31 December 2013

Satu temu janji untuk sebuah perjalanan ILMU (Terakhir 2013)

Kehidupan bukan sebatas dewan peperiksaan..
Ilmu, ia menuntut kesabaran dan kesungguhan!


بسم الله الرحمان الرحيم

Temu janji 1 : Mengintai nasihat, pesan terakhir beliau.

Saya tiba di kelas IRK LR4. 

Dari situ, saya bergegas menapak tangga bangunan menuju ke tingkat empat.Telefon Nokia tanpa skrin sentuh berwarna hijau di tangan, saya genggam kemas. Ada mesej dari kak Nasihah.


"Bilik Ustazah di IRK 4...8"

Alhamdulillah, itu dia!, hati kecil terjerit sedikit.

Perlahan saya mendekati pintu dan mengetuk setelah memberi salam.


"Owh, Zaharoh. Sila-sila..."
Ustazah menyambut kedatangan saya dengan wajah ceria. 

Temu janji pertama saya untuk hari ini, dengan beliau. Saya dan beberapa orang sahabat memaang sudah merancang untuk bertemu beliau. Mengambil kertas peperiksaan ketiga untuk carrying mark. Juga untuk menimba beberapa nasihat terakhir dari ustazah.


"Kejap ya, ustazah cari nama Zaharoh..."

Saya mengangguk sambil tersenyum. Di dalam kamar ustazah, sudah ada kak Nasihah dan dua orang lagi teman sekelas saya. Kami jadi berempat.

Sambil menikmati aroma segar dari kamar pensyarah saya itu, saya merenung susunan yang hampir sempurna di hadapan mata. Subhanallah, tatarias kamar uustazah sangat tersusun. Buku-buku yang banyak disusun elok mengikut saiz dan jenis. Fail-fail yang bertimbun diatur kemas pada satu sudut dia atas rak khusus. 

Beberapa gubahan bunga buatan tangan dihias ringkas menambah sejuk pandangan mata. 

Tenang. 

Damai.

Saya jadi terimbau. 

Peperiksaan ketiga ini, saya menjawab dengan penuh yakin  bersama persediaan yang cukup. Jadi, saya tidak terlalu risau akan keputusan yang bakal diterima. Cemerlangkah, atau tidak itu belakang kira.

Pada saya, berhasil untuk berusaha itulah kejayaan!


"Alhamdulillah, Zaharoh.. enti lulus. Bagus, kamu semua yang datang sini, semuanya pakat lulus-lulus belaka.." ustazah bersuara dengan loghat kedah beliau.

Monolog saya terputus. 


Bingkas saya bangkit dari set sofa empuk berwarna krem lembut, menuju meja kerja ustazah. Sambil menyambut huluran kertas kajang yang tertera markah itu, saya mengucap terima kasih.

Gulp! 17/25 sahaja?

Saya hampir tidak percaya. Ia terlalu jauh dari target saya 23/25..

Saya terduduk.

Ustazah seperti memahami. Dengan penuh nada keibuan beliau berbicara;


"!لا بأس، الامتحان لا شيء... المهم هو مجاهدتكم واستمراركم على الجهود في سبيل العلم "

(Tak mengapa, peperiksaan ni tak ada apa-apa pun.. Yang terpenting, kesungguhan dan istiqamah kamu untuk terus berusaha pada jalan ilmu ini..)
Dengan sedikit pemahaman pada bahasa ammiy (arab pasar) Mesir usatazah, saya akur. Nasihat itu memang untuk kami. Walaupun kami merasa usaha kami sudah habis-habisan, tetapi ukuran kami belum mencapai harapan ustazah.

Kami terdiam. Menanti lagi butir-butir nasihat dari ustazah.


"Ustazah ni sedih lihat anak-anak pelajar sekarang. Tiada kualiti!.ustazah cakap betul, kalau kamu lihat kelas satu lagi lebih teruk dari kamu. Berapa orang dari mereka yang dapat sifir per enam puluh carrying mark subjek ini."

0/60!

Sekali lagi kami terkedu. Bibir terkelu walau kedatangan kami sebenarnya dengan timbunan soalan-soalan.

Kamar damai itu sepi seketika.

" Nasihat ustazah, bersungguh-sungguhlah. Tingkatkan kualiti diri dan kualit ilmu dalam diri. Kalau kamu ini pelajar yang tiada kualiti, kamu juga akan menjadi ibu dan isteri rumahtangga yang TIADA KUALITI! "

Gulp!

Kami memandang antara satu sama lain. Ada maksud mendalam.

Sekali lagi, ustazah menembak kami dengan sebuah tanggungjawab yang lebih besar. Rumahtangga, baitul muslim. Isu anak muda mahasiswa yang belum lapuk. Dan saya yakin, ada sebuah teguran mendalam bersifat ummatik di situ.

Entah, itu yang saya nampak.


" Kalau ustazah boleh masuk sedikit, kamu perlu perkemaskan rumahtangga kamu. Tanggungjawab sekarang adalah belajar. Maka, perkemaskan diri untuk tanggungjawab sekarang. Kalau langsai, kamu sebenarnya memperkemas tanggungjawab seterusnya."
 
Renungan kami tepat pada wajah redup ustazah. Beri perhatian.


" Manusia, memang tidak dapat dipisahkan dari 'يا ليتني' (alangkah bagusnya kalau dahulu). Jadi, untuk tergolong dalam kalangan manusia yang tidak menyebut 'يا ليتني itu, kamu mesti bersungguh-sungguh!"

Asaghfirullah! saya memejamkan mata. terasa meremang bulu roma mendengar bait kata 'يا ليتني itu. Serentak, sebuah bait ayat Al-quran menerpa minda:
ذلك اليوم الحق فمن شاء اتخذ إلى ربه مآبا ، إنا أنذرناكم عذابا قريبا يوم ينظر المرء ما قدمت يداه ويقول الكافر يا ليتني كنت ترابا..

