22 August 2014

"Kerana aku pemuda akhirat.."



Pandang akhirat seorang pemuda, luar biasa!



Ukhrawi bukan hanya itu..

“Ah, kau hanya melihat akhirat. Kau gadis ukhrawi. Maaflah, kami ini duniawi”, begitu saban hari mereka bergurau denganku.

Aku cuma tersenyum getir mendengar kenyataan itu. Bukan terasa hati. Namun kerana kecewa dengan kecilnya pandangan anak muda generasi Y pada erti keduniaan. Aku kesal dengan salah erti tentang kedunian ini.

Mereka menganggap tudung labuh, membaca al-quran, pergi ke masjid, membaca dan menulis hal-hal agama itu ‘ukhrawi’. 

Mereka menganggap orang ukhrawi hanya tahu bercakap tentang ayat al-Quran dan tafsirnya. 

Mereka menganggap orang ukhrawi itu semata-mata puasa dan solat sahaja. Itu salahnya kita anak muda. Kita tidak mampu menjadi seperti anak muda di zaman Nabi kerana mentaliti dan persepsi satu sisi yang kita cermati.

Pada aku dan sepatutnya pada kita pemuda, keduniaan bukan pada banyaknya harta semata. Keduniaan bukan juga pada tingginya pangkat. Keduniaan sama sekali tidak diukur pada cantiknya paras rupa dan mewahnya rumah serta kereta. Hakikat keduniaan tatkala hati mulai melupakan akhirat. Keduniaan itu, ada pada hati kita wahai pemuda!

Kita kekok mentakrif dunia. Cuma itu.

Dahulu, aku juga seperti mereka yang mencemuhku. Namun setelah menelaah kata-kata pak HAMKA ini, sudut pandangku berubah.

Kata pak HAMKA: 

"Kepada orang tua saya ajarkan bahawa kita mesti mati. Tetapi pemuda berkata; Sebelum mati bukankah hidup? Mengapa kita perlu mengingati mati sahaja padahal kita yakin bahawa sekarang kita hidup? Bukankah sebelum melalui pintu mati, kita mesti menjalani hidup?".

Butir bicara pak HAMKA tentang membina kehidupan untuk kematian membuat aku sedar dunia adalah untuk akhirat. Tidak akan ada akhirat untuk orang yang tak terlahir di dunia. 

Cuma, pandangan dunia dari mata pemuda akhirat jauh berbeza dari pandangan pemuda biasa yang tidak pernah puas menikmati racun hedonisma yang kian berkarat.

Mereka bersungguh-sungguh untuk dunia, namun sentiasa meletakkan Allah dalam setiap usaha mereka. Mereka melihat dunia sebagai alat dan akhirat sebagi matlamat. Itulah pandangan seorang pemuda akhirat!

Aku tak berniat menetapkan kau pemuda akhirat atau bukan. 

Aku hanya mahu kau tahu bahawa gelar ‘pemuda’ yang kau sandang ini pasti akan pergi. Dengan berlalunya waktu dan detik, umurmu kian meningkat dan gelar ‘pemuda’ akan terlucut dengan sendiri dari bahumu. 

Namun, pemuda akhirat akan menjadi agen yang merubah pemuda lain saat gelar pemuda itu terlucut dari dirinya.


Pandang akhirat seorang pemuda

Pernah kau baca sebuah karya sastera moden bertajuk ‘Cakerawati Teluki’?

Mata seorang pemuda akhirat akan melekat pada sebuah coretan terindah tentang sekolah dari buku ini. Kata Tuah Saujana seorang anak muda sang penulis buku:
“Sekolah bukan sekadar tiang-tiang binaan berceracakan, tetapi roh insan yang menyatukan. Bukan sekadar guru-guru pintar yang mengajar tetapi acuan pengajaran dan iktibar. Bukan sekadar buku, tetapi jiwa dan kalbu.”

Demikian anak muda melihat sekolah sebagai sebuah tempat membentuk jiwa dan ideologi. 

