13 July 2013

Contengan Ramadhan: "Nafas baru.."

بسم الله الرحمان الرحيم


Beruntungnya mensyukuri Ramadhan


"Enam juta penduduk dunia yang mati setiap tahun adalah kesan dari merokok!"

Saya terkesima mendengar fakta yang dikeluarkan oleh World Health Organization (WHO) itu.

Ya Allah, betapa sia-sianya hidup seorang manusia bila dia hidup hanya untuk mati yang tiada makna. Tambahan pula kalau dia itu seorang muslim, betapa dia benar-benar seperti buih. Terlihat ada, tetapi tidak membawa apa-apa kebaikan untuk dirinya apatahlagi ummah.

Tetapi, rupanya muslim lebih beruntung. Satu lagi fakta yang pasti membuat kita bangga menjadi muslim. 

" 95% perokok muslim mudah berhenti merokok pada bulan Ramadhan!",

Subhanallah, Allah benar-benar kasihkan kita. Diberi-Nya Ramadhan demi Ramadhan sebagai peluang dan ruang untuk kita. Peluang berhenti merokok, itu suatu yang amat berharga untuk hamba yang sentiasa bersyukur .

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah melangkahkan saya ke seminar "Nafas baru bermula Ramadhan" ini. Ditemani Hafizah, saya bertambah semangat menjadi minoriti siswi dalam lambakan staf dan penjawat awam. Kehadiran dalam dewan experimental UIAM ini, memang tidak terlalu ramai, tetapi seminar tetap diteruskan. 

Bertambah rasa beruntung bila Dr Ishak, selaku salah seorang penganjur berucap: "Kita datang hari ini, untuk kempen supaya orang berhenti merokok. Sekurang-kurangnya di hadapan Allah nanti kita boleh katakan, aku sudah buat sesuatu untuk ummah."

Ya, saya setuju, ini masalah ummah. Mendidik mereka dan katakan,"beruntungnya mensyukuri ramadhan.." 

Pengalaman di Indonesia

Tiba-tiba saya teringatkan pengalaman selama 18 hari saya di Jakarta, Indonesia. Di mana-mana pasti ada orang merokok. Dalam angkot, di stesen bas, dalam bas, dalam pasaraya, di luar dan dalam tandas, di lorong-lorong sepanjang jalan menuju rumah aki(panggilan untuk tokwan saya). 

Untuk sisi baik, saya kagum melihat 'kehidupan' di Kota Jakarta. Tetapi, rasa kagum saya berubah menjadi resah-gelisah bila melihat parahnya budaya merokok di sana. Terasa seolah kehidupan sudah tiada nikmatnya. Hati ini meruntun sedih, terkilan.

Lebih menyedihkan bila ada empat kali iklan rokok untuk satu tempoh iklan ketika waktu perdana! Bayangkan, empat iklan rokok bermakna 70% waktu iklan dikhaskan hanya untuk rokok.

 "Ummahku, apa sudah jadi? Apa yang aku boleh lakukan untuk kalian berhenti menghisap puntung pembunuh itu?", monolog yang bermain-main di minda seolah terjawab hari ini. 

Menuliskan sebuah peringatan, inilah yang saya akan bawa menuju Allah sebagai bukti sebuah usaha. Semoga Allah terima.


"Cuba fahami kami.."

Semua orang pasti merasa dihaargai bila orang lain cuba memahami dirinya. Memandangkan ahli keluarga saya tiada yang merokok, saya tetap cuba untuk memahami mengapa secara umumnya orang merokok?

Dalam slot pertama seminar ini, Dr Zulkifli Mohd Al-Bakri memberi pandangan beliau yang persis seperti padangan saya. 

"المرء على دين خليله فلينظر أحدكم من يخالط" 
"seseorang itu, dilihat pada agama sahabat baiknya maka lihatlah dengan siapa dia bergaul." 
Pertama: Kawan.

