25 February 2013

Kita mahu nasi atau garam?

بسم الله الرحمان الرحيم



Memanglah, hidup sebagai seorang siswa kadang membuat kita letih dan mengah. Tadi, ketika kelas Mass Communication madame bertanya.

“ Sebagai pelajar, apa yang selalu buat kamu tertekan dan letih? ”

Hampir separuh kelas menjawab, “study..!”

Saya hanya diam. Rasa lucu pula bila mendengar jawapan itu.

Iyalah, di zaman serba maju dan canggih ini. Dengan sebuah perpustakaan besar di setiap universiti, dengan lambakan rujukan yang bagai cendawan tumbuh lepas hujan itu, masakan belajar pun letih.

Saya berkira-kira. Imam Syafie, semenjak kecil beliau berhijrah dari tanah kelahiran beliau di Palestin kemudian ke Mekah dan kemudian berhijrah pula menenmui Imam Malik di Madinah. Begitu panjangnya perjalanan menuntut ilmu para ilmuan islam. Bahkan sepanjang beliau mengembara ke Iraq dan Mesir

Tidak pernah pula saya dengar riwayat yang menceritakan sungutan dari beliau kerana letih menuntut ilmu. Sedangkan, untuk mendapat satu hadis sahaja begitu jauh kembara beliau.

Kalau mahu dibandingkan dengan kita, Imam Syafie bukanlah seorang anak bangsawan. Ketika bertemu Imam Malik, beliau hanya menggunakan air liurnya sebagai dakwat bagi menulis ilmu dari Iamm Malik.

Tetapi, jiwa menuntut ilmunya tidak pernah pudar. Bahkan beliau menitipkan kepada kita sebuah syair yang sangat indah berbunyi:



تَعلَّمْ فَليْس المرْءُ يولَد عالِما # ليس أخو عِلْم كَمَنْ هو جاهل

وإنَّ كبيرَ القومِ لاَ عِلمَ عنده # صغيرا إذا التفّتْ عليه الجحافِل

Belajarlah, seseorang itu tidak dilahirkan dalam keadaan berilmu,

Tidak sama orang yang bersaudara kerana dia berilmu, dengan orang jahil tidak berilmu;

Sesungguhnya pemimpin besar kepada sesuatu kaum tapi tidak berilmu,

Dia sebenarnya kecil dan lemah tatakala dikerumuni gerombolan tentera yang ramai




Sahabat-sahabat siswa siswi yang saya hormati, kita sebenarnya bukan letih. Tetapi, Kita sedang tenat terhidu racun hedonisma. Orang tenat, bukan hanya menuntut ilmu bahkan makan, minum dan mandi pun dia letih. Buktinya, siswi kini ramai yang mandi pagi jam 12 tengahari ketika hari cuti. Betul kan?

Saya menulis hakikat. Kalau di tempat kalian tidak begitu, di tempat saya ia sebuah kebenaran. Cuba sekali-sekala kita buat kajian ketika hari Ahad conthnya. Bilik mandi pada waktu pagi kosong. Tetapi, menjelang tengahari mulalah penghuni kolej berebut-rebut mahu mandi.

Berkaitan belajar tadi. Masih di dalam kelas Mass Communication.

Tiba-tiba madame bertanya semula kepada kelas:

“ Baiklah, saya mahu tanya kamu. Kalau kamu tidak letih, layakkah kamu mahu mengaku yang kamu sedang menuntut ilmu?”

Jeda. Semua terdiam.

Saya juga. Kerana, persoalan madam sama persis seperti persoalan yang bermain dalam minda saya ketika itu!

Saya mengaku, saya juga pernah mengeluh letih. Tetapi, hanya dalam hati. Ya, hanya di dalam hati.

Ketika tugasan pelajaran datang bertimpa-timpa. Ditambah pula dengan tugasan luar kerana persatuan atau urusan peribadi. Saya sedikit terhimpit. Ketika itu, saya kembali ingatkan diri bahawa perjalanan saya tidaklah sesempit perjalanan para ilmuan islam dahulu. Mereka, bahkan menempuh perjalanan beribu batu demi mendapat satu hadis! Masyaallah.

Sebab itu, di sini saya tidak mahu sendirian. Saya mahu bersama-sama sahabat siswa-siswi yang saya hormati. Ayuh, kita leburkan budaya hedonisme yang sedang menjalar generasi Y kita sekarang ini. Saya bukan menolak hiburan. Bahkan saya sangat bersetuju dengan pandangn ulama sedunia, Dr Yusuf Al-qaradhawi yang menggalakkan alam maya sebagai ladang dakwah.