" Satu lagi hal yang ustazah suka pesankan. Islam kita ini, sampai akhir hayat. Sebab itu muslim sebenar, dia pasti KONSISTEN."
Pesan berbau nasihat terakhir dari ustazah itu, saya simpan kemas. Pesan akhir yang menyentap keluar dugaan demi dugaan yang dihadapi. Ya Allah, kuatkan kami mengamalkan nasihat-nasihat ini!

Dan, kami menapak keluar dari ruang ustazah dengan sebuah tekad. Bersungguh!

Temu janji pertama, TUNTAS!




Gombak.
Zaharoh Fajar Nina

31 Disember 2013
29 Safar 1435H
11:55pm

Posted by Picasa

30 December 2013

4 niat dalam menuntut ilmu

Zahra'7|photogallery

بسم الله الرحمان الرحيم


Ilmu itu Kuasa!
Ya, Ilmu berkuasa mengubah manusia jahil menjadi beradab.
Mengubah manusia hina menjadi mulia.
Mengubah duka sengsara menjadi bahagia.

Ilmu itu benar-benar sebuah kuasa luar biasa!

FOKUS
الاتقان!


30 Dis 2013
SHAS's mosque, Gombak.
Posted by Picasa

27 December 2013

Pesan TAUHID untuk muslimah (Al-kahfi ayat 1-3)



بسم الله الرحمان الرحيم

Pesan-pesan TAUHID

Pesan-pesan TAUHID dalam surah Al-kahfi hari ini membuat saya tersentap dan membacanya penuh tartil.

Berusaha menghayati.

Perlahan, maknanya ditelusuri. Susunan bicara dengan bahasa halus dan indah itu berusaha diserap semampu mungkin.

Ayat pertama surah ini sahaja sudah menyentap kita untuk mengembalikan segala nikmat yang kita kecapi kepada sebuah penyataan rasa syukur yang mendalam.

Sungguh!

Ayat pertamanya sahaja mampu mengukuh padu akar TAUHID dalam diri. Tersusun kemas menyantuni fitrah manusiawi kepada keperluan naluri. Sebuah rasa, memerlukan tuhan untuk dipuji, untuk diagungkan.

Allah,

Segala nikmat yang diberi terlalu melimpah sehingga terkadang kita terlupa mengucap syukur...


الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ عِوَجًا

" Segenap pujian itu, semata-mata untuk Allah! Allah jualah yang telah menurunkan kepada Muhammad yang merupakan hamba-Nya, sebuah kitab Al-quran.

Dan, kitab itu diturunkan dalam keadaan tiada cacat celanya, bahkan tiada sedikitpun kekurangan mahupun percanggahan pada makna-maknanya! "

(Terjemahan dari tafsir Al-jalalain Al-kahfi ayat 1)


Ah, jemari terasa gementar menuliskan bait-bait makna yang terlalu mendalam.

Pada diri ini, ia sebuah nilai yang perlu dipasak kukuh membentuk peribadi.

Ya, peribadi acuan al-quran itu gerak pertamanya bermula dari TAUHID yang benar. Dari situ, ia akan meledakkan serakan peribadi dan akhlak terbaik sebagai muslimah.

Saya akur, akal dan minda sahaja tidak mampu menembus keagungan pesan-pesan TAUHID ini andai tidak diadunkan dengan ilmu alat Bahasa Arab dan amalan istighfar dalam rangka menyucikan jiwa dan rasa.


Alhamdulillah, kembara memahami surah Al-kahfi ini baru di tapak mula buat diri saya. Baru satu sisi yang mampu saya ungkapkan dalam penulisan.



Minggu belajar (baca:study week), saya menulis. Doakan first paper 29 Dis ini :-)



Kerana dan KERANA..

Kerana saya juga muslimah, pesan TAUHID ini untuk saya khususnya. Dan, untuk muslimah yang membaca umumnya. 

Kerana TAUHID itu akar kepada kehidupan, carilah dan galilah pesan-pesan TAUHID pada setiap ayat dari surah ini. Saya temui banyak! Sungguh banyak! Bahkan, sehingga jemari tidak mampu melakarnya dengan aksara madah.
 
Sekali lagi,

Kerana TAUHID in akar kepada pohon kehidupan, pesan ini menjadi khusus buat muslimah.



Kerana, TAUHID akan memegang dan menyimpan rasa malu kita dalam mendepani dunia fitnah yang kian mencabar!


Kerana, kita telah dimuliakan dengan gelaran wanita. Maka, apakah beza wanita syurga dan wanita neraka kalau bukan pada TAUHIDnya?

Oh ya.. 

Kerana, kita adalah bakal ibu yang kelak menjadi sekolah kepada generasi yang bakal kita bina. 

Kerana, kita adalah pengemudi dalam membentuk ruang lingkup kecil sebuah rumah, yang telah pun mencetak generasi ummah terdahulu.


Kerana, TAUHID adalah warisan paling bernilai buat bakal penghuni rahim kita dek harganya adalah syurga!

Kerana, kita mahu segala usaha di dunia ini menjadi pemberat timbangan di akhirat. Bukannya debu yang berterbangan sehingga tidak dapat dikira beratnya.

Juga..


Kerana, TAUHID membuat kita tenang dalam kesungguhan meraih pencapian terbaik.


KERANA, TAUHID mengajar kita untuk menjadi hamba Allah dan bukannya hamba FINAL EXAM. 

Dan pada akhirnya nanti, kita tidak kisah jika dapur menjadi tempat paling indah meraih redha Allah!

Dan pada akhirnya nanti, kita tidak jemu mencorakkan ruang kecil bernama 'rumahtangga' walau dengan gelaran 'Dr' yang kita ada.


Berbahagialah siapa yang menyambut pesan TAUHID ini..

