30 November 2013

Warkah : Syahid itu, bukan ada di tikar sejadah!

بسم الله الرحمان الرحيم

Perkongsian dari seseorang kepada kita.

Dia meminta saya kongsikan bersama kalian. Berat untuk saya menerima warkah ini dipampang di sini.Tetapi kerana saya menghormatinya pendiriannya yang mahu namanya dirahsiakan, saya kekalkan penulisan ini sepertimana yang dihantar kepada saya.

-Zaharoh Fajar Nina-

------------------------------------------------

Renungan dari jendela dakwah!


# Warkah : Syahid itu, bukan ada di tikar sejadah! #

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ini aku deactive facebook

Aku merasa perlu banyakkan masa dengan kekasihku Allah. Ada sebersit ketakutan dalam diri jika dijemput kembali tanpa 'apa-apa'. 

Aku nekad.

Aku hanyut dalam 'ibadah' dan 'lantunan Al-quran', sesekali aku menagis kerana kefahaman yang dalam terhadap makna Al-quran. Setiap bait kata dari Al-quran itu benar-benar membasuh diriku. Aku larut dalam perjalanan menuju Allah itu..

Sujudku lama dari biasa.

Setiap sujud, sejadahku pasti basah dengan airmata keinsafan. Memang, aku sedar aku banyak dosa... Sebab itu aku mahu bersihkannya dengan rasa takut dan kesungguhan menghapus dosa.

Aku benar-benar larut.

Aku merasa 'suci' dengan ibadah-ibadahku. 

Dan, aku merasa sudah sedia menemui mati.. 

Aku merasa diri ini layak menerima syahid kerana aku sangat merindui mati syahid yang dikatakan tidak sakit itu..



Tiba-tiba, aku terima suatu mesej: 


"Wei, ko tengah buat apa tu? Kenapa ko punya fb takleh buka pun. Aku tengah kosong ni. Lama aku tak baca post-post ko.. Tolong aku wei, nasihat aku.. Aku nak jadi baik jugak..!!"

Seolah semburan api menyambar seluruh tubuhku!

Aku terduduk membaca mesej di Samsung S3 ku itu. Aku menangis.. lebih teruk dari tangisanku di tikar sejadah tadi.

Astaghfirullah!

Aku salah! Aku salah!

Rasulullah SAW pun tidak wafat di tikar sejadah.. baginda wafat di medan perjuangan dan dakwah menyampaikan islam kepada ummah. Kalau baginda cuma menangis dalam sujud-sujud baginda yang lebih hebat dari diriku, apakah sampai ajaran tauhid dan Al-quran kepadaku?!

Perlahan, aku aktifkan semula facebook ku. Aku tahu, ruang ini juga tidak sehebat medan tempur dan dakwah bginda SAW.Tetapi aku perlu bergerak menyampaikan. Ada 'mereka' yang memerlukan. 

Aku sedar, bakat menulis ini bukan milikku. Ia milik Allah yang disandarkan kepadaku agar aku menggunakannya sebagai wadah dakwah.

Ya, Allah boleh tarik bakat ini sekelip mata. Allah boleh pindahkannya kepada orang lain. tetapi, selagi bakat ini melekat dalam diriku, aku perlu teruskan dakwah. Walau ia sekecil-kecil usaha yang mampu aku lakukan.

Aku terus menaip sesuatu di dinding facebook

Kali ini, bukan kerana kemahuan, tetapi kerana kesedaran. Islam itu nasihat. Dan nasihat serta hikmah yang terkumpul dalam diriku untuk ummah! Bukan untuk aku menyimpannya sehingga basi di dalam kubur.

Aku tuliskan di dindingku dan menanda si penghantar mesej itu pada statusku :


" Kawan, aku yakin kau tahu. Allah itu punya satu nama Al-qayyum maknanya 'yang MAHA kuat'. Kau tahu, Al-qayyum Allah itu meliputi segala kekuatan yang kita bayangkan dan yang tidak dapat kita bayangkan sampai bila-bila. Allah, kekuatan-Nya tidak sama dengan kekuatan makhluk-Nya yang kuat. Aku? lebih tidak kuat aku yang lemah ini.