Anak muda akhirat tidak melihat sekolah atau universiti sebagai tempat berfoya-foya mengahbiskan wang pinjaman. Mereka tidak rela wang masyarakat yang digunakan untuk menampung 80% wang pembelajaran mereka disia-sia. 

Mereka sedar, ada wang masyarakat yang digunakan untuk merubah masyarakat pula!

Pemuda akhirat, tiada sangsi lagi.

Hanya mereka ini yang mampu meneraju perubahan masyarakat. Kerana mereka mengerti berapa nilai masa bagi seorang pengembara dunia. Hanya sesaat bahkan lebih sebentar dari itu. 

Mereka meyakini sebuah janji tentang kampung yang kekal abadi dan mereka terus berlari mencapai makam tertingggi di kampung itu. 


Pemuda akhirat yang terasing

Kerana mereka juga meyakini, keterasingan dari hedonisma adalah kekuatan untuk merubah ummah.

Bukti, s
udah tertoreh jelas di hujung ukiran pena sejarah. 

Terasingnya ashabul kahfi dari rakyat kufur di bawah pemerintahan Dikyanus, menjadikan mereka sekumpulan pemuda dambaan tamadun zaman-berzaman. Mereka, telah mengubah persepsi masyarakat. Daripada sangkaan bahawa beriman ertinya terpinggir , kepada hakikat keimanan adalah membawa manusia kepada kemenangan.

Demikian pula kisah ashabul ukhdud. 

Watak anak muda yang mempertahankan aqidah, sehingga akhirnya dia membawa seluruh masyarakat lain kepada keimanan kepada pemilik bumi, bukan kepada sang pemilik kawah berapi.

Anak muda itu, mempunyai pandangan akhirat yang meliputi pandangan dunia. Kalau di zaman ini K-pop adalah hedonisma yang hebat, maka di zaman ashabul ukhdud, sihir adalah hedonisma yang merenggut keimanan.

Demikianlah seorang pemuda akhirat menyedari bahayanya hedonisma yang pernah dikecapnya dahulu. Lalu dia berkorban di dunia demi menyelamatkan akhiratnya.

Mus’ab bin Umayr, seorang anak muda kegilaan ramai wanita kerana wajahnya yang tampan. 

Dia bukan pemuda badwi yang sering berbaju koyak dan seluar murah. Mus’ab sebelum islamnya seorang yang kemas, bergaya dengan pakaian-pakaian mahal. Setelah memeluk islam dia masih seorang yang kemas dan berupa paras kacak. Dia adalah pemuda akhirat yang tidak meninggalkan hartanya dan kekacakannya, namun dia sentiasa mengingat akhirat.

Itulah Mus’ab, seorang pemuda akhirat yang ditangisi nabi kerana wafatnya dalam balutan kafan yang tidak mencukupi. Sehingga akhirnya jenazah Mus’ab hanya ditutupi dengan dedaunan kering. Namun, kemuliannya merubah masyarakat muslim zaman berzaman, kerana dia pemuda akhirat.

Perubahan masyarakat adalaha pada perubahan pemudanya.
Kau tahu itu, juga aku.
Berubahlah! 
Binalah diri!

Terbinanya perbadi, tanda rentak pembinaan masyarakat dalam pembikinan terancang. Aku, kau, kita sama-sama membina diri memiliki karakter pemuda akhirat. Bisikkan kepada diri, ‘Kerana aku pemuda akhirat, akulah perubah masyarakat!’.
“Yang utama dalam menegakkan ideologi bukanlah mesti bergelas alim, bukanlah ahli fiqh atau kesarjanaan melainkan karakter”
(HAMKA, Panji Masyarakat)




-----------------------------------------

Artikel ini telah memenangi tempat kedua untuk pertandingan penulisan karya inspirasi di bawah tema "Pemuda dan perubahan masyarakat".

Penulis telah mendapat kebenaran dari pihak Jejak Tarbiah untuk menyiarkan karya ini di laman peribadi penulis.

Semoga bermanfaat!


No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)