08 June 2017

Ini Ramadhan, masih sempat untuk lalai?

Lalai, sampai bila??

Agak kecewa malam itu, kerana tidak berkesempataan solat tarawih berjemaah di Masjid UKM. Namun, kerana target untuk istiqomah tarawih berjamaah, saya ajak adik Waridah untuk solat bersama di rumah. Besar harapan saya agar Allah tetap mengira usaha dan ibadah ini sebagai sebaik-baik ibadah.

Setiap kali Ramadhan tiba, saya akan selalu menyesali diri. 

Sesal kerana hafazan quran yang masih sedikit. Apatahlagi saat perlu menjadi imam, tidak banyak bacaan yang boleh dibaca, melainkan dengan bantuan mushaf. Malam itu, kerana tiada persediaan mengulang hafazan yang ada, saya sekadar menggunakan mushaf sahaja.

Beza.

Antara bacaan dan hafazan, pasti hafazan lebih memudahkan kita untuk mentadabbur ayat yang dibaca. Namun, hafazan sahaja belum cukup memastikan kefahaman dan penghayatan yang tepat dalam bacaan. Berbekalkan setitis ilmu Bahasa Arab yang saya ada, saya memulakan rakaat pertama solat Tarawih malam itu dengan mukasurat kedua terakhir surah Taaha.


Kisah Adam dan Iblis di penghujung surah Taaha

Ketika bibir melantunkan ayat ke 115, 
وَلَقَدْ عَهِدْنَا إِلَىٰ آدَمَ مِن قَبْلُ فَنَسِي...
Dan demi sesungguhnya, kami telah berpesan kepada Adam, tetapi dia lupa... (Tahaa: 115) 

Sebuah pesan yang dilupai dan ditinggalkan. Pesan dari Allah agar menjauhi pohon Khuldi di Syurga. Itulah permulaan kisah Adam alayhissalam. Allah beritahukan kisah kini dengan santun sekali. Allah mengkhabarkan kepada kita kisah Adam dengan pekataan "نسي". 

Mujahid, dan kebanyakan ahli tafsir menjelaskan maksud perkataan ini adalah 'meninggalkan perintah Allah akibat lupa'. 

Sebahagian ahli tafsir lain seperti Ibnu Abbas mengatakan, maksud perkataan  "نسي" adalah lalai dan terleka. Lihatlah bagaimana Allah begitu kasih kepada nabinya. 

Lihatlah, Allah tidak mengatakan Adam "أنكر" atau ingkar perintah. Namun Allah memberitahu bahawa Adam terlupa sahaja. Mengapa Allah menyebutkan sedemikian? Kerana Allah sedang memperkenalkan Adam sebagai manusia. Allah sedang memperkenalkan sifat kita manusia. Begitulah juga sifat kita yang sebenarnya. Lupa, lalai, dan sering leka.

Ayat setelah itu, Allah ceritakan lagi:

(115) وَلَمْ نَجِدْ لَهُ عَزْمًا......dan kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh. (Tahaa: 115) 

Pada ayat setelah ayat sebelumnya, Allah menjelaskan sebab mengapa Adam sampai boleh terlupa dan lalai. Untuk ayat ini, ulama berbeza pandangan dengan berbagai pandangan. Namun, secara ringkasnya ada sebuah sebab paling utama mengapa Adam A.S lalai dari perintah Allah, itulah kurangnya sabar dalam menetapkan keazaman.

Sekali lagi.
Allah menceritakan sifat manusia seorang nabi. 

Untuk kita sebagai manusia, kisah seperti ini adalah ladang muhasabah yang terlalu bermakna untuk kita hayati. Jika seorang nabi punya sifat manusiawi, sombongnya kita mengaku bebas dari segala lupa dan lalai. Kerana itulah juga Allah datangkan kisah Iblis setelah itu.


Kisah-kisah yang menyedarkan

Pada ayat ke 120, ada sebuah cerita yang menarik minat saya. Menarik untuk dijadikan benteng.

