, dosa mulai membuat hati tidak bersalah. Tanpa sedar, jerat cinta berbahaya mulai menjalar.

Hal ini bukan sahaja berlaku kepada remaja berpeleseran, bahkan ia turut menular kepada generasi kampus. Sesekali saya cuba bertanya kepada kawan-kawan yang pernah terkena jerat cinta kampus ini. Antara jawapan biasa yang mereka berikan ialah :

“Ah.. kawan-kwan aku semua ada ‘couple’ masing-masing, aku pun nak juga. Bila mereka keluar dengan couple, aku sorang-sorang saja di bilik... Sebab itulah aku mula cari dan dia sudi jadi couple aku.”

Ada juga yang terjerat akibat tatapan pandangan pertama:

“Entah kenapa, setiap kali kami berpandangan rasa lain macam. Sampai satu hari dia ajak nak berkawan secara serius. Lagipun, apa salahnya, dia ada ciri-ciri lelaki yang baik..”

Saya hanya tersenyum mendengar cerita-cerita mereka yang sedang terjerat. Kadangkala, kita tidak tahu yang mana satu sangkar penjerat akibat kenaifan diri sendiri. Kalau boleh saya simpulkan, antara serangkap samar jerat cinta kampus ini:

1.       Tidak menjaga pandangan mata dalam urusan persatuan dan perbincangan.2.       Tiada fokus yang kukuh dalam kehidupan serta masih mahu berseronok.3.       Berkawan dengan kawan-kawan yang tidak baik.4.       Tiada rasa malu serta meremehkan sunnah akhlak.

Apa sebenarnya cinta?

                Di saat jerat cinta ini kian berleluasa, kita makin keliru tentang cinta. Kalau semua cinta disertai denga  jeratnya, lantas bagaimana mengetahui cinta yang benar? Apakah sebenarnya cinta?

Petikan sebuah puisi bertajuk ‘Hidup berdiri atas cinta’ karya Dr Mohd Asri (Dr MAZA) barangkali mampu menjawab persoalan kita;

Jika diukir dengan segala bahasa,
cinta itu masih tiada sastera buatnya..
Jika dilukis dengan segala warna,
cinta itu masih tiada citra baginya...

Berulangkali menatap bait ini dengan hati, ada sesuatu terpancar. Ia punya bahasa yang mendalam dan menggetarkan jiwa. Tambahan pula, untuk kita yang pernah merasa apa yang dikatakan ‘cinta’.

Benar, kerana cinta adalah bahasa hati, ia benar-benar memerlukan kemurnian hati untuk mengungkapnya. Cinta yang benar, tidak punyai definisi kaku untuk ditelan bulat-bulat.  Maha suci Allah yang menciptakan cinta yang tak berdefinisi.

Cuma, ia ada syarat dan parameter tersendiri.
Pada cinta ada IKHLAS.
Pada cinta ada TAQWA.
Pada cinta ada IMAN.

Inilah cinta yang benar walau apapun definisinya dengan segenap kata dan aksara yang cuba manusia simpulkan. Cinta tanpa jerat adalah cinta yang dimurnikan dengan tiga perkara ini. Ikhlas, Taqwa dan Iman. Bertepatan dengan pesanan cinta dari Muhammad shallallahu alaihi wasallam kepada kita :
“Daripada Anas bin Malik, Ada tiga hal jika tiga hal itu ada pada seseorang, maka dia akan berasakan manisnya iman. (Iaitu) Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain keduanya; mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah; benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkan darinya, seperti bencinya jika dicampakkan ke dalam api.” (Disepakati soheh oleh Bukhari dan Muslim)

Sekali lagi, inilah sebenar-benar cinta selamat tanpa jerat.

Pertama, meletakkan Allah dan rasulullah SAW sebagai cinta paling tinggi. Kedua, mencintai manusia kerana ketaatannya kepada Allah dan membawa kita untuk turut taat kepada Allah. Ketiga, membenci segala kemungkaran termasuk couple sama seperti kita benci dilontar ke dalam neraka. Tiga perkara ini, bukti kita mengenal cinta dan menghargai cinta manusia kerana CINTA Allah.


Bercinta kerana Allah, sangat mudah

Bercinta kerana Allah adalah model cinta sejati.