Muslimah yang terbaik, adalah dia yang lunak hatinya mendengar peringatan dan nasihat. Apatahlagi jika nasihat itu adalah kalam Allah yang terbit dari butir-butir bait Al-quran. Ketika, dia mulai berusaha memahami dan mengamalkan,

Sebuah berita gembira untuknya!


قَيِّمًا لِّيُنذِرَ بَأْسًا شَدِيدًا مِّن لَّدُنْهُ وَيُبَشِّرَ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا حَسَنًا

Alquran itu, sebagai bimbingan yang lurus untuk memperingatkan siksaan yang sangat pedih dari sisi Allah dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman,

yang mengerjakan amal saleh, bahwa mereka akan mendapat pembalasan yang baik, Kemudian mereka KEKAL DI DALAM syurga!

Subhanallah, maha suci Allah yang telah melantik rasul-Nya untuk menyampaikan berita gembira ini. Dan, apakah berita yang lebih menggembirakan daripada syurga?

Mungkin akan ada yang kurang setuju dengan saya jika saya mengatakan:

Usah bersedih jika usahamu tidak membuat dirimu tergolong dalam deanlist yang kau impi-impikan. Usah bersedih jika usahamu belum mampu menempatkanmu pada peringkat 'bijak' yang sering diuar-uarkan itu.

Kerana, setiap manusia itu bijak dan mereka mempunyai kebijakan yang berbeza-beza. Lantas, andai kau gagal pada perjalanan meraih pangkat terbaik di peringkat kejayaan peperiksaan.. kau sebenarnya berjaya membuktikan pada dunia bahawa Allah mencipta manusia itu berbeza kemampuannya.

Tauhid, mengajar kita untuk percaya itu. 

Sedangkan ramai yang tidak melihat dan kurang bersetuju dengan penyataan saya. Tidak mengapa, mungkin dengan pakcik Albert Einstein ini kita lebih 'beriman' ketika beliau berkata:
 

"OUR EDUCATION SYSTEM.
Everybody is a genius. But if you judge a fish by its ability to climb a tree, it will live its whole life beleiving that it is stupid!"

Pic credit to kak Umiy

Berbahagialah sesiapa yang menyambut pesan TAUHID dengan hati yang lapang dan kefahaman yang jelas. 

TAUHID, ia membuahkan sikap yakin pada Allah dengan 100%. Hidup lapang, belajar bermatlamatkan ibadah.






Zaharoh Fajar Nina,
Mahallah Hafsah, UIAM, 
Jumaat 
[24 Safar 1435/ 27 Dis 2013]
 ------------------------
P/s: Alhamdulillah, langsai tugasan mengisi blog. Selesai amanah 1. Masuk amanah 2, terus berusaha buat yang terbaik untk final exam. Kenapa nak takut, Allah kan ada? ^_______^

30 November 2013

Warkah : Syahid itu, bukan ada di tikar sejadah!

بسم الله الرحمان الرحيم

Perkongsian dari seseorang kepada kita.

Dia meminta saya kongsikan bersama kalian. Berat untuk saya menerima warkah ini dipampang di sini.Tetapi kerana saya menghormatinya pendiriannya yang mahu namanya dirahsiakan, saya kekalkan penulisan ini sepertimana yang dihantar kepada saya.

-Zaharoh Fajar Nina-

------------------------------------------------

Renungan dari jendela dakwah!


# Warkah : Syahid itu, bukan ada di tikar sejadah! #

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ini aku deactive facebook

Aku merasa perlu banyakkan masa dengan kekasihku Allah. Ada sebersit ketakutan dalam diri jika dijemput kembali tanpa 'apa-apa'. 

Aku nekad.

Aku hanyut dalam 'ibadah' dan 'lantunan Al-quran', sesekali aku menagis kerana kefahaman yang dalam terhadap makna Al-quran. Setiap bait kata dari Al-quran itu benar-benar membasuh diriku. Aku larut dalam perjalanan menuju Allah itu..

Sujudku lama dari biasa.

Setiap sujud, sejadahku pasti basah dengan airmata keinsafan. Memang, aku sedar aku banyak dosa... Sebab itu aku mahu bersihkannya dengan rasa takut dan kesungguhan menghapus dosa.

Aku benar-benar larut.

Aku merasa 'suci' dengan ibadah-ibadahku. 

Dan, aku merasa sudah sedia menemui mati.. 

Aku merasa diri ini layak menerima syahid kerana aku sangat merindui mati syahid yang dikatakan tidak sakit itu..



Tiba-tiba, aku terima suatu mesej: 


"Wei, ko tengah buat apa tu? Kenapa ko punya fb takleh buka pun. Aku tengah kosong ni. Lama aku tak baca post-post ko.. Tolong aku wei, nasihat aku.. Aku nak jadi baik jugak..!!"

Seolah semburan api menyambar seluruh tubuhku!

Aku terduduk membaca mesej di Samsung S3 ku itu. Aku menangis.. lebih teruk dari tangisanku di tikar sejadah tadi.

Astaghfirullah!

Aku salah! Aku salah!

Rasulullah SAW pun tidak wafat di tikar sejadah.. baginda wafat di medan perjuangan dan dakwah menyampaikan islam kepada ummah. Kalau baginda cuma menangis dalam sujud-sujud baginda yang lebih hebat dari diriku, apakah sampai ajaran tauhid dan Al-quran kepadaku?!

Perlahan, aku aktifkan semula facebook ku. Aku tahu, ruang ini juga tidak sehebat medan tempur dan dakwah bginda SAW.Tetapi aku perlu bergerak menyampaikan. Ada 'mereka' yang memerlukan. 

Aku sedar, bakat menulis ini bukan milikku. Ia milik Allah yang disandarkan kepadaku agar aku menggunakannya sebagai wadah dakwah.

