07 December 2016

Bersabarlah wahai guru!


بسم الله الرحمن الرحيم

Anak-anak lelaki, didikan untuk mereka itu berbeza. Ibu ayah dan guru tidak wajar menyamakan antara dia dan kakaknya.

Kelas hari ini agak muram. Di pintu rumah, si ibu menyambut saya dengan wajah agak sugul. Keletihan bekerja barangkali. Saya maklum, tugas sebagai seorang eksekutif bank di ibu kota agak mencabar. Apatahlagi jika terpaksa meredah 'jem' jam 5 petang, dan mesti sampai di Bangi sebelum jam 8 malam.

2 orang anak kecil berlari-lari anak menerpa saya. Segera saya mempersilakan mereka duduk. Si kakak segera duduk bersila dan bersedia. Si adik yang berumur 4 tahun nampak masih belum siap.
Saya biarkan sahaja.
20 minit berlalu, si kakak keletihan.
" Susahlah ustazah!" Rungutnya.

Saya mengusap kepalanya.
"Kakak, nak pandai mengaji kan?"

Dia mengangguk perlahan.
" kalau nak pandai, kena baca betul-betul depan ustazah. Nanti kalau ustazah tiada, siapa nak dengar kakak baca?"

"Ok lah ustazah.", dia meneruskan bacaan huruf 'tsa' dan 'gho' yang agak sukar itu.

5 minit kemudian, saya membenarkannya berehat. Saya panggil si adik pula.
"Wah, hebatnya lukisan zakwan. Ustazah nak tengok."

Saya memulakan dengan menarik perhatiannya. Dia memberikan lukisan bersama crayon glitter kepada saya. Menggunakan kedua-dua alat lukisan itu, saya melukiskan huruf 'alif' 'ba' dan 'ta'.
Saya tunjuk pada huruf 'alif'.
"Adam, tengok ni ustazah lukis 'a' "

"Aaaaaaaaaa", adam mengikut.

"A pendek je adam"

"Aaaaaaaaaaaa", dia menyebut lagi.

" 'ba' ", saya ubah kepada huruf lain.

" Aaaa baaaaaaaaaaaaaa baaaaa baaaaaaaaa baaaaaaaa taaaaa taaaa taaaaa taaaaaa baaaa taaaaaaa", Zakwan menyebut ketiga-tiga huruf itu sekali gus tanpa mendengar ajaran saya.

"Adam kena baca pendek sahaja. Begini, 'ba'", telunjuk saya terletak pada huruf ba.

" 'baaaaaaaa baaaa baaaaa,", dia tidak mahu mendengar kata.

" Zakwan, anak soleh kan. Kena ikut ustazah baca. 'Ba' "

" Baaaaa baaaaa baaaaa taaaaa taaaa taaaaa aaaaaaa aaaa aaaaa aaaaaa" dia tetap berkeras. Tidak mahu mengikut ajaran saya.
Saya buntu.
Segera saya mengumpannya dengan permainan lego di dalam bilik.
"Adam nak main lego dengan ustazah?"

"Nak."
Segera dia menjawab.

"Kalau nak main lego, jom baca iqra dulu betul-betul macam ustazah ajar. boleh ya Zakwan..."

Dia tidak mengendahkan. Segera dituangnya lego tanpa menghiraukan saya. 15 minit telah berlalu. Saya serba salah. Tempoh 1 jam diperuntukkan untuk anak kecil 4 tahun itu belajar mengaji. Masa berlalu tanpa seminit pun dia mengaji.

Saya dilema. Antara membiarkan si adik bermain, dengan amanah saya untuk mengajar mereka.

"Tatak, tadi mustajah tak bagi adik main ledo," tiba-tiba si adik bangu merapati kakaknya. Dia mengadu dengan pelat yang pekat.

Saya terkejut. Saya langsung tidak menghalangnya bermain. Nampaknya dia sedang 'membenci' saya. Jika tidak mengenangkan umurnya yang baru 4 tahun, saya pasti hilang sabar. Akhirnya saya hanya mengajar si kakak. Saya tidak lagi mendesak si adik mengaji iqra.

Sambil bermonolog di dalam hati: "bersabarlah duhai guru...", saya memanggil Zakwan, lalu memeluknya erat. Sambil perlahan saya membacakan doa di ubun-ubun kepalanya..
Bersabarlah wahai guru!

1 comment:

  1. Lembaran tarbiyah dan dakwah disini tetap segar dari dulu hingga kini. Moga terus istiqamah , Az Zahra'. :)

    ReplyDelete

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)