27 March 2013

Contengan ukuwwah: Dari UIAM ke UMKL


بسم الله الرحمان الرحيم

Ini kisah kami

"Zahra' dah sampai UM!",

Suara Jalidah girang menyambut saya di gerai makan ayam A1, dekat fakulti sains UM KL.

Kami berpelukan, erat.

Setitis air mata tumpah jua.

Setelah sekian lama menanggung rindu, akhirnya Allah mudahkan pertemuan ini. Pertemuan yang kami dambakan setelah sekian lama terpisah. Setelah beberapa kali pembatalan. Setelah beberapa kejadian. Setelah hati kian rapuh dimamah masa dan ruang jarak.

Seringkali kami memujuk antara satu sama lain dengan sebuah pepatah arab, :

"زُرْ غِبّاً تزدادُ حُبّاً"
"jarang-jaranglah bertemu, nescaya akan bertambah-tambah kasih sayang.."

"Alhamdulillah.", penuh syukur saya panjatkan. Baru teringatmenjawab sambutan Jalidah.
 Entah mengapa, bukan tidak pernah saya merantau sekitar Kuala Lumpur dengan LRT dan bus rapid KL ini. Tetapi, kali ini lain.

Setelah semalaman saya bertungkus lumus menyiapkan bahas subjek kamus. Kemudian bangun pagi dengan hanya 3 jam tidur. Saya bangun pagi dengan satu kuasa luarbiasa.

Memberi saya suatu kuasa aneh yang timbul dari dalam diri.

Kuasa yang sangat menguatkan.





Seperti juga rasulullah, ada ramai sahabat yang bersama baginda dalam perjuangan. tetapi, Abu Bakar As-siddiq adalah yang paling rapat. Begitulah saya.

Di UIAM, saya punyai ramai sahabat yang baik. Kebaikan mereka, sukar dicari ganti. Suka dan duka mereka berkongsi dan saya menikmati bersama mereka.

Tetapi, saya ada 'Abu Bakar' yang membenarkan semua kata-kata saya. 'Abu Bakar' inilah yang saya mahu temui di UMKL.

Ketika rasulullah membuat keputusan untuk berhijrah bersama Abu Bakar, bukan bermakna sahabat-sahabat lain tidak berperanan atau rendah kemuliaan mereka. Bahkan Rasullah sudah mengarahkan Ali dan beberapa sahabat lain untuk memegang peranan lain dalam peristiwa hijrah itu.





 Contengan perjalanan




Dari UIAM saya menaiki bus T231 menuju ke LRT PUTRA Gombak. Kemudian menggunakan kad RapidKL saya melepasi scanner LRT. Entah, perjalanan pertama kali saya dengan perasaan ini. Satu rasa yang tidak dapat digambarkan.

Sendiri tetapi damai. Sakit, tetapi manis.

Sepanjang perjalanan, saya membuang pandangan ke luar tingkap LRT. Satu persatu manusia masuk dan keluar dari LRT. Saya isi perjalanan dengan pembacaan. Buku "Di dataran Shamrock ku seru nama-Mu" karya ustaz Hasrizal Abdul Jamil saya telusuri. Menghilangkan rasa resah dan galau dalam hati.

Stesen Universiti, itu stesen tujuan saya. Sepanjang perjalanan, saya sempatkan diri berdoa banyak-banyak. satu perenan saya membaca, sepulu doa saya panjatkan. alamdulillah, buku ustaz Hasrizal ini seolah catalyst untuk saya berdoa. Dengan sesungguh-sungguhnya.

Paling utama, saya berharap agar Allah berkati pertemuan kami nanti.

Semoga, ia menjadi pertemuan yang membuahkan ibadah.
Pertemuan yang benar-benar menjentik rasa manisnya iman.
Pertemuan yang membawa kami mendekat menuju Allah Arrahman.
Pertemuan yang diisi dengan perkongsian dan daurah cinta menuju negeri keamanan.


Dalam LRT, saya lemas dalam debu yang tebal

LRT ~seribu satu hikmah ada jika kita mahu berfikir~


Di dalam LRT itu, saya meneruskan pembacaan dan 'sembang-sembang' dengan doa. Sesekali saya lemparkan pandangan ke sekeliling. Melihat lautan manusia dengan ragam masing-masing.