Ya, Allah boleh tarik bakat ini sekelip mata. Allah boleh pindahkannya kepada orang lain. tetapi, selagi bakat ini melekat dalam diriku, aku perlu teruskan dakwah. Walau ia sekecil-kecil usaha yang mampu aku lakukan.

Aku terus menaip sesuatu di dinding facebook

Kali ini, bukan kerana kemahuan, tetapi kerana kesedaran. Islam itu nasihat. Dan nasihat serta hikmah yang terkumpul dalam diriku untuk ummah! Bukan untuk aku menyimpannya sehingga basi di dalam kubur.

Aku tuliskan di dindingku dan menanda si penghantar mesej itu pada statusku :


" Kawan, aku yakin kau tahu. Allah itu punya satu nama Al-qayyum maknanya 'yang MAHA kuat'. Kau tahu, Al-qayyum Allah itu meliputi segala kekuatan yang kita bayangkan dan yang tidak dapat kita bayangkan sampai bila-bila. Allah, kekuatan-Nya tidak sama dengan kekuatan makhluk-Nya yang kuat. Aku? lebih tidak kuat aku yang lemah ini.

Jadi, kau kena selalu minta kekuatan pada Al-qayyum! Aku boleh beri kau nasihat, tapi ada masa kekuatan aku menurun juga. Aku kan sama dengan kau, bernafas guna oksigen dan henbusan nafasku karbon dioksida.. hehe..

Kau nak jadi baik kan? Aku pun nak jadi baik juga. kita sama-sama nak jadi baik. Jadi, kita kena sama-sama minta kekuatan dari Al-qayyum untuk jadi baik.."

Bermula dengan nama Al-qawiy, aku menekan punat 'post'.

Aku jadi teringat kisah Umar Al-khattab, dia selalu meminta agar dimatikan dalam keadaan 'Syahid'... tetapi Allah mematikannya di pembaringan. Apakah Allah zalim kerana tidak mengabulkan permintaan seorang pahlawan medan perang yang gagah dan digeruni musuh dari kalangan manusia dan syaitan?

Oh, pastinya tidak. Bahkan Umar adalah antara 'namelist' penghuni syurga yang dikhabarkan baginda SAW.

Dan, mesej dari kawanku tadi membuat aku tersedar dan mengambil ibrah dari kisah umar.

"Syahid itu, bukan ada di tikar sejadah! Tetapi ia ada pada perjalanan hidup menuju kematian yang MULIA. Dimuliakan dengan:

-Aqidah yang soheh, 
- Akhlak yang mulia, 
- Ibadah yang benar.. 
dan 
- Perjuangan yang ikhlas. Semata-mata ingin meninggikan kalimah Allah di muka bumi.. 

YANG IKHLAS, BENAR-BENAR IKHLAS.."



Warkah dari :

Aku,
buat kamu,
3.26pm
30 November 2013M
27 Muharram 1435H

* Aku salurkan kisah ini melalui seorang fb sahabat, terima kasih kerana menyalurkannya!

Kematian. Ia pasti tiba. Kematian yang mulia, ada pada kehidupan yang mulia pula..

12 November 2013

Demi MASA!


بسم الله الرحمان الرحيم

Demi masa!
Demi masa!
Demi masa!

Sesungguhnya manusia benar-benar dalam kerugian...
dua kali Allah datangkan tanda penegasan(taukid) dalam ayat ini. Sudahlah awal ayat Allah bersumpah dengan MASA.

Cuba kita renung kembali  lafaz asalnya di dalam bahasa arab:
والعصر Demi MASA,

إن الإنسان لفي خسرٍ
 
Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian.

penegasan pertama pada (إن) dan penegasan kedua pada huruf lam sebelum 'fi' (لفي) yang membawa maksud 'Sesungguhnya'.

Sungguh, masa adalah sejenis makhluk yang membuat manusia merasa rugi dan terus rugi. Jika kita lihat dalam syair Jahiliyyah, para penyair sebelum kedatangan islam ini juga menyedari betapa masa seringkali membuat mereka kerugian dan mereka.

Khansa' bersyair mengenangkan kematian abangnya dan berkata:
تَبْكِي خُنَاسٌ عَلَى صَخْرٍ وَحَقَّ لَهَا
Seorag Khansa' terus menangisi kematian Shokhr(abangnya) dan apa yang telah berlaku di hadapan matanya,

إِذْ رَابَهَا الدَّهْرُ إِنَّ الدَّهْرَ ضَرَّارُ
Tatkala itulah, MASA telah membuat matanya terbuka luas dengan kejutan-kejutan, sesungguhnya MASA itu sangat membawa mudharat...


Di era kita telah keluar dari kepompong jahiliyyah ini, apakah kita layak mengutuk masa semata?

Benar, syair Jahiliyyah banyak membuat kita tersedar hakikat sesuatu, dan Islam datang dengan sebuah jawapan yang mendamaikan hati orang-orang beriman....

Ada. Dalam kelompok besar manusia yang rugi serugi-ruginya itu, ada kelompok yang tidak rugi. Allah telah nyatakan dalam pengecualian ini..
"إلا الذين ءامنوا و عملوا الصلحت و تواصو بالحق وتواصو بالصبر"
Semua manusia RUGI dalam melaui masa-masa mereka.. kecuali:

1) ORANG-ORANG YANG BERIMAN..
2) MEREKA YANG BERAMAL SOLEH..
3) MEREKA YANG SERING BERPESAN-PESAN PADA KEBENARAN..
4) MEREKA YANG SERING BERPESAN-PESAN PADA KESABARAN..

?? PERSOALAN??

Apakah kita masih jahil dengan terus-menerus mengutuk MASA?

ATAU

Kita bergerak menuruti petunjuk Allah di bawah cahaya Islam dan meletakkan diri dalam golongan yang 'terkecuali' dari sumpahan masa?