Jadi, kau kena selalu minta kekuatan pada Al-qayyum! Aku boleh beri kau nasihat, tapi ada masa kekuatan aku menurun juga. Aku kan sama dengan kau, bernafas guna oksigen dan henbusan nafasku karbon dioksida.. hehe..

Kau nak jadi baik kan? Aku pun nak jadi baik juga. kita sama-sama nak jadi baik. Jadi, kita kena sama-sama minta kekuatan dari Al-qayyum untuk jadi baik.."

Bermula dengan nama Al-qawiy, aku menekan punat 'post'.

Aku jadi teringat kisah Umar Al-khattab, dia selalu meminta agar dimatikan dalam keadaan 'Syahid'... tetapi Allah mematikannya di pembaringan. Apakah Allah zalim kerana tidak mengabulkan permintaan seorang pahlawan medan perang yang gagah dan digeruni musuh dari kalangan manusia dan syaitan?

Oh, pastinya tidak. Bahkan Umar adalah antara 'namelist' penghuni syurga yang dikhabarkan baginda SAW.

Dan, mesej dari kawanku tadi membuat aku tersedar dan mengambil ibrah dari kisah umar.

"Syahid itu, bukan ada di tikar sejadah! Tetapi ia ada pada perjalanan hidup menuju kematian yang MULIA. Dimuliakan dengan:

-Aqidah yang soheh, 
- Akhlak yang mulia, 
- Ibadah yang benar.. 
dan 
- Perjuangan yang ikhlas. Semata-mata ingin meninggikan kalimah Allah di muka bumi.. 

YANG IKHLAS, BENAR-BENAR IKHLAS.."



Warkah dari :

Aku,
buat kamu,
3.26pm
30 November 2013M
27 Muharram 1435H

* Aku salurkan kisah ini melalui seorang fb sahabat, terima kasih kerana menyalurkannya!

Kematian. Ia pasti tiba. Kematian yang mulia, ada pada kehidupan yang mulia pula..

12 November 2013

Demi MASA!


بسم الله الرحمان الرحيم

Demi masa!
Demi masa!
Demi masa!

Sesungguhnya manusia benar-benar dalam kerugian...
dua kali Allah datangkan tanda penegasan(taukid) dalam ayat ini. Sudahlah awal ayat Allah bersumpah dengan MASA.

Cuba kita renung kembali  lafaz asalnya di dalam bahasa arab:
والعصر Demi MASA,

إن الإنسان لفي خسرٍ
 
Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian.

penegasan pertama pada (إن) dan penegasan kedua pada huruf lam sebelum 'fi' (لفي) yang membawa maksud 'Sesungguhnya'.

Sungguh, masa adalah sejenis makhluk yang membuat manusia merasa rugi dan terus rugi. Jika kita lihat dalam syair Jahiliyyah, para penyair sebelum kedatangan islam ini juga menyedari betapa masa seringkali membuat mereka kerugian dan mereka.

Khansa' bersyair mengenangkan kematian abangnya dan berkata:
تَبْكِي خُنَاسٌ عَلَى صَخْرٍ وَحَقَّ لَهَا
Seorag Khansa' terus menangisi kematian Shokhr(abangnya) dan apa yang telah berlaku di hadapan matanya,

إِذْ رَابَهَا الدَّهْرُ إِنَّ الدَّهْرَ ضَرَّارُ
Tatkala itulah, MASA telah membuat matanya terbuka luas dengan kejutan-kejutan, sesungguhnya MASA itu sangat membawa mudharat...


Di era kita telah keluar dari kepompong jahiliyyah ini, apakah kita layak mengutuk masa semata?

Benar, syair Jahiliyyah banyak membuat kita tersedar hakikat sesuatu, dan Islam datang dengan sebuah jawapan yang mendamaikan hati orang-orang beriman....

Ada. Dalam kelompok besar manusia yang rugi serugi-ruginya itu, ada kelompok yang tidak rugi. Allah telah nyatakan dalam pengecualian ini..
"إلا الذين ءامنوا و عملوا الصلحت و تواصو بالحق وتواصو بالصبر"
Semua manusia RUGI dalam melaui masa-masa mereka.. kecuali:

1) ORANG-ORANG YANG BERIMAN..
2) MEREKA YANG BERAMAL SOLEH..
3) MEREKA YANG SERING BERPESAN-PESAN PADA KEBENARAN..
4) MEREKA YANG SERING BERPESAN-PESAN PADA KESABARAN..

