06 February 2014

Pelajaran pertama di tahun tiga..

بسم الله الرحمان الرحيم

Jauh perjalanan untuk ditempuh. Bukan untuk ditenung kosong...


Musafirku bermula

Hati belum bersedia. Namun hakikat sudah di hadapan mata.



Terasa cepat benar masa berlalu. Cuti tiga minggu pertengahan semester membawa saya menuju semester baru dengan lambakan amanah terpikul di bahu.


Kereta api yang dinaiki sudah meluncur laju meninggalkan stesen Kereta api Tanah Melayu(KTM) Bukit Mertajam. Perjalanan tujuh jam yang bakal ditempuhi dimulakan dengan bismillah. Ya, hanya bismillah. Namun ia membawa ganjaran besar bagi mereka yang menghidupkan, sebuah sunnah yang kian dilupai.


Berbekal hafalan beberapa doa musafir, saya terus mencari tempat duduk bernombor 7A di sekitar gerabak L4. Semua tempat hampir penuh dengan penumpang. Wajah-wajah letih dang mengantuk terpampamg jelas. Maklumlah, jam sudah menunjukkan 11.35malam.

Saya masih bergerak mencari.. 5A..6A.. Aha, di sini 7A.


Tetapi.. 

Saya lihat ada seorang wanita berbangsa cina sedang duduk di kerusi 7A itu. Berulang kali saya melihat tiket di tangan. Takut-takut saya yang tersalah. Rupanya tidak. Memang betul itu kerusi itu bernombor 7A. Ini tempat saya.

Hampir sahaja saya membuka mulut memberitahu beliau, saya baru tersedar rupanya beliau sedang tidur. Pulas. Tidak sampai hati rasanya mahu mengejutkannya. Saya biarkan sahaja. Melihat kerusi di sebelahnya kosong, saya segera duduk di sebelahnya, 7B.


Perjalanan ILMU


Saya memperbetul kedudukan.

Selendang hijau tanpa corak di bahu, saya panjangkan ke pergelangan tangan. Menghangatkan rasa sejuk yang menyengat jemari. Sesekali saya membuang pandangan ke luar gerabak. Seiringan, saya memandang wajah wanita cina di sebelah saya. 


Entah mengapa tiba-tiba hati terdetik :


"Esok, aku sudah masuk tahun ketiga pembelajaran. Namun, sejauh mana Ilmuku menjadikan diri ini rahmat seluruh alam?,"
Terasa kerdilnya diri dengan secupak ilmu. Sudahlah baru secupak, berapa sangatlah yang sudah bermanfaat untuk diri dan ummah?

Sambil menyandar ke kerusi, saya mengalih pandangan ke atap gerabak.
Merenung perjalanan Ilmu yang seolah baru semalam dimulai. 

Benarlah, menjadi mahasiswa ijazah sarjana muda sangat indah. Nikmat ilmu yang mencurah-curah seolah siraman air dingin menyegarkan kehidupan. Sehingga masa bergulir tidak disedari lariannya melaju.

Memasuki tahun tiga, membuat saya sedar diri. 

Terlalu pantas kaki ini berlari, sehingga terlupa untuk 'berehat' dalam kerehatan yang menyegar naluri. Apakah diri sudah bergerak dengan larian berkualiti, atau sekadar memenuhi   Akhirnya, mata terlelap ditemani persoalan dan muhasabah. Walau hati belum bersedia, perjalanan ilmu ini  sudah jauh rupanya...


Pelajaran pertama


Kelas pertama.
'Introduction to applied linguistic'.
 
Saya bergegas menuju ke kelas. Masih ada 3 minit sebelum kelas bermula jam 8.30pagi.



Letih menempuh tujuh jam perjalanan semalam masih terasa. Namun, saya gagahkan diri ketika melihat Huda bersemangat menuju ke kelas. 