 
Telok Chempedak, Kuantan Nov 2013-credit to Nadirah-

------------------------------
Kampus Biru UIAM Gombak,
9 Muharram (Hari Tasu'a) 1435H,

~Merindui kelas Syair Jahiliy...~ (^_^)

01 November 2013

Tadabbur surah Al-kahfi ayat 45

بسم الله الرحمان الرحيم


Ayat ke 45 surah Alkahfi, membawa saya kepada sebuah coretan..
-------------------------

Hari ini sudah masuk 1 November dan Zulhijjah bakal meninggalkan kita.

Umur sudah bertambah sehari lagi. Esok, sehari lagi dan begitulah seterusnya.. Sehingga, kita tidak menyedari perubahan demi perubahan berlaku begitu cepat.

Saya tiba-tiba teringat zaman ketika di tingkatan satu. Waktu itu, kita merasa sudah dewasa kerana melangkah ke suatu dunia yang khusus untuk orang-orang 'dewasa'.

Terlalu banyak impian dan harapan yang didambakan, dan alhamdulillah sthummal hamdulillah [segala puji bagi Allah], yang telah memakbulkan semua impin itu bahkan lebih. Subhanallah!

Liku-liku menuntut ilmu diharungi dengan langkah pertama di sebuah Maahad di kaki Gunung Jerai. Impian saya dahulu, cuma mahu ikut bersekolah dengan kak Syahidah Fajar..

Tetapi, baiknya Allah.. Dia kurniakan lebih dari itu.

Allah beri sahabat-sahabat yang solehah dan guru-guru yang sabar mendidik diri.

Sehinggalah saya, adalah saya hari ini. Hasil dari tarbiyah 10 tahun yang lalu setelah melalui proses perubahan corak kehidupan dari kaki gunung yang damai ke kota yang sibuk dan terlihat gersang.

tetapi, manusia selalu salah ketika dia menutamakan mata zahir berbanding mata hati. Di kota 'gersang' itulah rupanya Allah mahu mengasah diri menjadi permata yang lebih murni.

Dan.. yang paling penting Allah tidak tinggalkan diri sia-sia tanpa bimbingan-Nya. Allah masih memberi guru-guru dan sahabat2 yang baik..

Sehinggalah...
Kita, adalah kita saat ini. Melalui proses kehidupan yang seterusnya.

Bermula Nor Raihan Izzati, kemudian Nur Iffah, kemudian Zunnur Qalbi, Hani Aiman Mohd Nashir....

DAN HARI INI Nurul Najwa.

Sungguh, tiada ucapan yang lebih baik untuk Najwa melainkan apa yang diwasiatkan kepada kita dari Insan Mulia MUhammad Shollallahu alaihu wasallam...:



"بارك الله لك وبارك عليك وجمع بينكما في خير".. 
Semoga Allah memberkahimu dan memberi berkah ke atasmu an mengumpulkanmu dan pasangan dalam kebaikan.

Kehidupan umpama hujan.. (18:45)


-------------------------
" Dan berilah perumpamaan kepada manusia,

kehidupan dunia ini umpama air hujan yang Kami turunkan dari langit, maka menjadi subur karenanya tumbuh-tumbuhan di muka bumi, kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering yang diterbangkan oleh angin.

Dan adalah Allah, Maha Kuasa atas segala sesuatu. "

[Alkahfi 18 : 45]

Dari sebuah kelas Nahu aku belajar nilai IKHLAS..


بسم الله الرحمان الرحيم

Di bawah kubah biru tersergam nan indah, saya mula mencoretkan kejadian hari ini. Kejadian biasa yang menusuk ke jiwa.
Image from google- masjid UIAM


Teruskan dengan kebaikan yang lain..

Usai meeting dengan sahabat DnT ALA, saya terus meluru ke kelas syarah Ibnu Aqil di Masjid.

Mulanya, kaki terasa malas melangkah ke masjid. Apatahlagi bila Afaf dan Fad mengajak saya makan sekali. Sikap mukmin yang baik dia berusaha memenuhi harapan dan ajakan saudaranya. 

Tetapi, tiba-tiba saya teringatkan kelas Syarah Ibnu Aqil Dr Solehah.

Saya merenung jam Casio besi di pergelangan kanan, jam menunjukkan tepat 11 pagi. 'Aha, kelas Syarah Ubnu Aqil belum habis lagi ni..' desis hati.

Tiba-tiba teringat pesan ummi:

"Biasakan diri tu Zaharoh, lepas selesai satu kerja, sambung dengan kerja yang lain pula..   !!فإذا فرغت فانصب (Maka apabila kamu telah selesai dari sesuatu urusan, kerjakanlah dengan sungguh-sungguh urusan yang lain) [Al-insyirah :7]"

Suara ummi seolah-olah berbisik halus ke telinga saya.

Itulah istimewanya ummi dan abi. Sepanjang mereka mendidik kami adik-beradik, ummi dan abi jarang berkata:

'ingat pesan ummi dan abi ni..' Tetapi, mereka lebih sering berkata: 'Ingat, apa Allah pesan dalam al-quran. Ingat apa nabi pesan dalam hadis..'

Pantas.

Saya bergegas minta diri dari Afaf dan Fad kemudian meluru ke masjid tingkat dua. Sampai sahaja di masjid, saya berniat i'tikaf dalam hati sambil berdoa dengan doa masuk masjid. Semoga ilmu yang saya dapat bermanfaat dan Allah nilai sebagai ibadah.


Kelas kitab Syarah Ibnu A'qil

Dari luar sudah kedengaran suara nyaring ustazah Solehah menjelaskan kitab turath nahwu bahasa arab itu. Dengan kaki kanan, saya melangkah masuk meninjau bahagian lelaki, tempat kelas pengajian syarah Ibnu Aqil, terasa malu kerana lambat. 

Tergamam.