Sampai di stesen Masjid Jamek, ada seorang wanita duduk di sebelah saya. Saya memang sedang membaca, tetapi mata saya tetap sedar keadaaan ummah di sekeliling. Sengaja saya mengerling cara pemakaiannya. Agak ketat. Terdetik mahu menyapa. Mana tahu dia akan rasa malu.. dan boleh berubah.

Mahu sapa atau tidak? Tiba-tiba saya ragu. Diam sebentar.

Stesen KLCC. Wanita itu bangun dan keluar. Mata saya mengiringi 'pemergiannya' dari tempat duduk sebelah saya. Tiba-tiba saya sedar sesuatu...

Astaghfirullah!

Dia bukan wanita!

Saya tertunduk. Malu bercampur syukur.

Ya Allah, betapa hikmah-Mu tidak aku ketahui. Perasaan ragu-ragu tadi, rupanya dari Allah.

saya kembali menatap buku hijau di tangan. Fikiran saya menjalar jauh. Lebih jauh dari Bryanstone Square di kota London seperti yang Ustaz Hasrizal kisahkan dalam buku beliau.

Saya terfikirkan generasi setelah saya. Generasi, yang ibu bapa dan 'orang-orang tua' mereka adalah saya, Jalidah, kalian dan generasi maknyah tadi.

Bagaimana generasi anak-anak saya nanti?
Bagaimana kita(generasi Y) boleh mendidik generasi hadapan?
Bagaimana ibu-ibu(generasi Y) menerapkan nilai muslim kepada anak-anaknya, ketika ayah-ayah mereka keluar dari rumah demi memasakkan panji islam di tengah masyarakat?

Soalan itu terngiang di minda saya. Tiada jawapan.

Tiba-tiba terasa lemas dalam 'debu' yang tebal. Terasa mahu lemas.

Saya semakin menghampiri stesen Universiti, saya semakin tak keruan. Seperti mahu bertemu kekasih sahaja. saya senyum sendiri. Ada banyak cerita dan ibrah  yang mahu kami saling bertukar.

Semua itu, biar ia menjadi skill berenang yang mampu membawa kami berlabuh di pinggiran pantai penyelamat.

Universiti Malaya, Jalidah.. I'm coming (^_^)

10 March 2013

Kita mampu untuk terus kuat, percayalah!

 بسم الله الرحمان الرحيم


Hidup bertuhan itu indah..


Pernah kau rasa?

Semakin kita mahu dekat menuju Allah, semakin berat dugaan menguji. Apakah ini petanda ia wajar dihentikan?

TIDAK!

Teruskanlah wahai insan.

Ketika kau cuba berjalan, kau terasa lambat benar. ketika kau cuba mula untuk berlari, kau tersadung pula. ketika mahu bangkit, kau lihat ada kesan lebam di kaki. Ketika itu, kau merasa sakit. Penat.

Tetapi, cuba kau bayangkan sebuah hakikat. Lebam yang kau tanggung itu, ia akan beransur pulih dengan berlalunya waktu. Andai kau tunggu ia sembuh, kemudian baru kau mahu sambung perjalanan menuju Alla itu, takut-takut kau tidak punya waktu.

Lantas, teruslah bangkit dari jatuh itu. Sapukan luka dan lebam itu dengan ubat dari bacaan al-quran dan mengingati Allah. Teruslah sapu ubat itu. Memang pedih, tetapi itulah yang menyembuhkan.

Asalkan kau nekad menuju tujuanmu, Allah.

Insan, pernahkah kau merasa Allah dekat denganmu?

Sangat dekat. sehingga kau seolah-olah sedang berbicara dengannya. 
Kau tersungkur sujud di hadapannya, dengan tangisan dan butir-butir doa penuh rendah hati. 
Kau menangis tanpa malu. 

Kau adukan segala rasa hati, ketika kau sudah hilang percaya pada manusia yang penuh dusta. 
Kau kongsikan dengan Dia seluruh rahsia yang terbuku di 'tempat rahsia'mu. 
Kau menjerit pada-Nya dengan lirih yang tak didengar manusia lain. 
Kau pinta padanya. Kau ulang meminta dan ulang meminta. Penuh takut dan harap.
Sedangkan kau tahu Dia sudah tahu apa yang terbuku dalam hatimu itu. 

Pernahkah kau rasakan ini semua?

Ya, kau pasti merasainya di saat kau sedang sendiri. Ketika manusia tidak pedulikanmu, membuangmu dari kelompok mereka dan mereka tidak benar-benar ikhlas mendengar 'cerita'mu.