?? PERSOALAN??

Apakah kita masih jahil dengan terus-menerus mengutuk MASA?

ATAU

Kita bergerak menuruti petunjuk Allah di bawah cahaya Islam dan meletakkan diri dalam golongan yang 'terkecuali' dari sumpahan masa?

 
Telok Chempedak, Kuantan Nov 2013-credit to Nadirah-

------------------------------
Kampus Biru UIAM Gombak,
9 Muharram (Hari Tasu'a) 1435H,

~Merindui kelas Syair Jahiliy...~ (^_^)

01 November 2013

Tadabbur surah Al-kahfi ayat 45

بسم الله الرحمان الرحيم


Ayat ke 45 surah Alkahfi, membawa saya kepada sebuah coretan..
-------------------------

Hari ini sudah masuk 1 November dan Zulhijjah bakal meninggalkan kita.

Umur sudah bertambah sehari lagi. Esok, sehari lagi dan begitulah seterusnya.. Sehingga, kita tidak menyedari perubahan demi perubahan berlaku begitu cepat.

Saya tiba-tiba teringat zaman ketika di tingkatan satu. Waktu itu, kita merasa sudah dewasa kerana melangkah ke suatu dunia yang khusus untuk orang-orang 'dewasa'.

Terlalu banyak impian dan harapan yang didambakan, dan alhamdulillah sthummal hamdulillah [segala puji bagi Allah], yang telah memakbulkan semua impin itu bahkan lebih. Subhanallah!

Liku-liku menuntut ilmu diharungi dengan langkah pertama di sebuah Maahad di kaki Gunung Jerai. Impian saya dahulu, cuma mahu ikut bersekolah dengan kak Syahidah Fajar..

Tetapi, baiknya Allah.. Dia kurniakan lebih dari itu.

Allah beri sahabat-sahabat yang solehah dan guru-guru yang sabar mendidik diri.

Sehinggalah saya, adalah saya hari ini. Hasil dari tarbiyah 10 tahun yang lalu setelah melalui proses perubahan corak kehidupan dari kaki gunung yang damai ke kota yang sibuk dan terlihat gersang.

tetapi, manusia selalu salah ketika dia menutamakan mata zahir berbanding mata hati. Di kota 'gersang' itulah rupanya Allah mahu mengasah diri menjadi permata yang lebih murni.

Dan.. yang paling penting Allah tidak tinggalkan diri sia-sia tanpa bimbingan-Nya. Allah masih memberi guru-guru dan sahabat2 yang baik..

Sehinggalah...
Kita, adalah kita saat ini. Melalui proses kehidupan yang seterusnya.

Bermula Nor Raihan Izzati, kemudian Nur Iffah, kemudian Zunnur Qalbi, Hani Aiman Mohd Nashir....

DAN HARI INI Nurul Najwa.

Sungguh, tiada ucapan yang lebih baik untuk Najwa melainkan apa yang diwasiatkan kepada kita dari Insan Mulia MUhammad Shollallahu alaihu wasallam...:



"بارك الله لك وبارك عليك وجمع بينكما في خير".. 
Semoga Allah memberkahimu dan memberi berkah ke atasmu an mengumpulkanmu dan pasangan dalam kebaikan.

Kehidupan umpama hujan.. (18:45)


-------------------------
" Dan berilah perumpamaan kepada manusia,

kehidupan dunia ini umpama air hujan yang Kami turunkan dari langit, maka menjadi subur karenanya tumbuh-tumbuhan di muka bumi, kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering yang diterbangkan oleh angin.

Dan adalah Allah, Maha Kuasa atas segala sesuatu. "

[Alkahfi 18 : 45]

Dari sebuah kelas Nahu aku belajar nilai IKHLAS..


بسم الله الرحمان الرحيم

Di bawah kubah biru tersergam nan indah, saya mula mencoretkan kejadian hari ini. Kejadian biasa yang menusuk ke jiwa.
Image from google- masjid UIAM


Teruskan dengan kebaikan yang lain..