Cuma ada dua pelajar perempuan dan seorang pelajar lelaki sedang tekun menatap kitab. Suasana damai menyeruak dalam jiwa. 'Semoga Allah merahmati mereka yang ikhlas ini'.

Juga, ustazah Solehah yang tetap bersemangat seperti ada ratusan pelajar di hadapan beliau. Sampaikan, saya yang menjadi orang keempat itu pun seolah tidak diendahkan. (siapa suruh datang lambat huhu..) 

Ustazah Solehah masih bersemangat. Merasa diri bersalah dek lambat, saya cepat-cepat volunteer untuk mebaca bayt terakhir bersama syarahnya yang terakhir untuk kelas hari ini.

Selesai.

Kelas hari ini berlalu dengan sangat tenang. Kami terasa ramai walaupun cuma empat orang pelajar. terasa ada 'malaikat' yang meramaikan dan menebarkan sayapnya untuk majlis ilmu kitab Syarah Ibnu Aqil itu.

Kerana satu hal, saya yakin. Ustazah IKHLAS! Cuma itu yang mampu saya katakan. Bayangkan, ustazah sanggup meninggalkan meeting department semata-mata mahu mengisi kelas Syarah Ibnu 'Aqil yang pelajarnya cuma tiga+satu (saya) orang itu!

Saya teringat kata-kata ustazah tadi:

"Ustazah harap, kelas ini berjayalah ya... kamu, tidak pernah belajar nahu selagi kamu tidak belajar alfiyyah bersama syarahnya!"
Dengan wajah terkilan yang tetap bersemangat, ustaah mengucakan terima kasih kepada kami yang hadir. Ustazah mendoakan barokah untuk kami!

Ya Allah, rahmati dan limpahkan barokah untuk guruku ini', saya mendesis dalam hati sambil kaki melangkah keluar. Ada tugas yang menanti.


!!فإذا فرغت فانصب

Dari sebuah kelas Nahu aku belajar nilai IKHLAS..




Masjid SHAS UIAM, tingkat dua,
27 Zulhijjah 1434H
[catatatan selepas solat Jumaat]

21 October 2013

Aku bukan manusia 'malaikat'..

 بسم الله الرحمان الرحيم


Life is an ATTITUDE

Hanya di Teratak maya ini aku mampu menumpahkan 'semua'nya walau bukan 'segala'nya. Untuk insan yang memahami hati ini, dia akan memahamiku lebih dari apa yang aku tuliskan..

Benar kawan, kehidupan ini memang begini.. 

Ia perlukan kekuatan jiwa yang luar biasa. Hidup memerlukan kehebatan dan ketangkasan akal untuk membuat keputusan. Hidup memerlukan sebuah optimis yang sentiasa memberikan harapan..

Ya, itulah kehidupan. Ia berjalan selari dengan sikap kita terhadapnya.

Ketika kita 'tension' dengan peperiksaan yang menanti, ditambah pula assigment bertimbun-timbun.. Kita sebenarnya membina sebuah lubuk kehidupan dengan segala timbunan 'tension' di dalamnya.

Ketika kita terbeban dengan amanah jawatan dan pembelajaran, apatahlagi bila kita dikejar dengan dateline program yang kian mendekat.. kita mula gelabah dengan bebanan yang tak tertimpa.

Ya, kehidupan adalah sebuah BEBANAN untuk mereka yang merasa TERBEBAN.

Sakit.

Kata teman bilikku ketika minggu pertama di tahun satu dahulu: 'sakit ini, aku yang rasa. Kau tidak akan memahaminya kerana kau tidak merasa!'

Benar kawan, orang yang tidak sakit juga akan sakit bila dia merasakan dirinya SAKIT.

Life is an attitude. Hidup, adalah sebuah sikap.


Aku bukan manusia 'malaikat'

Kawan, kalian jangan salah faham.

Aku bukan manusia 'malaikat' tanpa dosa yang sentiasa dibanjiri rasa damai dalam jiwa. 

Aku bukan manusia 'malaikat' yang tidak punya perasaan gementar mendepani peperiksaan dan terhimpit dengan timbunan assigment

Aku bukan manusia 'malaikat' yang tidak punya rasa sedih, duka mahupun terbeban dengan segenap amanah yang tergalas di bahuku.

Sungguh, aku juga manusia biasa seperti kalian dan bukannya manusia 'malaikat'. Aku juga punya rasa dan deria untuk tahu apa itu erti sakit dan perit dicucuk duri-duri dugaan di sepanjang laluan kehidupan.

Aku juga pernah merasa apa yang kalian rasa.

Cuma satu hal.

Kita ini, dicipta pada sebuah sistem bernama masa dan kita bukan hambanya. Sedangkan, kita adalah hamba kepada pencipta masa, Allah.

Mengingat hal ini, aku selalu menegur diri sendiri. Monologku selalu berperang dan berkata:

"Duhai diri, kau bukannya hamba kehidupan. Kau itu, hamba Tuhan! Sungguh, hidupmu ini bukan untuk membebankan. Bahkan, hidup adalah hadiah dari pencipta masa kepada manusia. Hadiah untuk aku dari Tuhan!"

Aku juga selalu mengulang-ulang pesan bonda yang berkongsi perkataan Al-Marudzi rahimahullah: "Aku pernah bertanya kepada Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah, “Bagaimana keadaanmu pagi ini?”. 

Maka beliau menjawab, “Bagaimanakah keadaan seorang hamba yang Rabbnya senantiasa menuntutnya untuk menunaikan kewajiban-kewajiban. Nabinya juga menuntut dirinya untuk mengerjakan Sunnah (tuntunan)nya. Begitu pula, dua malaikat yang menuntutnya untuk memperbaiki amalan...

Sementara itu, hawa nafsu menuntut dirinya untuk memperturutkan kemahuannya. Iblis mengajaknya untuk melakukan berbagai perbuatan keji.
Malaikat maut juga menunggu-nunggu untuk mencabut nyawanya. Dan di sisi yang lain, anak dan istrinya pun menuntut untuk diberikan nafkah?!”