Seorang peneliti dari Researchers at National Autonomous University of  Mexico menemukan sebuah hasil kajian yang mengejutkan. Menurutnya, sebuah hubungan cinta pasti akan menemui titik bosan karena kandungan zat kimia pada otak yang mengaktifkan rasa cinta itu telah habis. Rasa tergila-gila dan cinta pada seseorang tidak akan bertahan lebih dari 4 tahun. Jika telah berumur 4 tahun, cinta sirna, dan yang tersisa hanya dorongan seks, bukan cinta yang murni lagi.

Menurutnya lagi, rasa tergila-gila muncul pada awal jatuh cinta disebabkan oleh pengeluaran komponen kimia tertentu dari otak iaitu hormon dopamin, endorfin, feromon, oxytocin dan neuropinephrine yang membuat seseorang merasa bahagia dan naik seri. Akan tetapi, seiring berjalannya masa dan timbunan segunung tanggung jawab kehidupan akan mengurangkan hormon-hormon itu sehingga akhirnya cinta menghilang.

                Ngeri rasanya bila cinta murni tak mampu dikongsi bersama. Alangkah indahnya islam apbila kita diajar untuk menjaga batas pergaulan seterusnya mengeksklusifkan cinta yang sedia tertanam dalam diri. Mahukah kita bercinta semata-mata kerana jerat cinta kampus? Tidakkah kita mahu cinta kita dihargai dengan sebenar-benar penghargaan?

Sebab itu, cinta kerana Allah adalah penghargaan yang besar kepada sebuah cinta. Kerana, Allah adalah tuhan yang tidak pernah berkurang rasa perlu hamba kepada-Nya. Seburuk-buruk kesombongan iblis, dia tidak lagi mampu mempertahankan keangkuhannya tatkala hari akhirat menjengah.

Apatahlagi kita manusia yang penuh rasa kehambaan kepada Allah. Lantas, apakah ada cinta yang lebih besar dari CINTA kerana Allah?  

Bercinta kerana Allah sebenarnya sangat mudah. Bahkan lebih mudah daripada bercinta kerana manusia. Hanya sahaja kita tidak mahu menghargai CINTA kerana Allah dan terjerat dengan cinta kerana manusia.

Menghargai cinta, demi CINTA. Itulah cinta tanpa jerat.


* Artikel ini pernah diterbitkan 
untuk kolum 'Generasi Kampus', majalah Usrati terbita Ar Raudah Global Resources.

27 July 2014

Aidilfitri dari jendela Ramadhan

بسم الله الرحمان الرحيم

Manifestasi taqwa di Aidilfitri



Langit Ramadhan petang itu mendung dan suram. Seolah-olah menyampaikan berita ia bakal pergi.




Sebersit kesedihan menjengah hati dan minda. Namun, saya pujuk hati dengan janji Allah untuk sebuah perayaan besar meraikan kejayaan muslim menempuh sebulan Ramadhan.

Saya bergerak bertemu seorang sahabat, Firas(bukan nama sebenar) di penjuru masjid. Mana tahu diskusi ilmu dengannya boleh menghilangkan kesedihan dan kerinduan pada hari-hari bersama Ramadhan.


“Firas sibuk? Nak tanya sedikit boleh?”


“Eh, awak.. Jemputlah duduk sekali. Firas sedang baca artikel ‘renungan menjelang Idul fitri’ ni. Tanyalah nak tanya apa?”


“Firas tidak sedih kah mahu menyambut Aidilfitri?”, saya memulakan bicara.


“Eh, Aidilfitri kan hari untuk bergembira. Hari untuk kita memanifestasikan taqwa yang dibina selama sebulan lamanya. Mengapa kita perlu bersedih?”


“Oh begitu ya? Jadi, adakah kita tidak dibenarkan bersedih pada perpisahan dengan Ramadhan?”, saya menjawab persoalan Firas dengan soalan juga.


“Tak, bukan begitu awak. Firas jelaskan sedikit boleh kan?


“Mestilah boleh. Silakan Firas..”, saya membetulkan letak duduk di dalam masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM itu. Bersedia menadah telinga untuk perkongsian darinya.

