09 October 2013

Untukmu yang 'ingin kembali'...

بسم الله الرحمان الرحيم


Debu dunia dan daki-daki dosa

Benar, hari-hari kita penuh dengan daki-daki dosa.

Selangkah kita bergerak, sebuah pandangan kita lemparkan kepada bukan mahram. Senafas kita hirup, terlupa pula memuji Tuhan. Semerbak haruman indah di benak, kita terkhayalkan nikmat dunia. 

Secubit garam memasinkan lidah, kita hanya tahu mengutuk dan mencela. Terlupa bahawa nikmat masin itu tercabut dari diri orang lumpuh lidah. Sepatah kata mengalir dari bibir, jarang kita fikirkan apakah ia perlu untuk penanda baiknya iman kita.

Bahkan sering, ada manusia memuji geraak kerja kita. Ada manusia mengagumi keindahan paras wajah kita. Ada manusia teruja dengan kebijaksanaan kita.. Apakah mengalir sepatah kata "SUBHANALLAH", pensucian kepad Allah yang memiliki segala isi dunia termasuk diri kita?

Aduh, kita ini benar-benar lupa diri!

Umpama seseorang yang tidak mandi seharian. Sedangkan dia meredah denai dan menempuh debu kota. Pasti ada daki-daki yang terpalit pada diri dan pakaiannya. Semakin lama tubuhnya tidak dialirkan air dan dibersihkan dengan sabun wangi, semakin pula tubuhnya melekit dek daki-daki yang kian menebal.

Begitulah hati kita yang sentiasa diselubungi debu dan asap dunia. Andai tidak diendahkan, daki-daki yang melekat akan kian tebal dan membawa penyakit. Jangan sampai sakit itu tidak layak diubat. Cepat, carilah penawarnya!


Merasa baik , tandanya kau tidak baik!

Kata-kata ini, membuat saya kembali mencari entri tertangguh ini.

Sebuah entri bertajuk "Untukmu yang ingin kembali", saya buka. Cuma ada tajuk, sedangkan ruangan isi masih putih bersih, kosong.

Beberapa waktu yang agak lama saya tinggalkan entri ini kerana merasa tidak ada keperluan dengannya. Saya merasa, hal dakwah lebih utama dan mungkin saya sudah cukup baik untuk memohon ampun dengan sekadar istighfar.

Saya silap besar.

Penulisan Ust Pahrol Juoi di dindingg facebook menyentap jiwa saya:

"Sebaik sahaja merasa kita baik... kita belum baik!"
Benar, saya telah berdosa kerana merasa tidak berdosa.

Penulisan, adalah sebahagian kehidupan saya. Sebahagian diri saya.  Kalau baik penulisan saya, bukan kerana saya mahu menyampaikan dan menasihati orang lain semata-mata. Sebenarnya itulah harapan saya, itulah impian saya. 

Cuma, kerana saya tidak mampu merealisasikannya lagi. Maka, saya tuliskannya.. Kerana, cuma dengan susunan aksaralah saya mampu menjadkannya nyata.

Penulisan dan persoalan. 

Dua hal yang penyumbang rasa berdosa dalam diri saya.

Iyalah, sebanyak-banyak saya menulis mana tahu ada yang tersinggung dan ada pula yang tidak saya amalkan. Betapa aibnya diri kita jika berterusan begitu.

Ini hal saya. Bukan kerana mahu menjaja satu dunia soal diri, tetapi kerana itulah yag terdekat untuk saya rungkaikan.

Siapapun kita, pasti ada sebab-sebab yang membuat kita merasa berdosa. Saya juga, bukan hanya hal ini yang membuat saya berdosa. Pastilah banyak dosa lain yang turut patut saya kesalkan.

Sudahlah, usah ceritakan dosa kita kepada manusia. Fokus kita kini, kembali menuju Ilahi.

kau renung alam yang terbentang, gema panggilan Tuhan tak pernah jemu memanggilmu.. Kembalilah!


Dua bulan saya kuburkan persoalan itu

" Kak zahra, saya ada satu permintaan. Boleh tak akak buat satu entri tentang taubat dan kembali kepada fitrah seseorang?"

Ya Allah, berdosanya saya yang telah mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim dalam memberi nasihat kepada muslim lain ketika dipinta!

Dua bulan saya berdosa kerana mengabaikan soalan darinya.

Saya teringatkan sebab diturunkan surah Abasa. Abdullah Bin Ummi Maktum, seorang sahabat yang buta datang kepada rasulullah dan meminta:
" يَا رَسُوْلَ الله، عَلِّمْنِي مِمَّا عَلَّمَكَ اللَّهُ"

“Wahai Rasulullah, ajarkan kepadaku apa yang telah Allah ajarkan kepadamu.”

Mendengar teriakan beliau, baginda SAW berasa terganggu lalu bermasam muka dan berpaling kerana baginda ketika itu sedang bersemuka dengan pembesar-pembesar qurraisy.

Kemudian, Allah menegur Rasulullah kerana perbuatan baginda. Rasulullah ma'shum, maka teguran Allah bukanlah untuk kesalahan baginda bahkan peringatan untuk kita.

Saya terasa.

Dua bulan soalan ini terkubur, saya mahu menebusnya dengan penulisan ini. Semoga kebaaikan ini menghapus kesalahan saya yang lalu.


Untukmu yang ingin kembali

Begitulah kita, mana mugkin kita mampu kembali menuju Allah tanpa panduan Al-quran?

Nah, di sinilah kuncinya.