(Lihat kitab Aina Nahnu min Akhlaaqis Salaf, hal. 19).

Satu hal, sistem masa ini akan terus berjalan sehinggalah aku dan kalian menuju detik 'hadiah' ini dihentikan.

Zahra'7|photogalery :-)

Sungguh ajaib urusan mukmin itu!
Hanya mukmin yang akan meyakini bahawa dirinya bakal terputus dari hadiah 'kehidupan' kemudian menuju akhirat. Walaupun dia bukan manusia 'malaikat', dia akan menempatkan dirinya sebagai manusia mukmin.

Atas kesedaran itulah aku tidak suka men'tension'kan dan membebankan diri dengan kata-kata 'tension' dan 'stress'.

Aku lebih suka menggunakan perkataan 'tak mengapa'.. Kerana aku mahu menikmati keajaiban untuk mukmin.

Tak mengapa kawan, bukankah selama 21 kau hidup ini sudah banyak peperiksaan yang kau tempuhi? Dan, kau berjaya melaluinya dengan segenap usahamu.

Tak mengapa kawan, bukankah sakit yang kau alami itu membuat kau merintih mnuju Tuhan? Bukankah Dia sedang mencuci dosa-dosamu(insyaAllah) dengan sakitmu itu?

Tak mengapa kawan, kita langsaikan urusan ini bersama-sama. Apa yang penting? 'KERJASAMA'. Program dan gerak kerja kita yang kecil ini, semoga ia menjadi hujjah kita ketika di hadapan Allah nanti.

Tak mengapa kawan..
Bertenanglah . Dalam ketenangan kau akan keluar dari kekusutan dan temui penyelesaian.

Tak mengapa kawan, sabarmu bersama usaha menuju puncak kejayaan akan Allah hitung sebagai amalan pemberat timbangan. Bahkan Ali bin Abi Thalib radhiyallahu’anhu juga pernah mengakui hebatnya cabaran sebuah kehidupan, dalam nada nasihatnya kepada kita:
“Jadilah kalian anak-anak akhirat, dan jangan menjadi anak-anak dunia.
Sesungguhnya hari ini yang ada hanyalah amalan dan belum ada perhitungan amalan hamba, sedangkan esok di akhirat.. yang ada adalah hisab dan tidak ada lagi waktu untuk beramal.”
(HR. Al-Bukhari secara mu’allaq)
Tak mengapa kawan dan sahabat....
Dukamu akan diganti dengan gembira, seperti bergantinya mentari dengan bintang.. ketika kau memahami pujukan tulus dari insan mulia bernama Muhammad Shollallahu 'alaihi wasallam:
عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله خير
Betapa ajaibnya uurusan mukmin itu kerana sesungguhnya setiap perkara baginya ada kebaikan..
 وليس ذاك لأحد إلا للمؤمن ؛
Dan tidaklah berlaku hal ini melainkan semata-mata kepada orang mukmin..
 إن أصابته سرّاء شكر ؛ فكان خيراً له
 Jika dia dilimpahi bahagia, lalu dia bersyukur dan hal itu baik baginya..

 وإن أصابته ضرّاء صبر ؛ فكان خيراً له
Dan sekiranya dia ditimpa susah, lalu dia bersabar dan hal itu juga baik baginya..
(HR Muslim)


Zaharoh Fajar Nina
Mahallah Hafsah, UIAM Gombak
16 Zulhijjah 1434H | 21 Okt 2013
6:32pm
--------------------------
* Esok exam Usul Fiqh. Biasa, time exam mesti gatal tangan nak menulis :-) Doakan saya... Alhamdulillah, lepas menulis baru semangat nak sambung study..

19 October 2013

Kita yang teruji dan diuji..

 بسم الله الرحمان الرحيم



Pemuda kahfi, mereka juga diuji. Kemudian Allah teguhkan hati mereka..

"Aku diuji kau tahu!"

"Iya kawan, kau ingat cuma dirimu diuji? Semua orang diuji!"

Dia diam.

Walau sebenarnya aku tahu, ujian Allah untuk dirinya sangat besar melebihi ujian Allah untuk diriku. Aku kenal dia. Dia memang sangat baik dan taat melakukan perintah Allah.

Sikapnya yang lemah lembut, tutur katanya yang jarang menyakitkan hati manusia, maka ujan untuk orang sepertinya pasti lebih hebat. 

Ah, aku sering ditemukan dengan orang-orang yang hebat diuji. Ujian mereka, benar-benar menguji percaya, iman, dan yakin. Semuanya berkaitan TAUHID. Yah, itulah ujian yang benar-benar ujian. Ia berkait Syurga dan Neraka!

Sungguh, semua ini bukan ujian main-main.


Seorang adik hampir 'Murtad'

Seorang adik, pernah bermimpi dirinya murtad. Kemudian mimpi itu berulang-ulang dalam tidurnya selama enam-tujuh bulan. Sehingga akhirnya dia menganggap mimpi itu wahyu yang benar untuk dirinya. 

Bukan perasan, tetapi aku akui adik ini memang 'suci'. 

Semenjak tingkatan satu dia tidak pernah tinggal tahajjud, tidak pernah juga tinggal ayat kursi sebelum tidur kecuali satu hari. Solat sunat Dhuha dan rawatib? Jangan ditanya. Memang aku tidak pernah lihat dia tinggalkan.

Alhamdulillah, hasil beberapa konsultasinya denganku selaku senior tingkatan lima ketika itu 'penyakit' mimpinya telah terubat. Dengan bantuan beberapa orang guru dan ustaz-ustaz di MMAS ketika itu, gangguan yang hampir mencabut aqidahnya itu, terselamat. 

Alhamdulillah.

