02 June 2017

Guru yang menjadi hamba Tuhan


بسم الله الرحمن الرحيم


Oktober 2016. Itulah permulaan saya menjadi seorang guru di sebuah sekolah menengah. Tepatnya 7 Oktober 2016 iaitu tepat pada tarikh umur saya berubah menjadi 25 tahun. Ah, tarikh sebenarnya bukanlah apa-apa bagi kita. Ia cuma kiraan hari dan masa yang mengimbau kenangan sahaja.

Tujuh bulan sudah saya bersama anak-anak didik di sekolah menengah. Sejujurnya, ia bukan sesuatu yang mudah. Terlalu banyak onak duri yang harus ditempuh dan disesuaikan dengan kebiasaan diri. Tambahan pula anak-anak muda sekarang sudah berbeza dengan generasi kita dahulu. Walaupun perbezaan antara generasi saya dan mereka hanyalah berbeza satu generasi sahaja.

Tujuh bulan.
Terasa seolah tujuh tahun lamanya.

Lebih-lebih lagi saya hanyalah graduan Bahasa dan Sastera Arab di UIAM. Saya bukan graduan bidang pendidikan yang telah diperkenalkan dengan selok belok dunia pendidikan seawal tahun satu di universiti.

Bekalan pertama seorang guru

Sejak masuk ke sekolah menengah, saya memang bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik. Penuliskah ia, atau gurukah ia, atau pensyarahkah ia, saya suka bersama dan membentuk manusia. Secara formal, saya tidak punya apa-apa kelayakan untuk digelar pendidik. Hanya berbekalkan pengalaman, pemerhatian, pembacaan dan keyakinan, saya bergerak memasuki profesion perguruan.

Saya memilih sektor swasta untuk memulakan tugas hebat ini.

Saya masih ingat, bekalan pertama yang saya bimbit erat memasuki hari pertama di Sekolah Kiblah ialah sebuah nasihat. Pesan halus dan membangkitkan dari Syeikh Abdul Aziz bin Baz. Pesanan yang saya ditulis dalam Bahasa Arab ini saya ulang dan ulang beberapa kali. Saya keluarkan tugas-tugas utama seorang guru pendidik yang digariskan oleh Syeikh Bin Baz.

Kata Syeikh Bin Baz:

Tidak syak lagi. Sesungguhnya seorang guru itu adalah pendidik yang membentuk ruh anak didiknya. Disebabkan hal itu, hendaklah seorang guru memiliki teladan peribadi yang mulia, dan sifat yang baik sahaja agar pelajar boleh meneladani peribadinya. 
Demikianlah, guru mesti menjadi insan yang sentiasa memelihara ketulenan agama dan syariat. Harus juga senantiasa menjauhi maksiat dan dosa. MENGAMBIL BERAT TENTANG MASA. Kurang bergurau, dan bijaksana. Ceria wajahnya, baik percakapannya, lapang jiwanya, kemas pemakaiannya, dan berkemampuan mengajar dengan bagus.
Tidak hanya itu, seorang pendidik mesti luas pembacaan dan kajiannya. Pendidik mesti memiliki kemampuan berbahasa yang baik...



Memang, bukan mudah untuk menepati setiap ciri-ciri ini. Namun itulah mujahadah kita sebagai guru yang menjadi hamba Tuhan.

Mendidik adalah menyayangi. Namun saat mereka terpaksa pergi, kita relakan dengan tidak mengkasari jiwa mereka juga jiwa kita. Lepaskan mereka dengan kasih dan cinta juga. Ajarkan mereka bagaimana adabnya ketika harus berjalan jauh..
.
Kerana sebesar mana kasih kita, yang sudah saatnya pergi akan tetap pergi juga. Hanya saja kalau bekalnya baik dan banyak, santailah jalannya nanti.
.
Hidup tidak selamanya untuk berdiam di sebuah pelosok daerah sahaja. Kalaupun bukan mereka yang pergi, entah mungkin kita yang harus berundur diri. Kerana hidup memang bukan memasung kaki diam dan membeku. Hidup adalah untuk maju, sekalipun jalan yang ada cuma jalan dipenuhi duri.

Mendidik adalah membentuk jiwa mereka dan jiwa kita. Sebesar mana kasih, sebesar itulah doa yang kita persembahkan kepada Penentu Taqdir. Bekalkan mereka dengan besarnya doa kita sebagai pendidik, walau mereka mungkin tidak pernah tahu ada guru yang tulus mendoakan mereka.

Menjadi pendidik, adalah menjadi penerima murid silih berganti. Dalam datang yang satu kali kita ke dalam hidup mereka, biarlah ada jasa yang terpalit. Siapa sangka nasihat kecil kita boleh menjadi jariah yang besar saat mereka kehausan rindu kasih nasihat guru.

#anekdotlangit



No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)