27 August 2017

ADUHAI PENDIDIK, DIDIKLAH JIWAMU!

بسم الله الرحمن الرحيم

Hidup adalah sebuah perjuangan. Menjadi pendidik yang terbaik untuk ummah dan diri.

            Berita itu mengejutkan saya.
            Bagaimana seorang guru boleh membawa pelajarnya keluar merokok dan berpesta?
Kita tidak bercerita tentang agama. Kita bercerita tentang etika. Kalau melihat dari sudut agama pun, semua agama pasti menekankan etika bahkan itu adalah hal paling utama.
Berita sebegini membuat tekad saya semakin kuat untuk menjadi seorang guru yang mendidik. Semuanya disebabkan kisah ketika hari pertama bertugas sebagai guru.
            Kerana terlalu gemuruh memulakan hari pertama sebagai seorang guru sekolah menengah, saya segera mencari-cari pesan terbaik untuk dibuat sebagai bekalan. Tiba-tiba saya bertemu dengan sebuah pesan jujur dari Syeikh Bin Baz Rahimahullah yang menjadi pegangan saya semenjak hari pertama menjadi seorang guru:
لا ريب أن المعلم هو المربي الروحي للطالب،
فينبغي أن يكون ذو أخلاق فاضلة، وسمت حسن حتى يتلأسى به تلامذه،
كما ينبغي أن يكون محافظ على المأثورات الشرعية، بعيد عن المنهيات،
حافظ لوقته، قليل المزاح، واسع البال، طلق الوجه، حسن البشر، رحب الصدر، جميل المظهر..

Tidak syak lagi, seorang guru mestilah seorang yang mendidik jiwa pelajarnya.
Seorang guru mesti memiliki etika yang mulia, guru sepatutnya memiliki sikap yang baik sehingga pelajarnya boleh terpengaruh dengan sikap baik itu. Begitu juga, seorang guru hendaknya dia sentiasa menjaga sumber-sumber syariat serta jauh dari segala larangan agama. Keperibadian seorang guru adalah, menepati masa, kurang bergurau, luas pengetahuan, jernih wajahnya, manusia yang baik, lapang dadanya, kemas penampilannya.
            Demikian seorang guru.
            Guru itu besar peranannya.  Dia seolah seorang duta di mata pelajarnya. Salah sedikit, pasti pelajar akan melihatnya. Jika baik guru itu, baiklah pelajarnya. Guru adalah pengganti ibu dan ayah di sekolah. Tambahan pula jika sekolah berasrama bayangkan, berapa banyak masa yang pelajar punya untuk melihat guru di hadapan mereka.
            Lantaran itu, guru harus punya waktu mendidik jiwa mereka sendiri.
Rasulullah, baginda adalah teladan seorang guru yang hebat. Ketika baginda keletihan dan kelelahan, baginda diajar oleh Allah untuk bangun di tengah malam dan memohon kekuatan dari Allah. Guru juga manusia. Ada masa kita berbuat silap. Ada masa kita keletihan dan tersalah langkah. Kerana itulah kita amat memerlukan tempoh untuk mendidik diri sendiri.
Didik diri dengan bacaan motivasi guru yang baik.
Didik diri dengan jiwa pendakwah.
Didik diri dengan sebuah mimpi dan matlamat besar untuk umat.
Didik diri dengan kekuatan rohani dan mental yang tinggi.
Aduhai pendidik, didiklah jiwamu. Pasti nanti kau akan pergi dengan sebuah kehidupan yang kau tinggalkan di bumi dengan segala manfaat.


No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)