Aidilfitri, hari membesarkan Allah

“ Awak, Ada satu hal yang perlu kita sedar. Aidilfitri adalah hari membesarkan Allah dan bersyukur atas kurniaan-Nya. Takbir dan membesarkan Alah dengan laungan takbir raya adalah tanda kemenangan, bukan tanda kesedihan.
Walaupun takbir raya masyarakat Melayu sudah signifikan dengan kesedihan dengan irama yang mendayu-dayu, namun sebagai muslim kita harus selalu sedar hakikat hari raya untuk bergembira.
Dalam surah Al-baqarah ayat 185 Allah mengajar kita:
“..dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”.
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa kedatangan hari raya sebagai tanda syukur atas nikmat kurniaan Allah. Disebabkan itulah kita disuruh bertakbir membesarkan Allah dengan tujuan menzahirkan kejayaan dan kegembiraan.
Untuk generasi kampus, siatuasinya persis ketika kita melihat wajah-wajah kegembiraan terpancar pada graduan dan siswazah ketika sambutan hari konvokesyen. Di segenap pelosok universiti ada sahajaa siswa-siswi yang bergembira dengan ahli keluarga untuk meraikan kejayaan kerana mampu meraih segulung ijazah. Ahli keluarga berkumpul, kejayaan diraikan dengan upacara-upacara tertentu.

Demikianlah sewajarnya suasana hari raya kita. Bahkan, Rasulullah SAW mengajar cara bagaimana kita mahu menzahirkan suasana kekuatan,kegembiraan dan perpaduan umat islam. Selama ini, para wanita dianjurkan untuk solat hanya di rumah. Namun, kerana meraikan hari kemenangan umat islam, Rasulullah menganjurkan semua wanita keluar dan melihat kemeriahan kaum muslimin ini.
Awak mesti pernah dengan kata-kata Ummu Atiyyah radhiyallahu’anha:
“Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (Riwayat al-Bukhari).

Kalau awak perhatikan, hadis ini jelas menunjukkan bahawa tiada pengecualian untuk turut serta dalam perhimpunan kaum muslimin termasuklah anak muda generasi kampus seperti kita. Inilah waktu terbaik kepada kita untuk turun bertemu masyarakat kampung yang ditinggalkan selama berada di kampus pengajian.

Awak, membesarkan Allah itu bererti perlakuan yang membuktikan Allah maha Besar dan Islam sangat luas cakupannya merangkumi setiap manusia dalam masyarakat.

Sebagai mahasiswa sewajarnya kita sedar diri bahawa kita ini bukan hanya manusia kaku di takhta universiti. Kita sebenarnya dihantar oleh masyarakat sebagai agen perubahan kepada mereka dan generasi mendatang. Tanpa kita sedar, perhimpunan ketika solat hari raya adalah platform terbaik untuk kita turun menyerahkan hak ilmu dan sapaan kepada masyarakat.

Itu sepatutnya yang kita buat, sedih dengan pemergian Ramadhan itu bukanlah penghalang untuk kita bergembira di hari raya. Ramadhan yang pergi, sewajarnya menjadi renungan, bukannya kesedihan..”, saya tergamam mendengar hujah Firas dengan petahnnya juga gaya mendidiknya.

Sejenak diri mulai terfikir sehingga Firas menyambung perkongsiannya lagi.
Mendoakan, antara amalan yang ditinggalkan
“Betul, amalan saling meminta maaf itu baik. Namun, ada satu amalan yang kurang diamalkan oleh masyarakat sedangkan ia diajar oleh rasulullah agar manifstasi Taqwa dari Ramadhan terealisasi dengan baik. ”


“Apa dia?”, saya balik bertanya.


“Amalan saling mendoakan agar amalan kita di bulan Ramadhan diterima. Ia adalah suatu hal yang dianjurkan saat hari raya.
Jubair bin Nufair menceritakan keadaan para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam ketika tiba dua hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Pada dua hari ini, mereka saling mengucapkan “Taqabbalallahu minna wa minka (Semoga Allah menerima amalku dan amalmu) antara satu sama lain”.


“Oh, baru tahu. Mana awak dapat cerita ni?”

Firas tersenyum ceria sambil menceritakan:

“Amalan ni ibu dan ayah Firas ajarkan sejak kecil. Bila besar ni, Alhamdulillah baru tahu kisah ni ada diceritakan dalam kitab Fathul Bari. Nanti awak bolehla rujuk.”


“Apa lagi ya amalan sepanjang Aidilfitri?”, saya semakin berminat untuk mengetahui.


“Aha, bagus soalan tu. Rasulullah ajar kita untuk memelihara silaturrahim kerana menjaga silaturrahim adalah tanda orang bertaqwa.
Ada sebuah hadis Abu Sa’id al-Khudri katanya:
“Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w. Maka baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku.
Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti –jika mahu” (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra).

