03 August 2014

Cinta tanpa jerat


بسم الله الرحمان الرحيم



Jerat cinta kampus

Bukan semua jerat membuat mangsa yang terperangkap itu sengsara. Bahkan ia sering manjadi mimpi indah di tepian pantai angan-angan. Bukan hanya itu, jerat cinta kampus mampu memberi sebuah suntikan semangat dan kekuatan luarbiasa.

Dari seorang pencundang, jerat ini mampu memberi segunung harapan untuk dia mengorak langkah menapak harapan demi harapan. Begitulah yang terjadi ketika kita terjerat dengan cinta kampus. Apa yang pasti, jerat ini lebih bahaya dari jerat dan perangkap samar di hutan manapun.

Mengapa?

Kerana jerat ini bukan hanya merosakkan manusia yang terjerat sahaja, tetapi ia mengakibatkan kekotoran demi kekotoran bertambah di atas muka bumi. Jerat ini telah merosak sejumlah besar populasi manusia di samping menyumbang kepada keruntuhan manusiaa lain. Ia membuat manusia yang pada awalnya layak menjadi lebih mulia dari malaikat, menjadi hamba paling hina bahkan lebih hina daripada binatang!

Saya tidak bercakap tentang jerat cinta kampus di negara barat. Ianya di Malaysia, sebuah negara yang dipenuhi dengan universiti dan generasi berpendidikan secara umum. Namun, kita dengan terpaksa merelakan sebuah fakta.

Setiap 17 minit 17 saat, telah berlaku satu kes pendaftaran anak luar nikah!. Benar, itu baru kes yang berdaftar tanpa mengira kes-kes dalaman yang tidak berdaftar termasuklah kes pengguguran.

Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008.

Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang ISLAM. Ini adalah fakta sehingga tahun 2003 seterusnya untuk tahun 2014 bagaimana?

Kita tidak akan mampu mengungkapkan hasil kajian. Namun, kita mampi mengugkap sebuah fakta dari pengalaman. Fakta 2014 bergantung kepada sejauh mana anak muda kita terjerat dalam sangkar hasil jerat cinta.


Tanpa sedar kita terjebak

Hati diruntun sayu saat terhidang fakta begini menimpa masyarakat. Suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan, ia berpunca daripada pergaulan bebas yang kian berleluasa. Apabila pergaulan sesama lain jantina seolah sudah tiada batasnya, jerat pandangan mata mulai menurun ke hati.

Saat hati sudah berpaut, makan mulai tidak kenyang, dosa mulai membuat hati tidak bersalah. Tanpa sedar, jerat cinta berbahaya mulai menjalar.

Hal ini bukan sahaja berlaku kepada remaja berpeleseran, bahkan ia turut menular kepada generasi kampus. Sesekali saya cuba bertanya kepada kawan-kawan yang pernah terkena jerat cinta kampus ini. Antara jawapan biasa yang mereka berikan ialah :

“Ah.. kawan-kwan aku semua ada ‘couple’ masing-masing, aku pun nak juga. Bila mereka keluar dengan couple, aku sorang-sorang saja di bilik... Sebab itulah aku mula cari dan dia sudi jadi couple aku.”

Ada juga yang terjerat akibat tatapan pandangan pertama:

“Entah kenapa, setiap kali kami berpandangan rasa lain macam. Sampai satu hari dia ajak nak berkawan secara serius. Lagipun, apa salahnya, dia ada ciri-ciri lelaki yang baik..”

Saya hanya tersenyum mendengar cerita-cerita mereka yang sedang terjerat. Kadangkala, kita tidak tahu yang mana satu sangkar penjerat akibat kenaifan diri sendiri. Kalau boleh saya simpulkan, antara serangkap samar jerat cinta kampus ini:

1.       Tidak menjaga pandangan mata dalam urusan persatuan dan perbincangan.2.       Tiada fokus yang kukuh dalam kehidupan serta masih mahu berseronok.3.       Berkawan dengan kawan-kawan yang tidak baik.4.       Tiada rasa malu serta meremehkan sunnah akhlak.

Apa sebenarnya cinta?

                Di saat jerat cinta ini kian berleluasa, kita makin keliru tentang cinta. Kalau semua cinta disertai denga  jeratnya, lantas bagaimana mengetahui cinta yang benar? Apakah sebenarnya cinta?

Petikan sebuah puisi bertajuk ‘Hidup berdiri atas cinta’ karya Dr Mohd Asri (Dr MAZA) barangkali mampu menjawab persoalan kita;

Jika diukir dengan segala bahasa,
cinta itu masih tiada sastera buatnya..
Jika dilukis dengan segala warna,
cinta itu masih tiada citra baginya...