Hiburan , saya umpamakan bagai garam. Butir-butir nasi pula, menggambarkan ilmu pengetahuan. Andai garam itu ditabur melebihi butiran nasi yang ada, kita hanya akan tahu rasa garam dan kita selamanya tidak akan pernah tahu bagaimanakah rasa sebenar walau sebutir nasi.

Tulisan ini, muhasabah buat saya dan kita semua. Harapan kita pasti sama. Menikmati butir-butir nasi pengetahuan yang membina peradaban dunia. Wassalam.

20 February 2013

PELIT : The last briefing..


 بسم الله الرحمان الرحيم

Aku sedu. Hanya ditahan sebak di dalam hati.
Oh ummahku! Begitu raungan jiwaku.
Sejenak habis sahaja last briefing nuqaba' study circle itu, aku bergegas menuju ke SHAS mosque. Ada yang aku rindui. Sebuah rasa yang sedang membuak di dalam hati. Kanan kiri, dipenuhi manusia. Aku urung menangis. Dia sudah tidak tahu bagaimana mahu menuang rasa ini.

Sungguh aku sedih dan sebak. Apa sudah aku buat untuk ummah? Apa sudah aku korbankan untuk ummah?

 Baiklah, tidak perlu jauh-jauh. Apa usahaku untuk perbaiki diri? Itu kan usaha untuk ummah juga.

Aku. Aku dan aku. Seringkali aku terlupkan mereka. Memang di UIA ini aku melihat semua orang yang bertudung, solat dan berpakaian sempurna. Apakah aku lupa, sejuta lagi rakyat Malaysia yang mungkin belum tahu apa-apa mengenai islam, sedangkan aku belum sampaikan apa pun kepada mereka?

Aku, aku .. aku takut!!

Briefing akhir tadi, ustaz Ismail Chong sebut ayat quran yang selalu aku dan kamu dengar.  Sangat selalu. Bahkan perkataan didalamnya sudahpun menjadi slogan maal hijrah. Wasathiyyah.

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا)
 (البقرة: 143)

Aku sentap. Mengapa?

Kerana selama ini, aku hanya menyambung ayat ini jika ustaz meminta. Aku rasa aku sudah hebat boleh sambung ayat ini. Sedang aku lupa! Sangat lupa! Apakah hatiku bergetar memahami?

Selama ini, aku tidak bergetar mendengar ayat yang penuh penanggungjawaban ini! Penuh.

Aku dan kamu ada tanggungjawab besar dari ayat ini. Tadi, ustaz ulang-ulang perkataan...

لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ
agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia..

لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ
agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia..

لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ
agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia ..!

 Ibnu Kathir menyebuat dalam tafsirnya, ayat ini menunjukkan kita dan kita akan menjadi saksi kepada ummah ini di hari pengadilan kelak. Ketika Allah memilih kita sebagai umat yang paling adil dalam memahami islam ini disinilah bermula dan berakhir hidup kita sebagai seorang hamba yang akan bertanggungjawab kepada manusia seluruhnya.


Sedang aku menulis entri ini, ustaz Ismail Chong telefon. Aku berhenti menulis.
" Zahra ya, kamu ambil hari rabu boleh? "

Aku kelu. Setelah berhadapan dengan study circle hari rabu semester lepas, aku urung mahu teruskan hari rabu. Letihnya kelas di siang hari, bertambah pula esoknya kelas bermula jam 8.30am. Aku tidak mahu.

" Boleh ke hari rabu?" 
 Di hujung talian, suara lesu ustaz kedengaran.

Astaghfirullah. Apa yang aku tulis tadi, benar-benar sebuah ujian bagiku. Kalau mahu diikutkan bisikan syaitan itu, mahu sahaja aku katakan kepada ustaz, saya tidak boleh. Tetapi, aku dan kita mesti buat apa yang kita tulis. Kemudian, cepat sahaja aku menjawab dengan bismillah di dalam hati

" Ya, boleh ustaz. insya ALLAH! "

" Ok. Chief facilitator kamu, Hijanah. "

" Baik ustaz. Jazakallah khair. "

" Ya. " jawab ustaz singkat.