Hal ini menggambarkan betapa menjaga hubungan baik itu perlu diutamakan sementara puasa sunat pula boleh diganti pada hari yang lain. Puasa enam Syawal pun demikian. Maka untuk menjaga hubungan kaum keluarga, maka eloklah ditangguhkan puasa tersebut jika hari-hari pada Bulan Syawwal masih banyak.

Bayangkan, dengan keadaan kita yang jarang pulang ke kampung, waktu bertemu keuarga sangat terhad. Maka, mengamalkan galakan Nabi s.a.w ini ‘berbuka dan ganti pada hari yang lain jika mahu’. Dengan itu hubungan keluarga dapat dikuatkan atau dijaga, puasa enam juga dapat dilaksanakan.

Awak, satu je pesan saya untuk diri dan semua sahabt kampus kalau awak boleh tolong sampaikan.

Aidilfitri, bukan masa untuk kita bersedih dan meratap ke kubur. Ada waktu lain yang lebih tepat untuk kita menziarahi kubur demu mengingatkan diri kepada kematian. Aidilfitri adalah manifestasi taqwa yang membezkan kita antara manusia yang menyembah amalan nenek oyang atau manusia yang menyembah Allah.”

“Allahuakbar! Allah maha besar. Hanya DIA yang layak disembah.”, saya menyambung.


Pesan akhir dari Firas menjentik minda saya pada sebuah paradigma tentang Aidlfitri. 


Terima kasih Firas!

22 July 2014

Orang bertaqwa itu...


بسم الله الرحمان الرحيم




Ramadhan di Institit Terjemahan Buku Malaysia(ITBM) mengajar saya sesuatu melalui ceramah Ramadhan oleh Imam Muda Hasan.

Berikut nota yang sempat saya taip:


---------------

Kata saidina Ali radhiyallahu anhu..


Pertama:

Orang bertaqwa itu, الخوف من الجليل dia takutkan kepada Allah..
Takut Allah ini beza dengan takut kita kepada manusia.

Pernah saya nak tangkap mereka yang berkhalwat, kami tanya “kamu tak takut ke nak kena tangkap ni?..

Dia jawab: itu syirik ustaz. Saya hanya takut kepada Allah. Dia boleh buat lawak pulak..


Kedua:

والعمل بالتنزيل..
Beramal dengab Al-quran..

Al-quran ini bukan hanya untuk dibaca. Isinya untuk diamalkan..
Dalamm sebuah kitab an-naba’il azhim.
.

Syed qutub berkata: Alquran itu boleh menjadi muzik. Saya tak faham kenapa dan bagaimana ia boleh jadi lagu.

Sebab orang Syria ramai tak pandai baca Alquran. Merekka baca qurann macam bercakap arab. Sebab itu mereka selallu salah. 

Ini tandanya Alquran itu memang untuk semua bangsa bukannya untuk orang arab sahaja. Yang dimaksudkan dengan mukjizat oleh Said Qutub tadi, pada tajwidnya. Bahasa bercakap tak ada tajwid.

Sahabat saya tabligh. 

Dia ke German di suatu tempat tu ada gereja yang jadi masjid. Satu kammpung masuk islam. Seorang pendakwah datang ke kampung mereka, syarah surah Al-Ikhlas.

Sabab nuzul surah alikhlas. Orang yahudi kata.. sif lana robbak, tunjukkan kajmi tuhan kamu.. kami ada berhala untuk disembah..
Rasulullah baca surah alikhlas dan mereka kafir ini terdiam. 

Walam yakun lahu kufuwan ahad..ولم يكن له كفوا أحد
Surah yang kita minat ni, kena baca, faham dan rasa.. Allahuakbar, indahnya bila kita baca, faham, dan rasa.

Ini yang kita nak. Berpeegang sehabis mungkin dengan alquran.


Ketiga:

Orang bertaqwa ini,
 الرضا بالقليل merasa cukup dengan apa yang ada.

Orang gila makan makanan basi, tapi tetapi siapa yang selalu jumpa doktor? Siapa yang bdri orang gila itu kenyang?
ALLAH.


Keempat:

Orang bertaqwa , 

Mereka ini الاستعداد بيوم الآخر . Sentiasa bersiap dan buat persiapan untuk bertemu Allah . 