Iblis sebagai musuh utama, itu tidak dapat disangkal lagi. Selaku musuh utama, Iblis teramat arif dengan kelemahan kita. Sejak kemunculan nabi Adam lagi Iblis sudah mengetahuinya. Lalu Iblis segera merosakkan manusia dengan menghasut kita pada titik lemah itu. Demikian pelajaran yang dapat kita hayati dari kisah Adam dan Iblis.

Sehingga kini, kekal iblis sebagai musuh tradisi manusia. Akal yang Allah berikan dan pengajaran dari kisah Al-Quran ini, cukup untuk kita jadikan senjata dalam pertarungan kita menentang Iblis.

Pertarungan yang membuat kita  tidak sempat untuk lalai!

Selesai rakaat keempat tarawih malam itu, saya berhenti lama. 

Memikirkan kisah Adam Alayhissalam dan isteri baginda yang dihantar kebumi. 
Kisah Iblis yang ingkar ketika diarah untuk sujud kepada Adam. 
Kisah Adam alayhissalam ketika memakan buah dari pohon Khuldi. 
Kisah manusia Ingkar yang diberi kehidupan "ضنكا" yang sempit. 
Kisah manusia ingkar yang celik matanya di dunia, namun dibangkitkan buta matanya.
Kisah manusia yang meninggalkan al-Quran, lalu Allah meninggalkannya di akhirat.
Kisah kaum -kaum yang dibinasakan kerana sombong dan ingkar.

Akhir surah Taha ini dipenuhi kisah-kisah ini. Kisah-kisah sebagai pengajaran bagi akal yang berfikir. Lalu saya perhatikan bagaimana Allah membawakan kepada kita kisah tertentu sebagai amaran. Bukan hanya amaran, Allah berikan kita jalan keluar dari semua ancaman itu.


Tiga jalan keluar

Saya membuka al-Quran kembali . Menelusuri kisah-kisah itu dengan seksama sambil mencari solusi untuk kehidupan. Al-quran, sentiasa datang dengan peringatan dan penyelesaian. Agar kita tidak tergolong dalam golongan kisah menakutkan di atas, Allah ajarkan kepada kita 3 perkara:

1) Bersabar.. (Taha 3 : 130)
2) Dunia adalah ladang ujian. Akhirat tempat nikmat kekal. (Taha 30: 131)
3) Solat, dan tekun menunaikannya. (Taha 30:132)
Tiga jalan keluar yang sangat praktikal. Apa lagi alasan kita untuk lalai dan leka. Allah sudah berikan kita penyelesaian paling mudah untuk berhadapan dengan godaan Syaitan dan Iblis. Kita hanya perlu usahakan dan letakkan keazaman yang tinggi untuk berjuang menentang godaan itu. Lebih-lebih lagi Ramadhan ini. Jalan kebaikan telah Allah bentangkan. Hasutan Iblis dan Syaitan telah Allah sekatkan.

Selesai tadabbur, saya bingkas bangun. Menghabiskan empat rakaat lagi yang berbaki. Masih terlalu banyak ayat-ayat al-Quran yang perlu saya tadabbur. Baik bacaan di dalam solat mahupun bacaan murottal di luar solat.

Ramadhan bulan Al-Quran. Bulan kemuliaan. Bulan amalan digandakan. Bulan mendidik hati agar dekat dan akrab dengan al-Quran.

Tidak sempat lagi untuk kita bersenang-senang dengan lagu-lagu. Tidak sempat sebenarnya untuk kita memanjangkan masa bersiar-siar yang tidak perlu. Hanya 30 hari kesempatan yang kita ada untuk mengaut segala keuntungan yang Allah berikan. Alangkah ruginya andai kita masih sempat untuk lali.

Ramadhan, jadilah ia sebuah bulan kesibukan dengan amal soleh. Bulan yang tidak sempat untuk kita lalai dan leka, apatahlagi bosan. Selalu persoalkan kepada diri, 'Ini Ramadhan, aku masih sempat lelai??'

Ya Allah bantu kami!



Zaharoh Fajar Nina,
Bangi,
10 Ramadhan 1438H.
----------
Rujukan:

1) Tafsir Qurtubi Surah Taha.

No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)