Butang merah kupicit. Perbualan selesai. Aku tersandar di dinding masjid. Fikiranku melayang jauh memikirkan gerak kerja dan 'masalah bahasa' yang aku hadapi semester lepas. Memegang Study circle hari rabu, bermaksud memegang pelajar-pelajar di luar bidangku. Pelajar architecture dan engineering. Ini bererti juga, aku akan berhadapan dengan pemikiran mesin dan seni. Bahkan ada yang berfikiran sedikit liberal.

Sungguh, aku mesti kuat. Mereka ini golongan yang sesungguhnya memerlukan bantuan, pencerahan. Dan, untuk semua itu, aku mesti sedia. Entri kali ini, mungkin sedikit peribadi. Tetapi, tujuanku bukanlah itu. Aku hanya mahu berkongsi rasa hati dan pengalaman dengan cara yang sedikit 'real'.

Aku sebarkan juga rasa hati ini buat teman-teman seperjuangan sebagai naqibah study circle yang lain. terutamanya, Hafizah dan Rizky. Semester ini, kali pertama kalian memegang study circle. Buat yang terbaik ya. Kalau tidak kuat, minta kekuatan pada Allah. Bukan pada ana. Ana juga perlukan Allah sebagai sumber kekuatan. Dengan ana, kalian boleh istisyarah sahaja (dengan pengalaman yang sedikit itu). :-)

Kawan-kawan, doakan aku. Doakan aku. Doakan aku. Ini jalan juangku. Kalian, ada jalan-jalan kalian. Aku yakin  kalian mampu. Kalian berada dalam doaku. Sentiasa. :-)
---------------

p/s: entri ini saya tulis hari ahad yang lalu. Baru hari ini dapat publish. alhamdulillah. Malam ini study circle pertama. Doakan lancar semuanya.

09 February 2013

(",) hati-hati!

بسم الله الرحمان الرحيم

Mahu tidur awal. Bangun awal.

Saya mahu kuat. Luar dan dalam. Harus cari yang kuat juga. Yang paling kuat, Al-qawiy!

---------------------------

Perancangan yang tersusun. Saya bukan terlalu begitu. Saya dari dahulu sampai kini hanya begini. Dalam diri, ada perkara yang boleh diubah, dan ada yang tidak.

Yang ini, tidak dapat.

Bukan putus asa, tetapi menyuntik selesa. Syukur. 

---------------------------

Berdoa dan berdoa. Itu juga usaha. Hanya saja dari sudut yang berbeza. 
Biar manusia nampak macam sekadar menyerah. 
Allah lebih tahu nilai hati dan diri.

Dia yang mencipta, Dia juga yang tahu segala hati. Tidak perlu saya uar-uarkan di sini. Dia sudah tahu apa terbungkam di hati. Dia kan Al-aliim(yang maha tahu).

Tauhid itu, menyerahkan diri pada-Nya. Tauhid itu, permunian ibadah kepada-Nya. Ingat itu!
Kalau kamu tahu dia maha tahu, tetapi kamu masih lengah menemuinya, Kau sedang bermain api! HATI-HATI!

Sekian.

Takut.. Harap..

 بسم الله الرحمان الرحيم

Hari ini, saya cuba buka dua blog dari rakan blogger saya  http://hafizulfaiz.com/ dan http://lukhmantaib.hadithuna.com/.

Tiba-tiba rindukan blogwalking macam dahulu. Tetapi, hampa. Kedua-duanya tidak boleh dibuka. Entah mereka sedang perbaiki website atau apa. Saya kurang pasti.

Tiba-tiba, kerisauan menerjah. Jangan-jangan server rosak?

Saya membayangkan. Kalau ini juga terjadi kepada blogger.com, saya sungguh kecewa. Bagi orang lain,
mungkin tidak mengapa. Tetapi tidak saya.

Untuk saya, penulisan seolah nyawa. Penulisan juga seolah kehidupan. Saya membina diri, keyakinan, percaya dan harap melalui bidang ini. Dan semuanya bermula dari teratak usang ini.

Saya laluinya dengan tabah dan perjuangan. Hanya Allah saksi setiap gerakan jemari yang menghasilkan segenap entri.

Membukukan blog. Itu harapan saya. Optimis saya. Sebelum apa-apa terjadi. Doakan. Lebih banyak doa, lebih banyak barokah dan kemudahan.

Bismillah. Kuatnya dugaan di saat mahu menyambung tugas buat ummah.

07 February 2013

PELIT : gagal itu, terapi untuk berjaya!