Berulangkali menatap bait ini dengan hati, ada sesuatu terpancar. Ia punya bahasa yang mendalam dan menggetarkan jiwa. Tambahan pula, untuk kita yang pernah merasa apa yang dikatakan ‘cinta’.

Benar, kerana cinta adalah bahasa hati, ia benar-benar memerlukan kemurnian hati untuk mengungkapnya. Cinta yang benar, tidak punyai definisi kaku untuk ditelan bulat-bulat.  Maha suci Allah yang menciptakan cinta yang tak berdefinisi.

Cuma, ia ada syarat dan parameter tersendiri.
Pada cinta ada IKHLAS.
Pada cinta ada TAQWA.
Pada cinta ada IMAN.

Inilah cinta yang benar walau apapun definisinya dengan segenap kata dan aksara yang cuba manusia simpulkan. Cinta tanpa jerat adalah cinta yang dimurnikan dengan tiga perkara ini. Ikhlas, Taqwa dan Iman. Bertepatan dengan pesanan cinta dari Muhammad shallallahu alaihi wasallam kepada kita :
“Daripada Anas bin Malik, Ada tiga hal jika tiga hal itu ada pada seseorang, maka dia akan berasakan manisnya iman. (Iaitu) Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain keduanya; mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah; benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkan darinya, seperti bencinya jika dicampakkan ke dalam api.” (Disepakati soheh oleh Bukhari dan Muslim)

Sekali lagi, inilah sebenar-benar cinta selamat tanpa jerat.

Pertama, meletakkan Allah dan rasulullah SAW sebagai cinta paling tinggi. Kedua, mencintai manusia kerana ketaatannya kepada Allah dan membawa kita untuk turut taat kepada Allah. Ketiga, membenci segala kemungkaran termasuk couple sama seperti kita benci dilontar ke dalam neraka. Tiga perkara ini, bukti kita mengenal cinta dan menghargai cinta manusia kerana CINTA Allah.


Bercinta kerana Allah, sangat mudah

Bercinta kerana Allah adalah model cinta sejati.

Seorang peneliti dari Researchers at National Autonomous University of  Mexico menemukan sebuah hasil kajian yang mengejutkan. Menurutnya, sebuah hubungan cinta pasti akan menemui titik bosan karena kandungan zat kimia pada otak yang mengaktifkan rasa cinta itu telah habis. Rasa tergila-gila dan cinta pada seseorang tidak akan bertahan lebih dari 4 tahun. Jika telah berumur 4 tahun, cinta sirna, dan yang tersisa hanya dorongan seks, bukan cinta yang murni lagi.

Menurutnya lagi, rasa tergila-gila muncul pada awal jatuh cinta disebabkan oleh pengeluaran komponen kimia tertentu dari otak iaitu hormon dopamin, endorfin, feromon, oxytocin dan neuropinephrine yang membuat seseorang merasa bahagia dan naik seri. Akan tetapi, seiring berjalannya masa dan timbunan segunung tanggung jawab kehidupan akan mengurangkan hormon-hormon itu sehingga akhirnya cinta menghilang.

                Ngeri rasanya bila cinta murni tak mampu dikongsi bersama. Alangkah indahnya islam apbila kita diajar untuk menjaga batas pergaulan seterusnya mengeksklusifkan cinta yang sedia tertanam dalam diri. Mahukah kita bercinta semata-mata kerana jerat cinta kampus? Tidakkah kita mahu cinta kita dihargai dengan sebenar-benar penghargaan?

Sebab itu, cinta kerana Allah adalah penghargaan yang besar kepada sebuah cinta. Kerana, Allah adalah tuhan yang tidak pernah berkurang rasa perlu hamba kepada-Nya. Seburuk-buruk kesombongan iblis, dia tidak lagi mampu mempertahankan keangkuhannya tatkala hari akhirat menjengah.

Apatahlagi kita manusia yang penuh rasa kehambaan kepada Allah. Lantas, apakah ada cinta yang lebih besar dari CINTA kerana Allah?  

Bercinta kerana Allah sebenarnya sangat mudah. Bahkan lebih mudah daripada bercinta kerana manusia. Hanya sahaja kita tidak mahu menghargai CINTA kerana Allah dan terjerat dengan cinta kerana manusia.

Menghargai cinta, demi CINTA. Itulah cinta tanpa jerat.


* Artikel ini pernah diterbitkan 
untuk kolum 'Generasi Kampus', majalah Usrati terbita Ar Raudah Global Resources.

No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)