Ini sebab pertama mengapa orang merokok. Bertepatan dengan apa yang disabdakan Rasulullah di atas, kawan adalah sebab mengapa seseorang merokok. Bukanlah kawan yang disalahkan dalam hal ini, tetapi diri kita sendirilah yang bersalah kerana bergaul dengan para perokok.

"الطبع السرّاق"

Tabiat itu, mencuri.
Kajian psikologi menunjukkan kata-kata arab ini benar. Antara dua manusia yang saling berteman itu, cuma berlaku dua perkara. Sama ada kita mempengaruhi, atau kita yang dipengaruhi.

bukan hanya dalam hal merokok, bahkan dalam hal berdakwah pun menunjukkan dakwah fardiah(melalui teman) itu adalah yang paling berkesan.

Kedua: Kehendak.

Ini adalah persoalan yang lebih penting dari kawan. Sekaligus ia menjawab persoalan dari semua punca seseorang merokok. Saya, berkali-kali cuba untuk memahami mengapa seseorang merokok. Penelitian saya akhirnya sampai kepada bab yang sama disebutkan oleh Dr Zulkifli. Iaitu, KEHENDAK.

Kalau seseorang yang tidak mahu merokok, berilah rokok paling hebat di dunia sekalipun apakah dia akan merokok?

Seorang perokok tegar yang dipenjara dan dia tidak dibenarkan mebawa sebarang bekalan rokok, dia tetap akan mencari jalan untuk tetap mencari rokok.

Rupanya, teori saya disokong oleh cerita Dr Zulkifli ketika beliau ke pusat serenti di Seremban.

" Saya perhatikan mereka. Setiap kali mereka lihat ada staf yang merokok dan membuang sisa puntung rokok, mereka akan pergi ke tempat sisa puntung itu dibuang. Kemudian, mereka akan kumpul sisa-sisa yang ada, dan susun sisa-sisa itu menjadi sebatang rokok yang boleh dihisap."

Saya terlopong. Sampai begitu sekali rupanya, astaghfirullah. Kemudian ustaz menyambung;

"Gila? itu bagi kita. Bagi orang berkehendak kepada rokok,itulah pekerjaan paling bijak!"

Nah, sekarang kita lihat betapa kehendak adalah persoalan utama yang perlu dibanteras.


Nafas baru : bagaimana?



Kehendak, sekali lagi soal itu yang membuat orang berhenti atau tidak. Kalau hendak berhenti, pasti boleh!

Sekarang bulan Ramadhan, peratusan untuk kita berhenti merokok 95%! Jadi, kita hanya perlu beberapa perkara untuk kekal tidak merokok.

Pertama: Semangat yang kuat. 

Azam, kekuatan yang kuat sungguh-sungguh. Memang bermula dari diri sendiri. Kehendak itu sama ertinya dengan nafsu. Jadi, nak jinakkan nafsu, perlu azam yang datang dari diri kita sendiri. Dalam satu syair arab ada sebut;

"Nafsu ini macam anak kecil. kalau kita nak anak kecil itu berhenti minum susu, kita kena jauhkan ibu darinya. Kalau kita tak paksa bayi itu makan selain susu, sampai dewasa dia hanya akan minum susu ibu sahaja."

Satu lagi pepatah arab,


النفس الإنسانية كالحصان, إن أجدت ركوبه قدته إلى حيث تريدوإن لم تسيطر عليه قادك هو إلى حيث يريد 
"Nafsu itu umpama kuda liar. Kalau kamu mampu tungganginya, kamu akan mengawalnya kemana kamu mahu, jika kamu tidak menguasainya, dia yang akan membawa ke mana dia mahu."

Sesekali, cuba lihat bagaimana cara menjinakkan kuda liar. Ya, memang susah dan begitulah semangat dan azam yang perlu ada kalau kita benar-benar mahu berubah dan meninggalkan kehendak merokok.