Banyak perkara dalam dunia ini yang perlukan kekuatan. Saya juga perlu kekuatan untuk menulis sebutir demi sebutir huruf yang kalian baca. Bukan saya yang mememiliki kekuatan ini , bahkan Allah sahaja yang mampu memberi kekuatan sampai ke tahap ini.

Tangan saya pernah sakit dan saya tidak mampu menulis. Begitulah insan. Ada masa dia jatuh ke jurang lemah. Saya juga. Ketika detik itu saya lalui, cepat-cepat saya buka semua penulisan-penulisan lama. mana tahu ada kekuatan yang boleh diceduk.


Sebuah kisah yang menguatkan!

KEMUDIAN...saya temukan bingkisan ini. 

Sebuah catatan 19 Febuari

Alhamdulillah, hari ni aku rasa damai.

Adik-adik yang aku temui hari ini, semua itu amanahku.Ada lagi, adik-adik halaqah study circle.
Ya allah, berikan kami kekuatan, keikhlasan, dan kesabaran. Jadikan kami guru yang membawa anak muridnya menuju Allah, kenal Allah. Jadikan pula untuk kami, hamba yang membuat kami istiqamah di jalan ini.
melihat ustaz Ismail Chong siang tadi, hati yang lesu cepat2 diseru. kembalilah duhai hati! kembalilah!
Ustaz memang tidak pernah meminta simpati dari kami. Tetapi, sesiapa yang tidak ada simpati, itu tandanya hatinya mati!
Sungguh, sebuah kisah yang ustaz kisahkan kepada kami membuat kami tidak layak duduk diam tertunggu-tunggu dan berehat.
kata ustaz Ismail Chong yang saya hormati:

" saya ini revert (tukar agama kepada islam) ketika umur 20-an. Tiga tahun tahun selepas itu, saya belajar di Madinah dengan semua sepuluh subjek dalam bahasa arab untuk satu semester. Kemudian, kami kena hafal 1 juzuk al-quran untuk satu semester. Kalau saya yang revert ini boleh, mengapa kamu tidak? "

Aduh, menusuk ke dalam. Pedas!

zahra, bangun! Aku tersentak sendiri.


Sampai hari ini, "kita buatkah?"

Membaca tulisan-tulisan di saat diri sedang kuat, itulah yang menguatkan saya. Sampai hari ini. Kerana, saya percaya bahawa orang yang pernah kuat pasti mampu menjadi lebih kuat dan semakin kuat.

jika namanya insan, begitulah normanya. Sampai hari ini, saya tercari-cari sumber kekuatan dan saya temui ketika pencarian itu. Menghargai ilmu di dalam kelas juga, satu kekuatan. Jadi, jangan tinggal kelas ya.

sebut mengenai kelas, saya teringat kata-kata Dr Sofiah -pensyarah Ulum Quran saya-.


"Kita buat kah?"

soalan ustazah (Dr) Sofiah menyentap saya seketika. Hudassakinah Asha'ri di sebelah saya juga merasakan apa yang saya rasakan rupanya.

kelas sedang berbincang mengenai sujud sajdah.

kemudian, ustazah membaca ayat ke 15 surah as-sajdah.
(..وهم لا يستكبرون...)

tamat sahaja ustazah baca ayat 15 itu..

hampir SERENTAK, seluruh kelas menyambung:

( تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَن المضاجع يدعون رَبَّهُمْ خَوفاً وَ طَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَهُمْ يُنْفِقُون )

saling berjauhan lambung merekadari tempat tidurnya
[mereka tidak tidur di waktu biasanya orang tidur untuk mengerjakan shalat malam] 


dan mereka selalu berdoa kepada Rabbnya dengan penuh rasa takut dan harap,
serta mereka menafkahkan apa-apa rezki yang Kami berikan.

"Kita buat kah?",
itulah soalan ustazah bila lihat ramai yang boleh sambung ayat itu.

kemudian saya simpulkan pesanan ustazah,

"hafaz itu satu hal... dan amal itu satu hal yang lain."

Sampai hari ini, ketika saya membaca satu ayat dari Al-quran-apatah lagi bila menghafaz- saya akan bertanya kepada diri, "Aku buat kah?".
--------------

p/s: Malam ini, sebelum tidur.. bernekadlah untuk menjauh dari tempat tidur kita, ketika ramai orang masih nyenyak dibuai mimpi.

"فإذا عزمت فتوكل على الله"
ketika kamu sudah berazam melakukan sesuatu, kemudian serahlah urusan kepada Allah.