Itulah aku. 

Memang aku tidak sebaik adik ini. 

Tahajjudku sahaja, selalu aku cutikan. 

Jangan sebut tahajjud yang mencabar itu, kadang-kadang Al-quran pun aku masih mujahadah mengkonsistenkan.

Tetapi aku bersyukur, Allah lorongkan kepadaku 'kes' adik yang hampir murtad hanya kerana mimpi ini untuk aku muhasabah.

Betapa, aqidah itu tonggak kepada ibadah.


Seorang lelaki yang teruji

"Akak sengaja ceritakan kisah ini pada Zahra",
kak Syida merenung tepat ke dalam anak mataku kemudian mata beningnya ditutup rapat. Sereantak, dia menggenggam tanganku seolah mencari kekuatan.

"Ceritalah akak..", 

Aku berkata sepatah mendorongnya dan menyalurkan sedikit kekuatan. Aku dapat rasakan, ceritanya berat untuk diluah sakit untuk ditelan.



"Abah akak..", kak Syida berhenti sebentar. Mencari kekuatan mungkin.


"Abah akak selalu mengubat orang kena rasuk. Entah macamana suatu hari, abah akak didatangi seoraang lelaki. Lelaki itu bawa sehelai daun pokok rambutan. Depan abah akak, dia baca mantera apa entah tiba-tiba daun tu berubah jadi duit!"

"Err.. biar betul akak. Macam drama Melayu saja.."


"Ya. Memang macam drama. Tetapi, kalau tongkat ahli siir nabi Musa boleh berubah menjadi ular kecil.. Apakah mustahil daun zaman moden berubah menjadi duit?", kak Syida menyoalku tanpa mengharapkan jawapan.

"Erm.. betul akak. Abi pernah cakap pada Zahra, Iblis zaman nabi Adam dahulu pun masih ada sampai sekarang. Kan mereka minta pada Allah agar tidak dimatikan sehingga tiba hari kiamat. Maksudnya, zampai sekarang Iblis zaman nabi Musa itu masih hidup..",  Aku menambah sambil mengiakan.


"Betul Zahra.. Sebenarnya, akak bukannya mahu fokuskan cerita abah tu. Tapi akak mahu katakan yang.. kita semua teruji.

Dan abah akak, dia adalah lelaki yang teruji. Macam Zahra tahu, akak anak sulung dengan 7 adik-beradik masih belajar. Akak tak ambil PTPTN sebab tidak mahu berhutang dan terkena tempias walaupun debu riba.

Abah akak sudah tidak bekerja tetap. Pendapatan abah cuma dari duit berubat itu. Sebulan paling banyak pun RM 3000. Itu pun, mungkin setahun sekali dengan pendapatan begitu.

Tiba-tiba, datang pula lelaki dengan karung daun berubah duit itu. Waktu abah cerita pada akak, abah ada sebut satu perkara: 

'Syida, kalau iman abah tak kuat.. abah pasti ambil wang itu. 
Syida pun tahu abah berubat orang, kadang-kadang mereka tak bayar. Abah pun tak minta.. sebab bagi abah, rezeki kita bukan dari orang yang berubat. Rezeki mitlak dari Allah. Ada masa syaitan ambil peluang untuk rosakkan aqidah kita'..", 



Kak Syida melepaskan tanganku. Dia menghelas nafas, panjang bersama helaan itu terdengar suara kecilnya beristighfar.

Lelaki, kalian mungkin lebih mengerti. Kerana kalian lelaki, pasti kalian menyedari bahawa lelaki bernama 'abah' ini adalah seorang lelaki yang benar-benar teruji..


Kisah ini untuk kita

Dua kisah ini, kisah benar. Kisah yang saya lalui dan dengar sendiri.

Ya, itu baru kisah yang saya tahu. Baru kisah yang kita tahu. Masih ada kisah-kisah ujian yang kita belum tahu.

Di dalam surah Al-kahfi, ada kisah anak-anak muda yang mempertahankan iman mereka demi sebuah 'TAUHID'.

Mereka diuji dengan pemimpin yang zalim.

Kita?

Ya, kita ini anak muda dan diuji dengan hati dan perasaan. Memang itu ujian untuk kita.  Dan masa muda, memang ini ujiannya.

Begitulah pesan ustazah saya ketika saya di tingkatan 6 dahulu.

Ujian hati dan perasaan, memang membuat manusia mendekat kepada Tuhan. Kerana Tuhan cintakan kita.

Dr Khalida Abu Syadi dalam buku beliau bertajuk 'Kerana itu aku mencintai Tuhanku' menukilkan:


"Tuhan mengujimu untuk mengangkat darjatmu di syurga, kerana Dia mencintaimu!

Ia mengujimu agar kau sedar dari gelumang dosa-dosamu lantas kau kembali bertaubat kepadaTuhanmu, kerana Dia mencintaimu!"

Benar kawan, ujian hati dan perasaan nyata membebankan jiwa. 

Terkadang kita menjerit tanpa ada yang mendengar kecuali Allah. Kadang kita meminta tanpa kita tahu di mana hujungnya, kecuali jika Allah menunjukkan hujung penantian kita dengan pemakbulan dari-Nya.

Ketahulilah, masa muda kita memang teruji. Segala yang mampu di'klik' semudah hujung jari memang menguji takut kita kepada Allah pada detik kita bersendiri.

Di hadapan manusia ramai, kita mampu berlagak 'baik'. Tetapi bagaimana kita di saat kelam malam menutupi siang? Bagaimana kita di saat tiada manusia memuji lagi? Bagaimana kita pada detik seluruh manusia mencemuh kita?

Masihkah kita kuat?

Kita memang diuji. Kerana Allah cintakan kita..

Kerana Allah cintakan kita..



~ Zaharoh Fajar Nina| 19/10/2013 | 9:20pm | API UMKL ~