بسم الله الرحمان الرحيم


Aku tidak rela terus-menerus dihantui dengan janji-janji pada diri.

Bismillah, walaupun badan dan minda ini letih sering ditukar-tukar switchnya. Arab-Inggeris-Melayu, Arab-Inggeris -Melayu. Aduh, subjek-subjek menarik untuk semester ini membuat minda sangat letih.

Apa pun cabarannya, aku tetap mahu menulis. Sesuatu yang lebih istimewa barangkali. Buat aku dan buat kalian.

Pernah Ustaz Zahiruddin Zabidi mengatakan bahawa beliau cemburu dengan kita para mahasiswa. Sebab, kita ada banyak idea untuk dituliskan. Setiap satu kelas yang kita hadiri, banyak perkongsian dan keunikan-keunikan yang kita perlu ceritakan kepada teman-teman kita di luar kelas itu.

Aku teringat. Kemudian, beransur-ansur letih dan penat yang mengguncang tubuh sebentar tadi hilang. Terasa disuntik semangat berkongsi yang luarbiasa!.

Kata-kata, nasihat, sindiran dan motivasi dari para pensyarah untuk tiga kelas pertama semalam masih hangat di gegendang telinga.

Sesekali, rasakanlah nikmatnya kegagalan

Belum pun kelas bermula, tiba-tiba datang segerombolan pelajar lelaki masuk ke dalam kelas kami di IRK LR6. Mereka masuk dan terus meluru masuk. Mahu bertemu pensyarah madkhal fiqh, DR Maszlee.

Di tangan masing-masing ada kertas. Pada aku, itu pasti kertas 'add manual' dan mereka mahu minta tandatangan Dr . Terkaan aku benar apabila tiba-tiba pensyarah intro fiqhku berkata.

"Kelas saya, ramai gagal. Kamu sedia mahu gagal?" Sambil menandatangan borang mereka, Dr Maszlee tersenyum. Nakal.

Pelajar yang berdatangan itu diam.

Aku juga terdiam. Detik mindaku sedang teringatkan lembaran-lembaran 20 tahun kehidupanku di muka bumi. Pesan Dr agar kami menikmati 'kegagalan' jika ia bertamu, membuat hatiku tersenyum pahit.

Benarlah, kegagalan itu bukan sesuatu yang menakutkan. Bukan juga sesuatu yang pahit semata. Ia lebih kepada terapi yang mendamba secebis SABAR.

Wajah mulus Dr Maszlee kembali aku tatap dalam-dalam. Wajah yang tidak lekang dari senyuman itu, tanpa disangka menyimpan sejuta ideologi untuk ummah. Wajah itulah, bakal aku hadapi sepanjang semester ini, Insyaallah.

 Jika dahulu aku bertemu beliau, sebagai seorang intelek aku boleh mengikuti atau meninggalkan percakapan beliau. Sedangkan kali ini, aku adalah pelajar dan beliau adalah guruku. Guru yang penghormatanku  hanya kurang sedikit dari ummi dan abi.

Mengingat penghormatan yang wajar aku berikan ini, ditambah pula ingatan-ingatan kepada 'kegagalan' dahulu, aku jadi bertambah semangat. Mendalami subjek-subjek yang aku ambil semester ini, kemudian memilih satu bidang untuk aku kuasai.

Bagiku sudah cukup  cukup sudah terapi kegagalan yang pernah aku lalaui. Apa pun, semangat sahaja tidak jadi tanpa perlaksanaan. Dan perlaksanaan inilah, aku mohon kalian doakan. Doakan aku, dan malaikat akan doakan kalian :-)

p/s: kawan-kawan kelas madkhal fiqh yang baca entri ini, jangan bagitahu Dr saya tulis entri ini. anggap sahaja saya menulis sesuatu yang fiksi dalam bentuk realiti. ^_^. Lagipun, saya kira tidak ada yang salah dalam kata-kata Dr . Bahkan sangat bermanfaat.. kan?

04 February 2013

PELIT: Ubat, buku dan AQIDAH..

 بسم الله الرحمان الرحيم

Kisah aku dan ubat

Aku merenung segenap ruang kamarku. Alhamdulillah, sudah 90 % kamar ini selesai dikemas. Setelah kulihat semula, barangan di kamarku tidaklah terlalu banyak. Baju sahaja boleh dibilang dengan jari. Alatan lain pun boleh dikira dengan mudah. lantas, mengapa aku sangat letih setelah mengemas? barang apa yang banyak dan berat sangat?