Usai meeting dengan sahabat DnT ALA, saya terus meluru ke kelas syarah Ibnu Aqil di Masjid.

Mulanya, kaki terasa malas melangkah ke masjid. Apatahlagi bila Afaf dan Fad mengajak saya makan sekali. Sikap mukmin yang baik dia berusaha memenuhi harapan dan ajakan saudaranya. 

Tetapi, tiba-tiba saya teringatkan kelas Syarah Ibnu Aqil Dr Solehah.

Saya merenung jam Casio besi di pergelangan kanan, jam menunjukkan tepat 11 pagi. 'Aha, kelas Syarah Ubnu Aqil belum habis lagi ni..' desis hati.

Tiba-tiba teringat pesan ummi:

"Biasakan diri tu Zaharoh, lepas selesai satu kerja, sambung dengan kerja yang lain pula..   !!فإذا فرغت فانصب (Maka apabila kamu telah selesai dari sesuatu urusan, kerjakanlah dengan sungguh-sungguh urusan yang lain) [Al-insyirah :7]"

Suara ummi seolah-olah berbisik halus ke telinga saya.

Itulah istimewanya ummi dan abi. Sepanjang mereka mendidik kami adik-beradik, ummi dan abi jarang berkata:

'ingat pesan ummi dan abi ni..' Tetapi, mereka lebih sering berkata: 'Ingat, apa Allah pesan dalam al-quran. Ingat apa nabi pesan dalam hadis..'

Pantas.

Saya bergegas minta diri dari Afaf dan Fad kemudian meluru ke masjid tingkat dua. Sampai sahaja di masjid, saya berniat i'tikaf dalam hati sambil berdoa dengan doa masuk masjid. Semoga ilmu yang saya dapat bermanfaat dan Allah nilai sebagai ibadah.


Kelas kitab Syarah Ibnu A'qil

Dari luar sudah kedengaran suara nyaring ustazah Solehah menjelaskan kitab turath nahwu bahasa arab itu. Dengan kaki kanan, saya melangkah masuk meninjau bahagian lelaki, tempat kelas pengajian syarah Ibnu Aqil, terasa malu kerana lambat. 

Tergamam.

Cuma ada dua pelajar perempuan dan seorang pelajar lelaki sedang tekun menatap kitab. Suasana damai menyeruak dalam jiwa. 'Semoga Allah merahmati mereka yang ikhlas ini'.

Juga, ustazah Solehah yang tetap bersemangat seperti ada ratusan pelajar di hadapan beliau. Sampaikan, saya yang menjadi orang keempat itu pun seolah tidak diendahkan. (siapa suruh datang lambat huhu..) 

Ustazah Solehah masih bersemangat. Merasa diri bersalah dek lambat, saya cepat-cepat volunteer untuk mebaca bayt terakhir bersama syarahnya yang terakhir untuk kelas hari ini.

Selesai.

Kelas hari ini berlalu dengan sangat tenang. Kami terasa ramai walaupun cuma empat orang pelajar. terasa ada 'malaikat' yang meramaikan dan menebarkan sayapnya untuk majlis ilmu kitab Syarah Ibnu Aqil itu.

Kerana satu hal, saya yakin. Ustazah IKHLAS! Cuma itu yang mampu saya katakan. Bayangkan, ustazah sanggup meninggalkan meeting department semata-mata mahu mengisi kelas Syarah Ibnu 'Aqil yang pelajarnya cuma tiga+satu (saya) orang itu!

Saya teringat kata-kata ustazah tadi:

"Ustazah harap, kelas ini berjayalah ya... kamu, tidak pernah belajar nahu selagi kamu tidak belajar alfiyyah bersama syarahnya!"
Dengan wajah terkilan yang tetap bersemangat, ustaah mengucakan terima kasih kepada kami yang hadir. Ustazah mendoakan barokah untuk kami!

Ya Allah, rahmati dan limpahkan barokah untuk guruku ini', saya mendesis dalam hati sambil kaki melangkah keluar. Ada tugas yang menanti.


!!فإذا فرغت فانصب

Dari sebuah kelas Nahu aku belajar nilai IKHLAS..




Masjid SHAS UIAM, tingkat dua,
27 Zulhijjah 1434H
[catatatan selepas solat Jumaat]