Pertama, Kalau kita benar-benar mahu KEMBALI (bertaubat), dari dosa-dosa kita samaada kecil atau besar.. tataplah Al-quran, fahami maksudnya, amalkan apa yang tertulis di dalam Al-quran seluruhnya.

Bagaimana mahu membuka hati yang terkunci andai kuncinya yang karat kita tidak bersihkan dahulu?

Atau, kalau perlu buatlah kunci baru yang berkilat dengan sinaran iman agar mudah hati itu terbuka.

Lihat, betapa Allah tahu betapa hamba-Nya memerlukan taubat dalam hidup kita ketika Allah mengulang-ulang firman-Nya dalam ayat yang berbeza:


~ KITA AKAN MENANG!
“Dan bertaubatlah kamu sekalian wahai kaum mukminin! Semoga kamu mendapat kemenangan”. (an-Nuur: 31)

~ BERSEGERALAH!
“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa”. (Ali-Imran, 133)

~ MENGAPA MASIH TIDAK MAHU BERTAUBAT?
“Maka mengapa mereka tidak mahu bertaubat kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Al-Maidah, 74)

~ NEVER GIVE-UP Dear..
“Katakanlah! Wahai hamba-hamba Ku yang melampaui batas terhadap dirinya sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnyanya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan Kembalilah kamu kepada Tuhanmu dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi)”. (az-Zumar: 53-54)

Kedua, taubat itu perlukan kesungguhan.

Ketika kita mahu bergerak menuju taubat, kadang-kadang kita kalah dengan nafsu. Ya, memang begitu sifat nafsu. Dia akan menguasai kita dan 'memijak akal' kita apabila kita mula tunduk kepadanya.

Cuma satu hal. 

Kita harus sedar akan kelemahan nafsu. Ia tidak mampu menguasai tuannya yang bermujahadah. Lebih kuat kita bermujahadah, lebih lemah nafsu dan akhirnya ia akan mula berubah menjadi seperti lembu dicucuk hidung. 

Ketika itu, kitalah manusia paling hebat kerana mampu menjinakkan nafsu. Berpuasa, itu antara mujahadah paling berkesan dan ampuh untuk menjinakkan nafsu. Dengan puasa yang mengharap redha Allah, hati mulai terdidik dan taqwa kian terbentuk.

Di saat itu, keinginan terhadap dosa mulai kendur dan syarat kedua taubat sdahpun terpatri.
 
Ketiga, Jangan pernah diulang lagi dosa itu.

Ibnul Qayyim rahimahullah pernah menyebutkan bahawa tanda-tanda diterimanya taubat seseorang dari dosa:
" Setelah bertaubat, seseorang hamba itu lebih baik dari sebelumnya.

Terus diselubungi rasa takwa dan takut terhadap dosanya dan tidak pernah merasa aman dari siksa Allah walau sekelip mata.

Terlepas dari cengkaman dosa yang dilakukan kerana penyesalan dan rasa takutkan dosa.

Lembut hatinya setelah bertaubat dengan kelembutan yang sempurna, sehingga tunduk kepada Allah walau dalam keadaan marah dan sentiasa dalam kekhusyukan." (Lihat: Madarajus Salikin. Jld. 1) 

Memanglah, Allah tetap akan menerima taubat sebayak manapun dosa yang pernah kita buat dan ulang. Tetapi, tenangkah kita bila sering memungkiri janji taubat kepada Allah?!

Apakah kita merasa taubat diterima sedangkan kita masih mengulang dosa yang sama?!

Sudah cukup rasanya soalan dan kenyataan ini untuk kita yang ingin kembali. Ketahuilah, Syurga Allah it penuh dengan nikmat yang tak pernah dilihat mata, tak pernah didengar telinga.

Untukmu yang ingin kembali, dan benar-benar mahu kembali mengecap fitrah tanpa dosa. Ulang-ulangilah membaca entri ini. Sampai isinya menyerap dan mengalir bersama aliran darah merahmu, menyentap dan merobek rasa damaimu pada daerah dosa, menarik dan menolakmu kepada amalan berpahala.

Ketahuilah, ketika kau selangkah ingin kembali... sebenarnya Allah  sudah di sisimu menanti!

Selamat kembali.

~Zaharoh Fajar Nina| 9 okt 2013 | 04:23 ~

4 comments:

  1. Dunia Ini Jambatan Ke Akhirat
    Semoga Baki Usia Penuh Berkat.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Benar tuan.. Jazakallah kahir atas peringatan yang ringkas tetapi jelas.

      Jazakallah khair atas doanya :-)

      Delete
  2. Ingin KembaliOctober 10, 2013

    Salam.. pertamanya,terima kasih buat Kak Zahra :)
    sungguh,sangat terharu dengan maklum balas kak zahra ..
    Moga saya mampu untuk berubah ..
    Doakan saya agar istiqamah .
    InsyaAllah , saya akan cuba mempraktikkan apa yang telah disampaikan oleh kak Zahra ..
    Akan saya simpan dan semat entry ini sebaik yang mungkin sebagai salah satu peniup semangat untuk bermujahadah . insyaAllah .

    Terima kasih .moga Allah membalas jasamu .. insyaALLAH .

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam dik..

      semoga Allah mempertemukan kita di alam nyata :-)
      Sungguh, kak Zahra pun terharu ada yang sanggup menerima nasihat dari akak yang penuh kekurangan ini..

      InsyaAllah, dengan bantuan Allah kita akan terus istiqamah.

      Simpanlah, entry ini. dan, ingatkan kak Zahra semula andai kak Zahra tersilap langkah..

      Waiyyaki jazakillah khair :-)

      Delete

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)