Mataku melilau ke segenap kamar.

Masih ada dua kotak belum disusun


Aha, buku!
patutlah aku rasa letih, bila diingat-ingat tadi aku sudah punggah 4 kotak berisi buku! Kalau mahu kugambarkan betapa berat dan banyak buku itu, lihat saja keadaan tangan kananku. Pergelangannya, sudah tegang dan sakit. Mahu menaip tulisan ini sahaja aku banyakkan penggunaan tangan kiri.

Aku sendiri tidak tahu apa jadi dengan tanganku ini. Cuma, aku boleh katakan sakitnya itu seakan aliran elektrik yang menjalar ke seluruh jemari dan naik ke bahagian lengan, kemudian siku dan bahu.

Cepat-cepat aku sapu ubat 'Veron Plus gel' yang pernah doktor berikan kepadaku. Cuma itu. Aku tidak dapat tidur kerana tangan kanan ini sangat sakit. Ada 'pain killer' dalam simpananku. Tetapi, aku tidak mahu. Biarlah, sekali-sekala aku menikmati rasa sakit ini.

Doakan tangan ini cepat baik :-)

Seumur hidupku, hanya ubat 'Veron Plus gel' ini yang pernah aku gunakan secara teratur. Itu pun, kerana ia adalah ubat sapu. Aku tidak pernah makan ubat hospital. Kalaupun terpaksa makan ubat, aku rela berhabis lebih sedikit untuk ke Pusat perubatan Hemopathy.

Entahlah,mungkin kerana kalau aku demam atau sakit dahulu, abi akan urutkan aku mengikut kaedah reflexology. Aku hampir tidak pernah makan ubat hospital. Seingat aku, cuma satu kali ubat-ubatan selain hemopathy masuk ke tubuhku.

Ketika tingkatan tiga, aku terpaksa makan panadol dan ditambah dengan air 100plus. Masih aku ingat, jiran katilku Izzatul Fadhilah, dialah yang menyarankan aku makan panadol. Kerana, esoknya kami harus menghadapi peperiksaan Pertengahan tahun.

Aku hanya menurut ketika itu. Sakit kepala yang teramat sangat ketika itu dan ditambah gemurh menghadapi peperiksaan esoknya, membuat aku tidak mampu berfikir panjang.

Tanganku masih sakit. Bahkan bertambah sakit. Tidak mengapa, aku mahu teruskan menulis. Perihal buku-bukuku yang aku kemaskan sebentar tadi.


Khazanah hati atau khazanah almari?
Subhanallah, banyak rupanya buku-buku yang aku simpan di kamar ini. Dari buku subjek kuliah berbahasa arab sampailah buku-buku ringan dan santai yang aku sering belek sehelai dua. Aku akui, masih belum khatam semuanya. Satu buku, mungkin hanya tiga hingga empat helai kuselak. kemudian aku akan bertukar ke buku yag lain.

Pernah satu ketika ada sahabat menasihatkan aku. Katanya, buku banyak-banyak bukan baca semua. Biar sedikit, tetapi baca bagi khatam. Aku hanya tersenyum mendengar ulahnya. Bagiku, buku itu sahabat sejatiku. Di saat sahabat-sahabatku tiada di sisiku, buku-buku inilah yang menemaniku.

Kadangkala, ada sebahagian perkara yang aku tidak mampu luahkan. Termasuklah kepada sahabat baikku, Jalidah (maaf ye jalidah, masih ada rahsia di antara kita..eheh). Bukan tidak mahu, tapi tidak mampu. Ya, saat- saat beginilah buku-buku itu semuanya berbicara denganku. Bicara mereka tidak sama dengan bicara kita. Bicara mereka luas dan jelas tiada selindung dan sakit hati.

Kalau boleh aku gambarkan, mereka itu umpama air hujan yang turun dengan lebatnya. Hujan itu, ia tidak tahu bahawa turunnya itu memberi penghidupan kepada bumi. Andaikan setahun hujan tidak turun, pastilah tanah menjadi kering. Batang pohon-pohon liar di tepi jalanan itu, paasti turut kering. Daunnya juga kering dan tidak hijau lagi. Dan akhirnya, pohon itu kekal berdiri sebagai pohon kering yang tidak berguna lagi.