Hari ini, lebih baik dari semalam. Makin takut buat perkara yang Allah larang.
Ramadhan ini, banyakkan berdoa. Dalam surah Albaqarah ada ayat doa;



وإذا سألك عبادي عني فإني قريب. أجيب دعوة الداعي إذا دعان فليستجيبوا لي واليؤمنوا بي
Imam ibnu Kathir menyebut kenapa ayat doa ini disebutkan selepas ayat ramadhan?

Kerana bulan ini adalah bulan diijabaahkan doa.
Sebab itu, kena ada kesungguhan dalam doa.. kena ada. Sebut nama orang kita nak doa, itu tanda kesungguhan..


-Catatan Tazkirah Imam Muda Hassan, 
ITBM Tingkat 6, Wangsa maju-

04 July 2014

Muhasabah Ramadhan : Bertaqwakah kita?

بسم الله الرحمان الرحيم

"Enti tahu apa sebenarnya TAQWA?",

Saya masih ingat, itu antara soalan yang ditanya kepada saya tahun lalu. 

Dari soalan itu, saya mulai tersedar satu perkara. Masuk sahaja Ramadhan, ramai orang akan mulai bercakap tentang Taqwa. Namun masih kurang orang menejlaskan dan dirinya sendiri jelas serta faham apa itu taqwa. Sedangkan matlamat kita yang Allah caturkan agar kita mendapat Taqwa.

Kadangkala kita hairan, mengapa setelah beberapa Ramadhan yang kita lalui, kita masih kita sebelum mendapat Ramadhan?

Mengapa?

Kita hampir tidak mendapat jawapan.

Sehingga, kita hanya tahu menyebut-nyebut "semoga taqwa milik kita", "ayuh kita raih taqwa" tanpa kita tahu apa yang mahu kita raih? Taqwa itu apa?

Kita ini, seolah-olah kita mengejar pelangi yang indah, namun kita sendiri tidak tahu apa fungsi pelangi yang kita kejar-kejarkan itu. Demikianlah keadaan manusia yang menyebut perkataan yang dia sendiri tak mengerti.

zahra'4|photogallery @ Mahallah Hafsa UIAM
Sebentuk garisan pelangi itu sangat indah.
Namun, ia akan lebih indah untuk mereka yang berfikir bahawa pelangi itu hadiah dari Allah.


Alhamdulillah, untuk tahun lalu saya sudah mejawab erti taqwa ini dengan mengumpulkan beberapa pandangan ulama' berkenaan Taqwa dalam artikel ini. [Apa sebenarnya TAQWA?]

Menapak ke Ramadhan tahun ini, pasti kita terasa mahu memahami dan menikmati makna taqwa dengan lebih mendalam. Sampai sahaja pada juzuk keempat al-Quran, ada sepotong ayat yang sering kita dengar dan kebanyakan kita tahu. Namun, sedikit sahaja dari kita yang mempunyai ilmu tentangnya.

Saya antaranya.

Kerana malu diri tidak berilmu, saya bergerak mencari. Maha suci Allah, al-Quran ada segala ilmu dan jawapan buat kita.

'TAQWA'.

Setelah ditelusuri, ia sebuah kata yang mampu mnggetarkan jiwa.

Soalkan kepada diri kita, bergetarkah jiwa?

Bergetarkah?

Oh, kalau tidak bergetar renungkan pula ayat ini.

 ياأيها الذين آمنوا اتقوا الله حق تقاته ولا تموتن إلا وأنتم مسلمون "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. "


Apakah kita masih belum merasa apa-apa, dengan sebuah panggilah 'wahai orang-orang yang beriman' itu? Panggilan khusus untuk kita orang mukmin.


Bertaqwakah kita?

Ittaqullah! Bertaqwalah! Tapi bagaimana?

Ayat ini mengajak kita untuk bertaqwa. 

Lalu bagaimana? Itu persoalan yang bermain di minda kita bukan?

Jawapannya ada pada pencerahan tafsir Al-quran yang sering kita abaikan. Imam Ibnu Kathir dengan penuh kesungguhan telah mengumpul ulasan para sahabat dan tabiin dalam tafsirnya. Sebuah tafsir yang juga dikenali sebagai Tafsir Al-quran al-'Azhim.