Patutlah rasulullah SAW sangat menitikberatkan hal memilih sahabat yang baik. Begitu juga ketika sekeliling kita kurang baik, kitalah yang harus menjadi sahabat berperibadi mulia. Kerana, tabiat itu dicuri.

Tiba di kelas.

Kerusi hadapan masih kosong. Cuma ada Rizky seorang mengisi kekosongan barisan hadapan. Saya dan Huda segera duduk di sebelah yang kosong.

Saya terfikir. 

Memang, saya bukanlah pemegang anugerah dekan seperti mereka yang mengisi tempat duduk belakang. Tetapi, saya selalu percaya barokah dalam menuntut ilmu adalah item terpenting berbanding markah yang tinggi. 

Ia bukan soal siapa bijak atau kurang, Ia soal ADAB. Adab, hasil daripada didikan peribadi diri. Soal percaya, aqidah. Mungkin ia terlihat semacam saya terlalu membesarkan. Namun, itulah hakikatnya. Syeikh Abdul Karim Zaidan Rahimahullah pernah menulis dalam bukunya:
"الأخلاق الفاضلة من لوازم العقيدة"
Peribadi mulia itu, adalah buah dari kebiasaan aqidah yang benar.

Petikan kitab 'المدخل إلى الشريعة الإسلامية'
Ustazah masuk. Sesi taaruf bermula. Sebuah soalan dari bibir ustazah menjentik sedar saya :

"ما خطر في بالكم عن هذه المادة علم اللغة التطبيقي"
Apa yang terlintas dalam fikiran kamu mengenai subjek ini?
Ah, ada satu hal sya terlupa. Bersedia dengan pengetahuan umum berkenaan sesuatu subjek. Satu hal yang sangat penting, tetapi sering dilupakan oleh kebanyakan mahasiswa. Untuk hari ini, saya juga terlupa.

Untuk kita yang terbiasa masuk kelas dengan 'tangan kosong', memang ia agak payah. Mengubah sesuatu yang telah mendarah daging, perlukan kesungguhan. Begitulah sewajarnya sikap seorang penuntut ilmu sejati. Ada rasa mahu berubah.

Fitrah, Hati manusia, sifatnya berbolak-balik. Selangkah kita menapak, teruskan. Langkahan itu, akan menguatkan hati yang hampir berbalik. Bismillah, dan teruskan. Allah sentiasa menilai kesungguhan kita. Tidak pernah ada istilah 'tersalah langkah', yang ada cuma 'bukan langkahan biasa'.

Benar, kadang-kadang kita merasa aneh dengan sesuatu hal yang tak terbiasa kita lakukan. Lantas kita katakan, 'aku sudah tersalah langkah'. Sebenarnya tidak. Hakikat 'salah' itu, kerana tidak terbiasa. Harusnya, sentiasa optimis bahawa kita sebenarnya sedang mengajar diri untuk terbiasa.

Baik, untuk kelas pertama hari ini saya menyimpulkan pelajaran pertama di tahun tiga.

1) Kekal dan sabar bersama sahabat yang baik.
2) Memelihara adab di hadapan atau di belakang guru.
3) Bersedia dengan hati yang mahu berubah. Lebih baik.

Akhir kata, saya sentiasa manusia yang punya hati dan fitrah. Sebuah tulisan, kadang ada kebenaran  tidak kurang juga kesalahan. 

Dengan rendah hati, saya menyusun kata untuk sebuah pelajaran di tahun tiga. Bukan untuk ditatap kosong, tetapi untuk dirasa. Biar ia melekat lama. Ambil yang jernih, manfaatkan yang keruh...



Zaharoh Fajar Nina
Tahun 3, Bahasa Arab UIAM,
Febuari 2014

2 comments:

  1. rindu kt zahra..smg terus sukses..insyaAllah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Rindu Farhanah juga :-)

      InsyaAllah.. sama-sama buat yang terbaik. Moga Allah bantu :D

      Delete

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)