Begitulah pentingnya hujan kepada kehidupan sebuah pohon. Sekalipun hujan yang turun itu cuma lima mint sehari, ia bermakna jika setiap hari ia turun. Sebuah buku yang dibaca, ilmu didalamnya umpama air hujan yang turun membasahi akal gersang manusia. Akal, selalunya ia berkait dengan hati. Kalau akal gersang, bagaimana ia mampu menumbuhkan hati dengan gersangnya itu?

Tetapi, hujan pun ada bahayanya jika yang turun itu hujan asid yang teramat tinggi kadar asidya. bukankah ia malah menjahanamkan pohon yang segar tadi?


For arabic studies..



Begitu juga halnya dengan buku. Lantas, aku selidiki buku-bukuku yang sudah aku susun rapi. Satu-persatu... Alhamdulillah, judul yang ada, semuanya baik. Dan aku sentiasa berharap, buku-buku ini menjadi khazanah hatiku, bukan hanya khazanah almariku!


Perbetulkan tapak, itu asas binaan!

Aku merasa ada yang kurang dengan judul-judul bahan bacaanku, dan aku benar. Dalam lambakan buku yang ada, aku belum bertemu walaupun satu buku berkaitan aqidah dan tauhid. Aku masih ingat tazkirah ustaz Abdullah Yassin berkenaan aqidah ketika aku mengikuti kem motivasi mahasiswa Al-nidaa'  dua minggu lalu benar-benar masih segar dalam ingatanku.
Kata ustaz, 
" kalau kita mahu buat rumah, apa yang penting? Tiangnya penting tak?" ustaz menyoal. Kami yang masih tersihir dek kelembutan penyampaian ustaz hanya mengangguk. Menyetujui.

"Sebab itu solat penting.. solat kan tiang agama islam.." ustaz menyambung penuh tertib.

Di barisan paling belakang, aku masih tertanya-tanya. Apa sebenarnya yang ustaz mahu sampaikan. Semua orang juga tahu kalau solat itu tiang agama. Tambahhan pula, yang hadir kem ini semuanya mahasiswa. Pasti mereka maklum 'Solat tiang agama'. Lantas, apa kaitannya dengan aqidah?. Monologku bertali arus.

Tidak lama, ustaz menyoal lagi.

"Anak-anak, apa yang lebih penting dari tiang?.. "

Tanpa perlu kami menjawab, ustaz terus menyambung..

"Nah, disini letaknya kepentingan ilmu aqidah. Yang lebih penting dari tiang, tapaknya kan?. Kalau tiang rumah itu ada dan kukuh. Diperbuat dari besi dan batu terbaik tetapi tapaknya tiada atau tapaknya tidak kukuh serta dibina dari batu yang paling rapuh. Pastilah semuanyabakal runtuh. Begitu kan anak-anak..?"

Monologku terjawab.

" Sebab itu, ilmu aqidah ini sangat penting. Kita tahu perkara yang mebatalkan solat, perkara yang membatalkan wudhu, perkara yang menyebabkan ibadah diterima. Tetapi, apakah kita tahu perkara yang membatalkan aqidah??? "

SENTAP!

Perkongsian ustaz Abdullah Yassin itu, membawa aku kepada penyelongkaran buku-buku millik abi. Akhirnya, aku bertemu sebuah buku aqidah yang sangat layak untuk aku baca dan teliti isinya. 

Kitab TAUHID terj~ Syaikhul islam Muhammad Bin Abdul Wahhab~


Walaupun sebenarnya aku tahu, buku itu hanya menambah berat koleksi bukuku yang sedia ada. Tetap buku-buku sedia ada milikku, boleh terjadi sia-sia jika aku tidak memahami hakikat aqidah yang benar. Aku tekad mahu khatam buku ini tidak lebih sebulan.

Doakan aku. Semoga doa kalian membawa aku kearah memahami buku ini dan memperbaiki asas binaan diriku ke arah yang lebih baik. Seterusnya, aku mampu menyampaikan kepada kalian dalam bentuk penulisan yang rapi. Aku tidak janji. Sebab aku takut tidak mampu memenuhinya. Tetapi aku akan usaha. 

Wallahu musta'aan. Dan Allahlah yang membantu segala usaha kebaikan.
Salam sayang buat semua. Uhibbukum fillah. Masuk semester baru ini, aku mahu lebih baik dari semester lepas. Kalau temanku maryam jamilah mampu mencapai GPA 3.7, kenapa aku tidak? Cabaran buat diri.^_^


Sekian.
Zahra' fajar Nina,
1:07am, 020413