Kita mampu untuk terus kuat, percayalah!

02 March 2013

PELIT: ini diari aku, jangan baca!

بسم الله الرحمان الرحيم

Jam sudah menunjukkan pukul 2:20 pagi. Sudah masuk waktu pagi! Mataku masih lelah mahu menutup. Makin kupaksa, makin pula ia terbeliak. Terasa pedih.  Begitulah aku kalau terlalu letih.  Tidur dengan sangat nyenyak atau tidak dapat tidur langsung. Sindrom ini selalunya aku hadapi bila mengendalikan apa-apa program besar.

Esok, insyaallah akan ada sebuah lagi program besar untuk wanita. Aku diamanahkan menjadi  ketua koordinator program. Sebuah jawatan yang masih muda untukku dan aku masih jahil banyak tentangnya.

“ Akak,ajar saya ya. ” Harisyah, meinta lembut kepadaku.

“ Jadi Pc ni, kita kena tahu semua perkara. Kena tahu semua benda. Kena kenal semua komiti. Lancar atau tidak sesebuah program, disitulah kita boleh lihat bagaimana PC nya buat kerja.” Tukasku seolah tahu semuanya.

Ya Allah, bantu aku. Kalau hanya seratus peserta, itu mungkin tidak terlau banyak. Tetapi, sekarang sudah mencecah dua kali ganda. Dalam monolog itu, aku berusaha tersenyum kepada Harisyah.

“ Oh, saya pun baru belajar. Akak ajar saya ya.” Senyum manis Harisyah aku tanggapi. Aku balas senyumnya dengan seribu satu bebanan di minda.

Ada sesuatu di sebaliknya

Aku mengaku, jawatan ini aku yang pilih. Bukan kerana jawatan itu. Tetapi, semata-mata sesuatu yang ada di sebalik jawatan ini dan tiada dalam jawatan lain.

Memberi, mamastikan kemudian menerima tanpa perlu mengarah. Aku adalah jenis manusia yang tidak suka mengarah. Sebab itu aku suka berusaha menyelesaikan tugasan di dalam jawatan ini.

Sepanjang aku memegang jawatan ini, aku belajar berfikir sebelum buat keputusan. Aku belajar merancang dengan strategi. Perkara paling aku suka adalah, aku belajar menggunakan 6 thinking hats yang aku belajar dalam kelas CCT.

Menjadi PC ini, mengajar aku TAWAKKAL.
Esok, apa pun boleh terjadi. Aku pernah hadiri beberapa seminar yang penceramahnya kemalangan, kematian saudara terdekat dan ada juga yang terperangkap dalam jem yang parah. Semua itu boleh juga terjadi kepada programku esok.

Tetapi, tawakkal meneutralkan segalanya.
Aku ada Allah yang maha memudahkan.

Rehat itu perlu

Aku mahu tidur dahulu. Jam sudah beranjak ke 2:50 pagi. Tiga jam yang berkualiti sangat cukup untuk sebuah rehat yang damai. Semoga Allah bangunkan aku siang esok dalam keadaan yang sedia berkhidmat untuk ummah. 

Sebelum itu, tahniah aku ucapkan kepada unit promosi dan sesiapa sahaja yang bantu promosi program esok. 150 peserta diperoleh hanya dalam masa seminggu. Masyaallah! 

Kakak-kakak dari AlKahfi Services,  usaha kalian sentiasa Allah nilai insyaallah. Meninggalkan nikmat yang kalian mahukan dan berpindah kepada jalan berduri ini, tidak akan pernah membuat kalian menyesal di akhirat. Yakinlah! Tidak aku lupakan adik-adik IIC yang bertungkus lumus untuk persiapan malam ini. Ikhlas itu membawa kejayaan dik :-). segala perkongsia kita tadi, ambillah yang baik.

Semoga sunnah terus bertebaran. Terus difaham dipahat. Itu matlamat kita. Jangan pernah tersasar. Aku sesak dengan fitnah agama yang berleluasa. Allah, nilailah usaha kecil ini!
“ Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat dzarrahpun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya.” (az-zalzalah 99:7)
Dengan penuh harap, cinta dan takut aku melelapkan mata.
“ Dan Kami jadikan tidurmu untuk istirahat, dan Kami jadikan malam sebagai pakaian, dan Kami jadikan siang untuk mencari penghidupan,” ( an-naba’ 78:10-12).