Dr zulkifli tegaskan lagi :

"Kalau ketagih tak boleh berhenti, BOHONG!. Sebab ramai orang ketagih boleh berhenti.
Sahabat nabi, dahulu mereka minum arak macam kita minum air masak. Tiba-tiba Allah haramkan arak. mereka terus buang arak yang sedang diminum, dan pecahkan semua tong-tong arak yang ada. mereka boleh! "

'Alaa, saya bukan sahabat nabi.', pasti akan ada yang jawab begini. 

Betul, kita bukan sahabat nabi. Sebab tu, berhenti merokok banyak cara. Ada orang yang terapi 3-5 bulan baru berhenti. Ok lah lama sikit pun. Yang penting kita ada kehendak mahu berhenti.

Kedua: cuba buka minda.

Bayangkan, statistik menunjukkan malaysia adalah negara yang menyumbangkan RM 5 juta kepada yahudi setiap hari! ya, setiap hari hasil daripada pembelian rokok pula! Kita ni, selalu mengata pemimpin curi duit rakyat lah, bersekongkol dengan yahudi lah.

Nah, nyatanya kita sama sahaja. Dia(pemimpin itu), urusannya dengan Allah. Dan kita, urusan kita dengan Allah. Cuba lihat diri kita.. diri kita.. diri kita.. kita dalam golongan mana dalam hadis ini..


sahabat Abdullah bin Mas’ud memberikan gambaran dua sikap antara orang yang menjaga nilai-nilai keimanan dengan orang yang telah terbuai dan terbius dengan racun-racun kekafiran. 


Beliau berkata, “Seorang mukmin melihat dosa-dosanya seolah-olah dia sedang duduk di bawah sebuah gunung, dia khawatir kalau gunung itu akan runtuh menimpanya. Adapun orang yang fajir/munafik melihat dosa-dosanya seperti lalat saja, yang mampir di atas hidungnya, lantas dengan ringannya dia halau lalat tersebut -dengan tangannya-.” (HR. Bukhari)

Rokok itu haram kerana mudharat, di dalamnya juga ada haemoglobin khinzir menurut kata profesor Dr Haniki, pakar pemulihan perokok.

Fakta saintifik, islamik, semua sudah diberikan. Tinggal kita mahu buka minda atau tidak.

Ketiga: Hayati kata-kata R.J Reynold ini.

R.J Reynold adalah pemilik industri tembakau(rokok). Dan beliau mengatakan ini;

"We don't smoke that sh*t (cigaratte). We just sell it. We reserve it for the young, the black, the poor and the STUPID." 
Saya terjemahkan kepada bahasa melayu:

"Kami tidak merokok. Kami hanya menjualnya. Kami sediakan ia untuk anak-anak muda, bangsa berkulit hitam, orang lemah dan orang BODOH."

Saya pula terasa mahu minta maaf atas kata-kata kasar ini. Tapi, amanah atas diri saya harus sampaikan apa yang benar-benar mereka katakan.

Ramadhan ini, bulan terbaik kalau kita mahu berhenti merokok. Badan kita, amanah Allah. Ayuh, jaga amanah Allah: BERHENTI MEROKOK!

Mereka boleh, kita pasti boleh

Baru saya tahu;

1-Almarhum Dr Asri mantan presiden PAS,

2- Almarhum Syeikh muhammad mutawalli Sya'rawi, (1911-1998),

3- Presiden Amerika, Barrack Obama,

Ketiga-tiga insan ini dahulu merupakan perokok tegar. Sebab mereka merokok pelbagai, Syeikh mutawalli Sya'rawi merokok kerana orang-orang di tempatnya suatu masa dulu mengatakan bahawa dia perlu merokok untuk mengelakkan wabak yang tersebar di sekitar mesir ketika itu.

Tetapi, satu perkara yang sama. Mereka sama-sama menjadi perokok tegar dan mereka mampu berhenti merokok atas kehendak sendiri !

Jadi, anda juga boleh. Salam Ramadhan Al-mubarak!

No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)