27 September 2017

MENJADI SEORANG DAI'


بسم الله الرحمن الرحيم


Oleh: Ustazah Zaharoh Fajar Nina

Menjadi dai, adalah menjadi manusia yang selalu berusaha ke arah kebaikan.

Kita semua pasti mahu menjadi seorang yang paling baik. Paling baik di dunia, bahkan paling baik di akhirat. Ketika meneliti sepotong ayat ini kita akan tersentuh dengan benarnya firman Allah kepada kita manusia.

Saat Allah bertanya:

"Siapakah yang paling baik?"

Paling baik dalam apa?

"Paling baik perkataannya??"

Itulah dia, sorang pendakwah yang menjadikan perkataannya adalah perkataan untuk mengajak manusia kepada Allah. Bukan mengajak manusia menjadi baik kerana dirinya. Namun mengajak manusia menjadi baik, dan menjadi hebat kerana mereka mengenal Allah.

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلاً مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحاً وَقَالَ إِنَّنِي مِنْ الْمُسْلِمِينَ
Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?”” (QS. Fushilat: 33).
Sejenak kita bertafakur.

Sudahkah kita menjadi orang yang mengajak manusia kepada Allah?

Benarkah kita mengajak mereka kepada Allah?

Atau kita mengajak mereka untuk kita menjadi terkenal?

Atau kita mengajak mereka agar mereka hormat kepada kita?

Untuk menjadi pendakwah, memang besar cabarannya. Jika bukan cabaran luaran, jiwa dalaman kita selalu terselit riya dan sombong. Semoga Allah jauhi kita dari semua itu. Kerana itu juga Syeikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin menyatakan beberapa syarat dalam menjadi seroang dai' (Pendakwah) yang mengajak manusia kepada Allah.


PERTAMA:
Sebagai pendakwah, kita mestilah mencukupkan diri dengan ilmu agama yang benar.

Ilmu agama adalah ilmu yang terlalu besar nilainya. Oleh itu kita perlu berhati-hati dalam menyampaikan ilmu agama. Perlu memastikan dalil yang dirujuk itu sahih dari al-Quran, serta tafsiran yang benar dari ulama mu'tabar. Setelah itu, barulah kita sebarkannya kepada rakan dan masyarakat.


KEDUA:
Kita mesti memahami situasi orang yang ingin kita dakwahkan.

Manusia adalah makhluk sosial yang hidup di dunia dengan pelbagai latarbelakang. Ada manusia yang lahir dari keluarga kaya harta dan kaya kasing sayang. Ada pula yang kaya harta, tetapi mereka miskin kasih sayang. Sebahagian rakan kita yang lain, mereka dilahirkan dalam keadaan yang miskin harta dan miskin kasih sayang. Sebagai pendakwah, jiwa kita mesti besar. Kita perlu menyantuni mereka dengan Islam dan ajarannya dengan sebaiknya.

KETIGA:
Kita hendaklah bersikap hikmah dalam dakwah.

Hikmah itu ertinya, meletakkan sesuatu mengikut keadaan yang tepat. Hikmah bukan bererti terlalu tegas. Hikmah juga bukan bererti berlembut sentiasa. Hikmah adalah berlembut ketika perlu berlembut, dan bertegas ketika perlu bertegas. Sebagai contoh, dalam hal aqidah kita perlu bertegas agar sahabat kita tidak terjerumus ke lembah syirik yang menakutkan.

KEEMPAT:
Seorang dai' mesti memiliki akhlak yang baik dari segi perbuatan, percakapan dan penampilan.

Lihat bagaimana Rasulullah. Belum pun baginda dilantik menjadi nabi, masyarakat Quraisy telah mengenalinya dengan sebuah akhlak mulia, iaitu amanah. Lihat pula Abu Bakar, sebelum Islam disyariatkan melalui Muhammad SAW, Abu Bakar adalah insan yang tidak pernah menyembah berhala. Apatahlagi setelah memeluk Islam, Abu Bakar adalah seorang ayah yang penyayang kepada Aisyah R.anha, dan sahabat yang jujur juga setia kepada Muhammad.

Menjadi pendakwah adalah menjadi manusia yang terbaik kata-katanya juga terbaik keperibadiannya.
Semoga Allah sentiasa membantu kita menjadi manusia terbaik di dunia ini, agar akhirat kita juga adalah akhirat di sisi manusia terbaik pilihan Allah.

Amiin.


*Diterbitkan untuk anak-anak AMAN dan Majlis Tertinggi BADAR Kiblah.
http://badar-kiblah.blogspot.my/2017/09/menjadi-seroang-dai.html


No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)