Seorang sahabat bernama Abdullah bin Mas'ud radhiyallahu'anhu berkata:

اتقوا الله حق تقاته هو أن يطاع فلا يعصى، وأن يذكر فلا ينسى، وأن يشكر فلا يكفر
Sebenar-benar taqwa itu, ketika kalian melakukan ketaatan kemudian tidak bermaksiat dan kalian sering mengingati Allah kemudian tidak melupakan-Nya, juga kalian selalu berterima kasih kepada Allah kemudian tidak kufur terhadap nikmat-Nya."

Itulah sebenar-benar taqwa menurut Ibnu mas'ud dalam sebuah riwayat yang soheh.

Ertinya, kalau kita masih banyak merungut tentang kesusahan hidup itu tanda taqwa kita masih belum benar. Taqwa kita rapuh!

Begitu juga saat kita mudah lupa pada Allah. Kita sering beralasan saat diri terpengaruh ketika bergelumang dengan teman dan kawan yang kurang baik. Kerana, orang bertaqwa tidak mudah terpengaruh bahkan dialah yang mempengaruhi orang lain kepada kebaikan.

Demikian juga, jika kita ini bertaqwa dengan sebenar-benar taqwa lidah dan hati sungguh mudah menlihat nikmat. Bibir akan basah dengan hamdalah tanda syukur. Hati akan payah mendengki kelebihan orang lain bahkan dengan mudahnya kita mendoakan teman kita.

Alangkah beruntungnya punya sahabat yang bertaqwa tanpa pincang. Kita tenang hidup dengannya, kita lapang berkongsi kejayaan bersamanya. Kita damai berselisih dengannya kerana akhirnya dia mampu melihat perbezaan sebagai nikmat dan rahmat.

Jika diperhatikan, ada tiga hal yang ditekankan oleh Ibnu Mas'ud R.a iaitu taat perintah Allah, ingat Allah dan bersyukur kepada Allah. Namun, Imam Ibnu Kathir rahimahullah menambah lagi pencerahan tentang taqwa ini dengan memetik sebuah hadis dari Anas radhiyallahu anhu:

" لا يتقي العبد الله حق تقاته حتى يخزن من لسانه
Tidak bertaqwa seorang hamba Allah itu dengan sebenar-benar taqwanya sehingga dia memelihara apa yang keluar dari lisannya"
Ramadhan ini, kita mahu mencapai Taqwa. Maka, inilah Taqwa! 

Namun, kerana jahilnya diri terhadap erti dan makna taqwa kita sering lalai dalam urusan memelihara lidah. Tambahan pula bila ada rasa tidak puas hati, dengan mudah kita menuturkan perihal orang lain. Kemudian, kita merasa kitalah yang benar kerana bercakap tentang mereka yang kita rasa tidak benar.

Benarlah kata peribahasa Melayu, lidah tidak  bertulang. Mudah benar manusia yang sebelumnya dengan lidah itu juga dia menuturkan al-Quran satu hari sejuzuk, juga lidah itu juga menjadi saksi dia menyebut kepada manusia lain 'ittaqullah'.

Pada bayak sisi, kita mampu memelihara taqwa. Namun, saat ada orang memotong jalan kita di lebuhraya ketika jalan sesak.. persoalkan diri untuk hal lidah ini, bertaqwakah kita?


Setelah kita menelusuri kata TAQWA

Kata 'Taqwa', adalah sebuaah kata yang berat untuk kita pikul. Dengan beban dosaa yang ada, sesekali kita terasa jauh dari kata taqwa ini. Namun, setelah kita menelusuri kata taqwa dan ilmu yang kita ada tentangnya memujuk kita untuk berdamai dengan taqwa.

Kembali bergerak menuju taqwa dan menjadikannya sebagai teman sepanjang perjalanan kita menelusuri baki kehidupan. Apalah yang kita ada sebagai bekal yang baik untuk masa ini. 

Ilmu bermanfaat yang kita beri kepada masyarakat, sangat sedikit dengan umur muda yang masih mentah ini. Sedekah juga tidak terlalu banyak. Anak soleh yang mendoakan kita, lebihlah miskin diri ini jika dilihat dari sisi itu. Namun, kita ada sebuah bekal yang pasti boleh dibawa menuju persemadian abadi nanti.

TAQWA.

تزودوا، فإن خير الزاد التقوى
Berbekallah, dan sebaik-baik bekal adalah taqwa..
Pesan ini, 
dari Allah untuk kita..

Ya, dari Allah untuk kita semua.

Titik.



Zaharoh Fajar Nina
6 Ramadhan 1435H
4 Julai 2014 
(13:36pm)

Rujukan :